PADA 2 hingga 4 Jun lalu bertempat di Singapura, berlangsung persidangan keselamatan terpenting bagi rantau Indo-Pasifik, iaitu Dialog Shangri La 2023. Indo-Pasifik merupakan gabungan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sebagai satu pertemuan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara pesisir di antara dua lautan itu, tidak dapat tidak menjadi pemangkin kepada penyertaannya dalam setiap episod yang berlaku di rantau ini.
Menariknya, sewaktu dan sebelum Dialog Shangri La kali ini berlangsung, ada tiga peristiwa agak signifikan dan wajar diberi tumpuan oleh penganalisis bahkan ahli politik tempatan juga.
Pertama, tentang dialog itu sendiri. Sudahlah ia mengambil tempat di tengah-tengah ketegangan memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlegar di sekitar isu kepulauan kecil bernama Taiwan, malah Reuters pada 4 Jun mendedahkan, persidangan itu juga menjadi markas pertemuan ketua-ketua perisikan banyak negara.
Bukan asing apabila ketua dan operator pelbagai agensi dan cabang perisikan menghadiri satu seminar pertahanan global, namun mencetuskan tanda tanya apabila Reuters memetik sumber primer yang arif dengan persidangan itu berkata, ada ‘agenda bayangan’ sedang disusun melalui kehadiran bos-bos perisikan dunia khususnya Barat di sana.
“Mesyuarat (perisikan sewaktu Dialog Shangri La) itu adalah pertemuan penting dalam agenda bayangan antarabangsa,” kata seorang yang mengetahui perbincangan itu, seperti dipetik agensi.
“Memandangkan julat negara yang terlibat, ia bukan festival kraftangan, sebaliknya satu cara untuk mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam tentang niat dan keuntungan,” kata sumber itu lagi.
Itu yang pertama. Dua minggu sebelum itu pula, iaitu pada 21 Mei bertempat di Shah Alam sewaktu rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Kebudayaan Selangor, majlis itu turut menjadi tumpuan wakil-wakil kedutaan asing termasuk kuasa besar.
Ini saya saksikan sendiri sebagai tetamu yang hadir. Kebetulan saya dijemput bukan sebagai wartawan tapi sebagai pemerhati dan yang menjemput pula adalah pimpinan PN, maka saya diberikan tempat duduk berhampiran meja utama yang ada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan utama lain.
Duduk di meja VVIP (golongan amat berpengaruh) yang berlaga bahu dengan meja diplomat, jelas kelihatan wakil-wakil kedutaan negara luar. Bahkan hampir semua kerusi yang dikhaskan kepada diplomat dilihat penuh, rata-rata berbaju batik. Saya sempat bertegur sapa dengan dua, tiga wakil kedutaan yang memang akrab dan mereka memberitahu, kehadiran masing-masing sebagai ‘memenuhi undangan PN.’
Bukanlah pelik apabila wakil asing menghadiri majlis pembangkang atau kerajaan. Namun, untuk bertemu sekumpulan diplomat baik dari blok Barat mahupun yang tidak sebulu dengan kuasa Anglo-Saxon dalam satu majlis, malahan majlis gabungan pembangkang yang ditohmah ultra-konservatif selain dituduh ekstremis agama, itu semestinya agak menarik.
Kebetulan saya duduk semeja dengan sarjana hubungan dan keselamatan antarabangsa yang juga bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) merangkap bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Ruhanie Ahmad. Saya sempat bertanya, “Datuk, tidak ganjilkah majlis hari raya anjuran pembangkang yang dituduh ultra-konservatif dan ekstremis, dipenuhi wakil-wakil kedutaan termasuk kuasa nuklear?”
Ujar beliau, kepimpinan besar negara-negara yang hadir mungkin meletakkan minat mengikuti dinamika perkembangan politik tanah air dalam suasana yang ada sekarang.
“Saya yakin ini menunjukkan sesetengah kuasa besar atau kuasa dunia mahu mengikuti perkembangan PN. Malah mungkin mereka mendapati PN adalah gabungan yang berpotensi di Malaysia dalam abad ke-21 ini,” katanya.
Pada masa sama, Ruhanie tidak menolak kemungkinan kehadiran wakil asing termasuk kuasa-kuasa nuklear ke majlis itu simbolik kepada pengertian ‘mendalam dan jitu’ mereka terhadap landskap politik negara.
“Mereka barangkali telah membuat satu persepsi ataupun rumusan bahawa apakah bentuk gabungan politik yang memerintah Malaysia sekarang ini satu gabungan yang akan berpanjangan dan kekal? Negara-negara kuasa besar, mereka mempunyai akses kepada maklumat yang lebih berwibawa dan terperinci. Mungkin ini menggambarkan mereka berpersepsi gabungan ini (PN) sebagai satu gelombang yang perlu diperhatikan dan perlu diikuti perkembangannya,” katanya lagi.
DAKWA DAKWI DI LUAR SANA?
Itu imbasan peristiwa di Shah Alam. Kebetulan pula, semusim dengan Dialog Shangri La, saya sempat mengopi dengan beberapa ‘kenalan.’ Antara yang diborakkan termasuk kedudukan Malaysia pada 2022 yang didakwa di tier 2 atau peringkat kedua, berdasarkan kepentingan kepada AS berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara. Malah difahamkan, ada yang mula berteka-teki tentang apa yang didakwa campur tangan (meddling) sebuah kuasa besar. Soalnya, bilakah ia dikesan? Wallahuaklam, barangkali yang bertanya lebih tahu daripada yang ditanya.
Dalam sesi mengopi lain pula, ada cakap-cakap kononnya sewaktu era kerajaan terdahulu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Malaysia diisytihar satu daripada empat negara ASEAN yang ‘mesra’ kepada sebuah kuasa besar yang menjunjung keluhuran multipolar berbanding unipolar. Kemudian, ada pula kenalan membangkitkan kononnya beberapa negara luar didakwa sudah mula mempersoalkan pendirian negara berhubung posisinya dalam perseteruan Washington-Beijing serta isu dasar luar lain. Entahlah, itu cuma borak-borak kosong dengan entah siapa-siapa.
DOA RAKYAT MARHAEN
Apa pun, didoakan semoga kepimpinan dalam kerajaan perpaduan bijak mencatur langkah, ibarat ular menyusur akar, demi membela kedaulatan dan kedudukan Malaysia di pentas global.
Jika langkah mula longlai dan kompas moral mula terpesong, bukalah kembali kitab-kitab diplomasi atau makalah hubungan antarabangsa. Atau jika terlalu sibuk merangka formula sehingga tidak ada masa membelek makalah atau jurnal yang tebal-tebal, barangkali boleh layari laman web Kementerian Luar (KLN), https://www.kln.gov.my/web/guest/foreign-policy.
Di dalamnya jelas mengikrarkan, Malaysia mengamalkan dasar luar yang bebas, berprinsip dan pragmatik. Malaysia juga, tegas KLN, merupakan negara dengan penduduk Islam majoriti.
Justeru, harus memberi keutamaan kepada perpaduan ummah dan semangat kerjasama dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Mungkin sikit masa lagi, KLN boleh memasukkan BRICS (Brazil, Russia, india, China, Afrika Selatan) atau BRICS+ sebagai pergerakan yang wajar dipertimbangkan? – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










