MUKADIMAH
BANYAK pihak melihat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang berakhir semalam mampu dijadikan medan penyatuan dan perpaduan ahli serta akar umbi.
Namun, bukan sekadar itu, UMNO bakal berdepan satu lagi ujian dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Di samping itu, perkara paling penting sudah semestinya menangkis ‘cakap-cakap’ politik dan naratif kerjasama UMNO serta DAP yang mampu memberi kesan terhadap parti itu terutama dalam PRN nanti.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan ASLINDA NASIR menemuramah NAIB PRESIDEN UMNO, DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL bagi mendapatkan perspektif beliau.Turut membantu jurufoto AFIQ RAZALI.
UMNO DAN KERAJAAN PERPADUAN
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat penganjuran PAU 2023 selepas UMNO menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan?
Wan Rosdy: Apa yang saya lihat momentum setakat ini nampak perwakilan kekal bersemangat seperti biasa.
Begitu juga dalam sesi dialog Town Hall yang dihadiri ramai ketua penerangan peringkat bahagian. Ia satu pendekatan baharu dan baik.
Sebelum ini Setiausaha Agung, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi penerangan tentang Kerajaan Perpaduan dan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO pun dijemput bagi menjawab segala persoalan berbangkit.
Kaedah ini secara tidak langsung memberi peluang dan ruang kepada ketua-ketua penerangan agar mereka dapat sampaikan maklumat tepat kepada peringkat akar umbi nanti tentang perkara baharu dan perancangan parti.
Ini berbeza kalau dibandingkan peranan mereka yang sebelum ini hanya bertindak sebagai juru acara majlis sahaja di peringkat bahagian.
Paling penting sekali, walaupun kita tewas dalam PRU15 , kita tidak nampak perwakilan moralnya jatuh dalam PAU 2023. Malah, kita boleh bangkit semula dengan beberapa syarat tertentu serta perancangan rapi.
Lagipun, UMNO tahu penolakan rakyat disebabkan beberapa faktor seperti masalah dalaman selain pihak Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai kelebihan sedikit. Dulu mereka pun kerajaan dan kita pun berada dalam kerajaan. Cumanya, kelebihan banyak memihak kepada mereka.
Kehadiran pemimpin DAP dalam PAU 2023 memberi kesan sokongan akar umbi kepada parti?
Sebenarnya isu ini cuba dikelirukan. Dalam sesi dialog Town Hall, saya ada cakap dan katakan bahawa akar umbi keliru sebab Pas menjaja cerita kononnya UMNO dan DAP bergabung.
Mereka tahu di kampung orang Melayu sangat sensitif dengan DAP kerana pemikiran kita telah diasah berpuluh tahun kata parti itu rasis, anti Islam, parti komunis dan sebagainya.
Jadi, apabila perkara ini sampai kepada orang Melayu dengan naratif DAP bersama UMNO, itu menyebabkan berlaku kekacauan.
Perlu diingat kita bukan bergabung dengan DAP sahaja, tetapi Barisan Nasional (BN) yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) setelah tiada mana-mana blok dalam pasca PRU15 yang boleh memerintah.
Tiada mana-mana parti dapat majoriti mudah termasuk di Pahang dan peringkat Persekutuan. Maka Yang di-Pertuan Agong mencadangkan supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan.
Apa kita fikirkan pada masa itu adalah tidak mahu berulangnya perkara yang terjadi pada 2018 apabila lebih kurang 500 hari kerajaan tergantung. Sebabnya, kita tahu apabila kerajaan tergantung yang jadi mangsanya sudah tentu rakyat. Apa keputusan pun tidak boleh dibuat, pembentangan bajet pun begitu juga.
Yang sengsara rakyat apabila kerajaan tidak dapat ditubuhkan. Ekoran itu, UMNO menjunjung titah Agong. Berbeza pula dengan PN kerana mereka tidak setuju untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Ini yang saya minta dalam sesi dialog agar diterangkan kepada akar umbi bahawa kita bukan sesuka bergabung.
Kita bergabung antara BN dan PH yang adanya PKR, DAP dan Amanah. Yang ini kita perlu beritahu pada masyarakat. Wujudnya Kerajaan Perpaduan ada sebabnya. UMNO ada prinsipnya.
Pertama menjunjung Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan Islam, institusi Raja dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Agama lain bebas diamalkan. Apabila kita bergabung kita tidak gadaikan prinsip ini. Pernah dengar selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, semua prinsip ini digadaikan? Tiada.
Kemudian kita turut menekankan prinsip kesejahteraan rakyat. Walaupun berbeza ideologi, tetapi kita bergabung demi kesejahteraan rakyat.
