KOTA TINGGI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan beberapa perubahan bagi menarik minat golongan muda di negara menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk melaksanakan sistem pendidikan anjal.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perubahan itu termasuk melakukan sesi pembelajaran secara fizikal selama beberapa tahun di universiti dan rumah.
“Beberapa kursus dipendekkan dari empat tahun ke tiga tahun. Pengendalian seperti asasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) boleh masuk dengan keputusan asas tetapi mereka boleh ke peringkat yang mana mereka mahu.
“Kalau masuk menerusi politeknik selama tiga tahun, bila sambung boleh terus masuk tahun dua. Jadi, kita akan jadikan semua itu lebih mudah dan kita juga akan tekankan latihan industri dan work base training, tidak semua pembelajaran mesti dalam kelas, pelajar berada beberapa bulan di industri, di lapangan.
“Itu semua sedang dirangka dan saya akan umumkan semua perkara ini pada penutupan Program Jom Masuk U yang dijangka pada 4 Jun ini,” katanya diminta mengulas tarikan ekonomi gig dalam kalangan golongan muda sehingga dikhuatiri mengurangkan minat melanjutkan pengajian ke IPT.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menghadiri Program Semarak Komuniti Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di di sini, semalam.
Beliau turut memaklumkan, permohonan ke universiti yang direkodkan sejak tahun 2020-2022 menunjukkan peningkatan dengan kapasiti universiti awam mencapai 85 peratus. – UTUSAN










