SHAH ALAM: Exco kerajaan negeri Selangor mula mengemas dan mengosongkan pejabat mereka berikutan penggal kerajaan sedia ada hanya berbaki kira-kira tiga minggu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu adalah perkara biasa memandangkan tarikh pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah pada 25 Jun ini.
“Dulu saya pada penggal lepas pun begitu, bila dah nak bubar (DUN), kita pun bersiap sedia untuk kemas. Selepas ini, tugas mereka adalah untuk menjalankan apa yang dirancang dan tidak boleh ada dasar baharu,’’ katanya selepas menghadiri Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2023, semalam.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri kini menunggu perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menentukan tarikh pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, beliau sudah pun menghadap baginda pada minggu lalu dan memaklumkan perkara tersebut, namun menunggu perkenan Sultan Selangor sebelum mengumumkan pembubarannya.
“Minggu lepas saya sudah menghadap Baginda dan memaklumkan (berhubung sesi menghadap untuk pembubaran DUN). Secara asasnya, tuanku sedang mempertimbang tarikh sebab baginda ada beberapa perancangan lain,” katanya.
Beliau menambah, pembubaran DUN di Selangor perlu dilakukan melalui istiadat seperti yang dilakukan pada pilihan-pilihan raya sebelum ini .
“Hendak bubar DUN perlu ada mesyuarat dan tempatnya pula disediakan. Ada istiadat yang menjadi tradisi di Selangor dan ingin kita kekalkan, ia perlu dibuat dengan cermat dan teratur,” jelasnya. – UTUSAN