Yang ketiga adalah kestabilan politik, maknanya selepas PRU perkara ini berlanjutan. Rakyat sudah buang undi, memilih parti yang dikehendaki dan keputusan sudah dibuat dan ini harus kita terima. Kalau tidak ia akan tergantung. Kalau tiada kestabilan politik, ekonomi tergugat, rakyat hura-hara, ringgit jatuh dan sebagainya.
Sebelum PAU 2023 adanya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan. Adakah kedua-dua ini menjadi penanda aras kejayaan kerajaaan perpaduan PH dan BN?
Kalau kita lihat pada ucapan dalam konvensyen tersebut iaitu daripada Setiausaha DAP, Anthony Loke cakap lawan kita bukan dalam negeri atau negara, sebaliknya dari luar negara.
Kalau asyik bercakaran, sampai bila kita hendak berkembang? Maknanya, saya nampak beliau bukan berucap perkara yang retorik atau rasis. Mereka (DAP) letak perkara ekonomi dan kestabilan politik itu di hadapan.
Justeru, kita sebagai ahli politik, sepatutnya menilai ucapan yang dikeluarkan PH. Saya nampak semuanya menjurus kepada perpaduan.
Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa negara ini masyarakatnya majmuk, ada pelbagai ras dan perlu diuruskan sebaik mungkin agar bergerak ke hadapan.
Kalau asyik berkira pasal kaum, bila masanya kita hendak fokus kepada pembangunan negara?
Tapi ini bukan bermaksud kita ketepikan atau langsung tidak menjaga hal kaum kita. Cuma dalam keadaan sekarang, kepentingan negara itu harus kita letakkan pada aras sama dengan negara lain. Jika tidak kita ketinggalan.
GABUNGAN STABIL
Datuk Seri yakin gabungan BN-PH ini akan kekal?
Setakat hari ini, ia macam itu (stabil dan kekal). Kita perlu ingat politik ini dinamik dan progresif. Kalau ditakdirkan lepas PRU16 keputusan berbeza dan UMNO mungkin kembali dominan ia tidak seperti apa yang ada sekarang ini.
Maksud saya, Perdana Menterinya mungkin dari BN pula. Ini hanya contoh. Tetapi perpaduan kaum tetap menjadi teras kita.
Di samping itu, pada fikiran saya, kalau UMNO menjadi dominan sekalipun dalam PRU16, Kerajaan Perpaduan akan dikekalkan. Kita tidak boleh undur ke belakang balik, kembali seperti zaman BN dahulu.
UMNO PILIHAN MELAYU
Adakah UMNO jadi pilihan orang Melayu pada masa akan datang termasuk pada PRU16 dan PRN nanti?
Kalau dilihat pada angka, kita ada lebih kurang empat juta ahli. Tapi malangnya, undi UMNO tidak sampai (kalah). Harus diingat ia (kekalahan) bersebab.
Dan dengan tujuan itu, untuk kembalikan balik keyakinan pengundi Melayu kepada UMNO, kita perlu buat sesuatu.
Seperti mana ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu tubuhkan kongres ekonomi Bumiputera. Jadi, apabila kita buat (kongres ekonomi Bumiputera), saya yakin orang nampak UMNO perjuangan ekonomi untuk orang Melayu.
Kongress ekonomi ini dulu kita pernah buat dimana daripada situlah lahirnya Petronas dan Bank. Selepas itu, kita tak buat dah. Kita fokus pada politik sahaja.
Kemudian pelancaran Tabung Pendidikan Bumiputera. Itu juga satu benda yang bagus dan dekat dengan orang Melayu.
Untuk kita dekatkan diri dengan orang Melayu, kita perlu ada nilai kebersamaan. Contoh paling mudah, kalau berlaku bencana alam, UMNO mesti ke depan membantu. Begitu juga kalau Islam dicabar, UMNO juga perlu ke depan. Untuk kita kekal relevan, kita perlu ke depan kalau tidak terhakislah sokongan orang melayu kepada kita.
SOKONGAN DAP
Adakah Datuk Seri yakin penyokong DAP akan memberi sokongan kepada UMNO atau sebaliknya dalam PRN nanti?
Ada orang UMNO tidak sokong DAP dan begitu juga sebaliknya. Jadi, kita kena cari titik persamaan. Kalau saya melihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Tioman, ada undi daripada DAP yang sokong BN, ada undi orang Parti Amanah Negara (Amanah) undi BN. Seramai mana tak pasti, tetapi ada.
Dalam erti kata lain, saya percaya dengan beberapa pendekatan dan penjelasan kita buat berhubung kerajaan perpaduan, rakyat akan faham. Bagaimanapun, penjelasan perlu diberikan. Sebab itu, saya minta ketua penerangan pergi kepada akar umbi beritahu mereka.
