Hormat bidang kuasa mutlak Agong

Hormat bidang kuasa mutlak Agong

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mana-mana pihak yang berasa kurang senang dengan pengurniaan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) kepada bekas Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang perlu menghormati bahawa keputusan itu merupakan bidang kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, budi bicara Seri Paduka dalam menentukan pemimpin yang layak menerima darjah kebesaran adalah merentasi ideologi politik, yang mana bekas Menteri Besar Kelantan daripada Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat turut dianugerahkan PSM.

Tegasnya, tindakan segelintir pemimpin politik yang cuba meraih publisiti murahan dengan menyalahkan UMNO dilihat seolah-olah tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Kalau dia mempermainkan isu Kit Siang maknanya dia mempermainkan kredibiliti Yang di-Pertuan Agong kerana untuk penganugerahan itu adalah hak mutlak Seri Paduka. Baginda boleh menerima atau menolak, saya percaya setiap penganugerahan itu ada alasan di sebaliknya oleh Seri Paduka.

“Jadi kalau nak mempertikaikan Kit Siang atau sesiapa pun, ini bukan kuasa UMNO, jadi jangan salahkan UMNO. Ini adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Saya percaya ada juga orang UMNO tak berpuas hati kenapa Kit Siang diberikan gelaran Tan Sri.

“Tetapi disebabkan kesetiaan terhadap raja, kita akur dan kita percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong ada pertimbangan baginda sendiri dan kita tidak boleh mempertikaikan apa-apa,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Nik Abdul Aziz dan Kit Siang merupakan antara 25 individu dikurniakan darjah kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri.

Kedua-dua pemimpin itu merupakan antara 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×