Sulu: Banyak lagi perlu dilakukan

Sulu: Banyak lagi perlu dilakukan

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung isu tuntutan waris kumpulan Sulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang memihak kepada Malaysia merupakan satu kemenangan kecil buat negara terhadap kumpulan didakwa waris Sultan Sulu dan usaha tersebut perlu diteruskan bagi menjaga kedaulatan negara.

Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan mengingatkan, usaha untuk menghalang kumpulan waris Sulu itu perlu diteruskan sehingga kemenangan sepenuhnya diperoleh.

Jelasnya, kerajaan Malaysia perlu mengambil beberapa langkah seterusnya bagi memastikan perkara itu diselesaikan secara muktamad dan tidak ada lagi pihak yang akan menggunakan ‘lubang-lubang’ dalam perundangan antarabangsa.

“Seharusnya kerajaan terus menjurus kepada dua perkara yang penting supaya dapat menyelesaikan perkara ini secara muktamad iaitu memastikan waris Sulu ini tidak boleh membawa kes ke mahkamah timbang tara atau pihak ketiga kerana ia tidak termaktub seperti di dalam perjanjian pajakan antara kesultanan Sulu dengan British.

“Kedua, menamatkan persoalan mengenai siapakah waris Sultan Sulu yang sebenar, adakah pihak menyaman itu benar-benar waris? Kita perlu buktikan sama ada mereka adalah keturunan sah atau tidak.

“Jika ini dapat dilakukan, kita dapat sahkan bahawa kumpulan tersebut bukan keturunan yang sah dan surat perjanjian tersebut tidak memberi kuasa kepada mahkamah timbang tara maka perkara ini akan ditamatkan secara muktamad,” katanya.

Sementara itu, pakar undang-Undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir ketika dihubungi berkata, sejak dari awal lagi kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu tidak ada asas dalam tuntutannya kepada Malaysia.

“Memang sesuai mahkamah putuskan demikian, sebabnya apa asas mereka meminta membayar atau membolehkan merampas harta kita. Sulu yang menuntut itu apa entiti mereka? Dia bukan negara tapi non characters.

“Ini bukan tentang Filipina melawan Malaysia, jadi memang tidak asas sejak awal lagi isu ni dibangkitkan.

“Pada saya mahkamah dalam membuat apa-apa keputusan akan bergantung kepada fakta kes, jadi apabila kita sudah ada pengalaman terkena dengan pihak terlibat, membuatkan kali ini kita sudah bersedia untuk berlawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×