Kita buat semula program seperti taqarrub, beri penjelasan di kedai kopi. Ini benda betul bukan rekaan. Kita terpaksa tubuhkan Kerajaan Perpaduan dan PN tidak mahu. Kita masuk untuk jadi pelengkap. Terima hakikat apabila wujud Kerajaan Perpaduan, banyak kelebihan yang BN dapat.
Adakah Selangor menjadi ujian pertama untuk gabungan BN dan PH dalam PRN nanti?
Saya optimis. Selagi keputusan tidak diumumkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dapat dipertahankan. Malah kemungkinan besar, salah satu negeri mungkin dapat ambil semula. Paling tidak pun kita boleh tambah jumlah kerusi sedia ada.
Sebabnya, pertama kita perlu yakin dan optimis barulah boleh mengorak langkah mencapai kemenangan. Lawan sehabis baik capai kemenangan.
Ada yang menyokong UMNO pada masa kini hanya disebabkan nostalgia. Datuk Seri setuju?
Separuh setuju. Sentimental tetap ada. Walaupun kita ada 22 juta pengundi yang keluar mengundi dalam PRU15, lima juta orang lama dan pastinya nilai sentimental ada pada mereka.
Separuh lagi berbelah bahagi (menyokong UMNO). Mungkin ada yang keliru untuk pengundi 18 tahun. Kadang-kadang (pengundi) ini lebih fokus kepada isu demokrasi.
Paling mudah contohnya begini. Saya masih ingat lagi semasa sidang DUN Pahang terakhir sebelum dibubarkan dalam PRU15, saya ada panggil pelajar sekolah hadir sidang DUN. Saksi hidup bekas Speaker DUN, Datuk Seri Ishak Muhammad
Semasa sidang DUN ditangguhkan untuk makan, saya berjumpa pelajar ini yang bakal menjadi pengundi. Semasa saya borak dengan mereka itu, saya bertanya soalan yang pada masa itu saya tidak sangka mereka tidak boleh jawab.
Ketika itu Perdana Menteri orang Pahang, Parlimen Bera dan pelajar terbabit asalnya Temerloh, dekat dengan Bera.
Saya tanya siapa Perdana Menteri Malaysia, dia boleh beri jawapan selain daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kemudian saya tanya lagi, siapa Ahli Parlimen Payar Besar yang ketika itu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah.
Pelajar tersebut boleh beri jawapan nama Ahli Parlimen yang sudah meninggal dunia. Terkejut saya. Sebenarnya, saya mahu juga tanya dia siapa Menteri Besar Pahang. Tapi saya keberatan sebabnya, kalau dia sebut orang lain nanti saya yang malu.
Ekoran peristiwa itu, terus saya fikir, pengundi umur 18 tahun ini jika dibandingkan dengan kita berbeza. Orang yang matang akan tengok kemampuan dan kredibiliti. Tetapi bagi mereka tidak kisah pun pasal calon. Dia kira siapa sahaja termasuk kawan-kawan. Jadi, golongan ini juga yang kita harus dekati kerana mereka ada hak untuk mengundi.
BERSANGKA BAIK
Bercakap konteks nostalgia dan nilai sentimental, apakah perasaan Datuk Seri melihat pemimpin DAP buat pertama kali memasuki Pusat Dagangan Dunia dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini?
Pertama, kita perlu bersangka baik. Tak kan kita nak membuat sesuatu yang memudaratkan UMNO. Orang sanggup datang ke rumah kita dengan baik dan berbincang, tidak mungkin kita mahu memijak dia pula. Saya selalu ingatkan agar bersangka baik dan tujuannya apa? Niat kita kita nak tunjukkan pada masyarakat bahawa Kerajaan Perpaduan ditubuhkan untuk masyarakat.
Paling penting ucapan mereka yang kita mahu dengar. Bukan senang. Sebagai contoh ucapan Anthony tempoh hari. Beliau tunjukkan keikhlasan dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan. Malah, nama pemimpin DAP yang lain pun dia tidak sebut. Terus sahaja sentuh pasal hala tuju. Sebenarnya, tidak boleh retorik macam dahulu lagi. Zaman sudah berubah.
UMNO DAN PAS
Adakah UMNO mempertimbangkan kerjasama dengan Pas dalam MN (Pasca PRU15) demi menjaga keharmonian kaum?
Saya nampak begini. Ia mungkin boleh terjadi dan mungkin tidak terjadi. Segalanya boleh berlaku dalam politik.
UMNO dalam keadaan apa sekalipun berpegang kepada prinsip yang saya katakan tadi iaitu kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. Kita tidak boleh berkompromi.
Cuma buat masa ini saya tidak nampak kepada penyatuan. Sebabnya, yang di sebelah sana menyerang juga. Jadi, kita lihat ini bukan usaha untuk menyatupadukan. Tetapi untuk masa depan, saya tidak tahu kerana apa sahaja boleh berlaku. – MINGGUAN MALAYSIA










