PETALING JAYA: Harga seekor Harimau Malaya di pasaran gelap yang mencecah AS$55,000 (RM253,000) menjadi faktor utama haiwan pemangsa tersebut menjadi sasaran utama aktiviti pemerdagangan hidupan liar (IWT) dan pemburuan haram.
Aktiviti tersebut didapati antara penyumbang terbesar Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni diambang kepupusan di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan rekod pada tahun 2012 hingga 2020, terdapat 71 kes pemburuan haram dan IWT melibatkan Harimau Malaya.
Katanya, United Nations Environment Programme (Unep) dan Polis Antarabangsa (Interpol) mengklasifikasikan jenayah alam sekitar termasuk IWT sebagai yang keempat terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah, barangan tiruan dan penyeludupan manusia.
“Bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan dalam kawasan perlindungan, Jabatan Perhilitan menubuhkan satu Pasukan Tindakan Khas Kawasan Perlindungan atau Special Protected Area Response Team (SPARTA) sebagai langkah menangani ancaman pencerobohan dan pemburuan haram dalam jangka masa panjang.
“Pasukan ini bertanggungjawab menjalankan operasi penguatkuasaan berisiko tinggi melibatkan rondaan jarak jauh, serbuan dan tangkapan penceroboh warga asing serta pemburu haram.
“Ia membabitkan kawasan di dalam Taman Negara dan Rizab Hidupan Liar di bawah pengurusan Jabatan Perhilitan,” katanya.
Akhbar ini, semalam melaporkan bilangan Harimau Malaya dalam hutan di negara ini dianggarkan kurang dari 150 ekor dan diramal mampu bertahan untuk 10 tahun lagi jika tiada usaha proaktif untuk mengelaknya pupus.
Ia berdasarkan kajian Perhilitan dengan kerjasama agensi lain termasuk World Wildlife Fund (WWF) Malaysia di kawasan hutan yang dikenali sebagai Central Forest Spine.
Kawasan tersebut merangkumi hutan-hutan di Banjaran Bintang, Banjaran Titiwangsa, Banjaran Tahan dan kompleks hutan selatan Semenanjung Malaysia dengan jumlah keluasan seluas lebih 40,000 kilometer persegi.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, selain daripada pemburuan haram dan pemerdagangan haram hidupan liar, antara punca mengakibatkan populasi Harimau Malaya semakin berkurangan adalah pengecilan habitat semula jadi mereka.
Menurutnya, hutan belantara di Malaysia merupakan habitat semula jadi Harimau Malaya yang menjadi tempat perlindungan dan mencari sumber makanan, namun, aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah tidak seimbang menyumbang kepada masalah tersebut.
“Terdapat pengurangan kawasan habitat akibat perubahan guna tanah termasuk di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai habitat utama Harimau Malaya dalam kawasan Central Forest Spine (di Semenanjung),” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika ditanya adakah ia berpunca daripada pembalakan haram, Abdul Kadir berkata, Perhilitan tidak mempunyai maklumat berhubung aktiviti tersebut dan ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. – UTUSAN










