Anwar nafi tawar Pas bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan

Anwar nafi kerajaan tawar Pas bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beberapa pemimpin Pas bahawa ada wakil daripada kerajaan menawarkan kepada parti itu untuk berkerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu malah ia tidak pernah dibincang di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak dimaklumkan sama sekali. Saya tidak tahu siapa ketua ranting (ketua pimpinan bahagian atau cawangan) yang sampaikankah… saya tidak tahu. Ia (tawaran) bukan daripada saya bukan juga daripada pimpinan kerajaan.

“Itu (tawaran) tanya dialah (Pas), mungkin daripada ketua rantingkah saya tidak tahu, tapi tidak pernah sampai dan tidak pernah dibincang di peringkat pimpinan yang saya tanya dalam PH atau BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia”, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar enggan menjawab soalan jika beliau mengakui kerusi-kerusi orang Melayu dan Islam dalam kerajaan kurang, sehingga mendorong kerajaan menawarkan Pas bekerjasama untuk menambah bilangan kerusi Melayu dan Islam di Dewan Rakyat.

“Tidak payahlah, you (anda) daripada mana?” soalnya kepada Utusan Malaysia.

Ahad lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan pernah dihubungi beberapa kali daripada ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau bagaimanapun mempersoal tawaran itu dengan berkata ia sepatutnya memberi kelebihan kepada Pas kerana parti itu mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak daripada parti lain.

“Ada orang hubungi saya…beberapa orang acap kali nak berjumpa dengan tawaran untuk menyertai kerajaan. Pas ada 43 kerusi…PKR 30 sahaja. Dalam keadaan 30 kerusi ini, sembilan kerusi adalah bukan Melayu, 19 sahaja Islam.

“Dalam keadaan PKR, DAP pula, tiga Melayu dari 40 kerusi, 37 kerusi bukan Melayu. Kalau campur gabungan itu, kerajaan akan didominasi oleh orang Islam,” katanya seperti dilapor pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia, baru-baru ini.

Timbalannya pula, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dilaporkan turut menyokong dan mengesahkan dakwaan tersebut, malah tawaran yang disampaikan wakil kerajaan itu telah bertemu dengan beliau sendiri.

Pun begitu, katanya, Pas menyatakan pendirian untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengesahkan wujud tawaran untuk parti itu bekerjasama dalam kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan.

Lebih menarik, kata Hashim, tawaran itu datang daripada seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan namun enggan mendedahkan perinciannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×