Beli buku, cuci mata atau nok ko suasano jah?

Beli buku, cuci mata atau nok ko suasano jah?

KEPELBAGAIAN demografi dari aspek kaum dan jantina memperlihatkan PBAKL sebagai tempat sosial bermanfaat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 baru-baru ini berlangsung meriah. Berdasarkan statistik, seramai 1.5 juta pengunjung datang menggamatkan PBAKL 2023 yang berlangsung selama 10 hari bermula 26 Mei hingga 4 Jun berbanding 1.3 juta, tahun lalu.

Saya tidak melepaskan peluang turut sama memeriahkan pesta buku popular yang sudah pun memasuki usia 40 tahun. Apatah lagi keterujaan dan seruan untuk hadir bagi ‘meraikan’ dan sebagai ‘ganjaran’ bertambah selepas negara bergelut dengan wabak Covid-19 dari 2020 hingga 2022.

PBAKL merupakan salah satu wadah dan medium yang baik bagi tujuan itu kerana berjaya mengumpulkan dimensi dan perspektif pelbagai dalam satu acara. Ada pekerja dalam kalangan penerbit, penjual buku, peniaga makanan dan minuman, ada pembeli atau pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat dalam kalangan pelajar, pekerja am dan swasta, golongan bersara dan sebagainya. Kepelbagaian demografi dari aspek kaum dan jantina juga memperlihat PBAKL sebagai tempat sosial bermanfaat kerana dipenuhi bukan sahaja lautan manusia, tetapi juga lautan buku dari pelbagai gelombang genre.

Sesiapa yang pernah ke PBAKL pasti sudah terbiasa dengan situasi ini – sekumpulan remaja duduk di atas lantai di tepi koridor, ibu bapa membawa anak-anak kecil sambil bertuntunan tangan kerana risau ‘terlepas’ daripada genggaman dan ada membawa bagasi kerana berniat ingin memborong pelbagai buku yang boleh didapatkan dengan harga murah dan berpatutan melalui diskaun ditawarkan!

Namun begitu, persoalan utama perlu digarap, adakah PBAKL terjemahan literal kepada budaya membaca di Malaysia? Sehingga 2022, purata membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah, iaitu kurang tiga jam seminggu. Kadar tersebut sememangnya jauh lebih rendah berbanding India, Thailand dan China. Ini disebabkan suatu laporan akhbar Independent pada 2016 merumuskan India sebagai negara paling banyak membaca dengan purata tempoh 10 jam seminggu.

Sama ada pengunjung PBAKL mempunyai niat pelbagai untuk membeli buku, sekadar cuci mata atau nok ko suasano jah, semua sebab itu tidak salah kerana niat yang baik akan mendapat satu pahala, dan jika disusuli dengan pelaksanaan baik terhadap niat itu akan mendapat satu lagi pahala. Jika dalam istilah perundangan, actus reus akan melengkapkan mens rea yang membawa kepada satu jenayah sempurna kerana mempunyai niat dan tindakan. Dalam konteks pesta buku, niat kedatangan, membeli dan membaca akan menghasilkan objektif yang berkesan.

HEALING

Baca atau iqra’ merupakan ayat pertama al-Quran yang diturunkan menerusi surah al-‘Alaq. Surah ini menerangkan bahawa Allah menciptakan manusia dan memuliakannya dengan mengajar membaca, menulis dan memberi pengetahuan. Melalui pembacaan, seseorang akan dapat menambah ilmu, mencari kebenaran dan panduan serta tidak mudah ditipu. Pada era media sosial masa kini, pembacaan daripada sumber sahih adalah perlu kerana tidak semestinya berita dikongsi ramai orang adalah benar. Slogan seperti ‘Tak pasti jangan kongsi’ dan ‘Sebar fakta bukan auta’ acap kali dimainkan di media massa menunjukkan peri pentingnya seseorang menapis segala macam maklumat yang mudah didapati di hujung jari.

Berbalik soal PBAKL, tema healing menjadi trend yang sangat hangat pada tahun ini. Healing dalam bahasa Melayu bermaksud penyembuhan. Dalam definisi budaya popular, healing boleh membawa makna seseorang yang mengambil masa untuk memproses sesuatu dari masa lalu supaya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan bersemangat pada masa akan datang. Ada bermacam jenis healing dilakukan oleh masyarakat hari ini seperti duduk di tepi sungai, mendengar muzik, memanjat bukit, minum kopi di kafe hipster atau membaca.

Dalam konteks buku pula, healing membawa kepada genre bacaan yang pelbagai. Ada menganggap puisi itu sebagai healing, ada juga memilih karya berat seperti bahan sejarah dan buku ilmiah. Tidak kira apa pun definisi healing menurut seseorang, asalkan ia bermanfaat dan dapat membuatkan diri sentiasa bermuhasabah menjadi lebih baik. Menariknya, sebuah buku puisi bertemakan healing dan self-love memenangi Anugerah Buku Malaysia Kedua kategori Anugerah Buku Sastera (Bahasa Melayu).

Saya masih ingat tentang Projek Nilam yang pernah popular ketika di bangku sekolah rendah. Tulis sinopsis buku yang dibaca dalam buku projek tersebut. Siapa tulis paling banyak akan mendapat hadiah lumayan. Projek tersebut merupakan suatu usaha murni yang bagus kerana ia bukan sahaja menggalakkan budaya membaca sedari kecil, tetapi juga memastikan pembaca memahami apa kandungan dibaca dan menyimpulkannya menurut pemahaman masing-masing. Secara tidak langsung membentuk budaya berfikir secara kritis dan kreatif.

Perkara ini perlu supaya seseorang mempunyai pendapatnya sendiri (ijtihad) dan tidak hanya taqlid membuta tanpa menyelidiki dan menganalisis sesuatu fakta terlebih dahulu.

Terdapat pelbagai kategori pembaca seperti beli dan baca, beli dengan niat akan baca, beli tapi tak baca, beli hanya untuk koleksi dan beli kerana ikut trend. Kesemua kategori ini mempunyai istilah khusus seperti bibliofil, bibliomania dan tsundoku. Di samping berfikir-fikir mahu meletakkan anda dalam kategori mana satu, persoalan perlu ditanya juga, adakah kesemua buku yang dibeli pada PBAKL tahun-tahun sebelumnya sudah habis dibaca? Dan adakah PBAKL menjadi (antara) kayu ukur bagi budaya membaca di Malaysia berdasarkan statistik pengunjung?

Jika PBAKL menjadi parameter dan setiap orang betul-betul membaca buku yang dibeli, maka matlamatnya sebagai terjemahan literal budaya membaca rakyat Malaysia akan tercapai.

Bukan sahaja kekayaan sesebuah negara itu dinilai dengan jumlah jutawan mahupun sumber alam semula jadi, tetapi juga tahap kecerdasan dan keintelektualan warganya. Memetik kata-kata Za’ba, “Kekayaan saudagar pundi-pundi emasnya. Kekayaan pendeta keping-keping kertasnya.” – UTUSAN

PENULIS ialah Pembantu Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×