PERLAHAN pemilik nama Nurul Jannah Muner melangkah masuk ke ruang pernikahan di Masjid Aisyah, Langkawi. Seri wajahnya terlihat, menerusi relung mata yang mengharapkan segala yang indah untuk di depani kelak.
Pastinya melangkahkan kaki ke satu fasa baharu sebagai seorang isteri bukan sesuatu yang mudah. Gementar, takut dan risau mula merantai halus hati wanitanya. Dia juga seperti yang lain, ada gugup meresap jiwa.
Namun tatkala matanya melihat ke arah bakal suami, Dini Schatzmann, keyakinan mula bercambah. Dia tahu itulah lelaki kiriman Tuhan yang bakal memegang erat tangannya menuju ke syurga cinta abadi.
Sekali lafaz, termeterai sudah janji untuk sehidup semati. Membina masjid cinta bersama doa-doa mereka yang gembira dan terharu melihat bagaimana dua merpati ini menyulam cinta sejak 2019.
Janna Nick, kini sudah menjadi milik Dini dalam satu majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup dan privasi. Berkongsi memori indah bersama keluarga, sahabat yang dekat di hati mereka.
Saat taklik dilafazkan, Dini tahu tanggungjawab dan amanah untuk menjaga serta memimpin pelakon dan pengacara itu hingga ke syurga kini berpindah ke dibahunya.
“Ini adalah fasa dan perjalanan baharu dalam hidup kami. Alhamdulillah, ini adalah detik terbahagia saya dalam hidup.
“Membuktikan dan meraikan cinta saya terhadap wanita yang cukup istimewa,” ujarnya.
Perasaan sama dikongsi bersama Janna yang mengakui keputusan untuk bergelar seorang isteri bukan sesuatu yang mudah dipersetujui sementelah, itu adalah langkah terbesar yang pernah dilakukan seumur hidup.
“Gementar, gugup dan risau berlari-lari dalam fikiran. Bukan mudah sebenarnya, untuk melangkah ke satu fasa baharu. Ini adalah langkah dan keputusan terbesar saya sepanjang 28 tahun.
“Untuk mengubah status daripada solo kepada isteri dan insya-Allah, seorang ibu itu juga satu fasa besar. Tiada apa yang saya dan suami minta selain doa yang baik-baik daripada anda semua,” ujarnya.

TIADA NIAT RAHSIA, SOROK
Anggun menyarung busana putih rekaan Wanpa dan ditatarias oleh jurumekap yang diterbangkan khas daripada Thailand, Babara Bear, Janna dan Dini kemudian diraikan di Temple Tree Resort bagi sesi resepsi.
Di hadapan hampir 200 tetamu yang hadir meraikan pasangan mempelai, pasangan yang mula menyemai cinta ketika sama-sama berlakon dalam drama Bukan Cinta Aku sekitar 2019 itu berdiri di pelaminan indah rekaan The Calla.
Setiap yang hadir pastinya mengangguk setuju, mereka pasangan yang dicipta untuk saling melengkapi dan mencintai. Kemanisan kasih dan sayang antara mereka dapat dirasai setiap yang hadir.
Ditanya mengapa mengadakan majlis perkahwinan secara tertutup, Janna mahupun Dini tidak pernah berniat untuk merahsia atau menyorokkan pernikahan mereka daripada pengetahuan umum.
Namun demi menghormati permintaan kedua belah keluarga dan juga, menyempurna impian perkahwinan mereka, majlis kali ini berlangsung secara peribadi yang dihadiri oleh mereka yang disayangi.
“Bukan niat kami sengaja merahsiakan perkahwinan ini. Cuma saya mahu meraikan memori ini sebagai Nurul Jannah, bukan seorang selebriti. This is a once in a lifetime moment in our life, our wedding day.
“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Gembira melihat wajah-wajah yang dekat di hati saya, menjadi saksi penyatuan cinta kami. Terima kasih juga atas doa-doa peminat dan mereka yang menyayangi kami.
“Ini juga kesempatan buat kami untuk membawa ahli keluarga bercuti di Langkawi. Mungkin jika diadakan dalam skala yang besar, kami tidak sempat untuk melayan tetamu yang hadir,” kongsinya.

BULAN MADU, ZURIAT
Membuka gelanggang bicara tentang bulan madu, pasangan selebriti itu memilih Koh Lipe, Thailand sebagai lokasi pertama mereka.
Selain tempoh cuti yang singkat lantaran tuntutan kerja, Koh Lipe juga dekat dengan Langkawi yang menjadi lokasi pernikahan mereka.
“Sejujurnya, kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana ada tuntutan kerja. Lagipun, penggambaran drama Janna sudah bermula awal Jun baru-baru ini.
“Tetapi kesempatan bercuti ini kami tetap bercuti bersama di Koh Lipe. Kira ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” katanya.
Bercakap tentang kerjaya seni dan soal perancangan zuriat, Janna berkata, mereka bakal meneruskan kerja-kerja seni selagi belum dikurniakan cahaya mata.
“Kita serahkan kepada Allah. Jika rezekinya awal, Alhamdulillah. Kami terbuka dan bersedia.
“Sekiranya ada rezeki, mungkin saya akan mula memperlahankan kerjaya seni dan fokus kepada perancangan keluarga buat sementara,” kongsinya.










