MUKADIMAH
CABARAN industri pembinaan pasca pandemik Covid-19 semakin ketara apabila hampir 40,000 kontraktor pelbagai kategori terpaksa gulung tikar sejak tahun 2020 selepas mendapati perniagaan itu bukan lagi sesuatu yang menguntungkan.
Hal itu terjadi disebabkan pelbagai faktor antaranya peningkatan harga kos bahan binaan, ‘kelahiran’ kontraktor baharu bak cendawan tumbuh selepas hujan ditambah pula dengan projek yang diberikan semakin berkurang menjadi penyumbang kepada kepada situasi tersebut.
Apa yang pasti pandemik Covid-19 sehingga memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara adalah antara punca utama sejumlah besar kontraktor terpaksa menutup syarikat manakala yang masih beroperasi hanya tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’.
Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, FITRI NIZAM menemuramah Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), DATUK SERI MOHAMED FADZILL HASSAN untuk mendalami isu tersebut. Turut membantu jurufoto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.
MINGGUAN MALAYSIA: Berapa ramai kontraktor yang terpaksa gulung tikar sepanjang tiga tahun kebelakangan ini?
MOHAMED FADZILL HASSAN: Isu kontraktor gulung tikar bukanlah sesuatu yang baharu disebabkan pelbagai faktor antaranya persaingan dengan syarikat lain, kenaikan harga kos barang pembinaan dan sebagainya.
Bagaimanapun, berdasarkan statistik untuk tiga tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara membabitkan kontraktor gulung tikar iaitu sebanyak lebih 10,000 syarikat ditamatkan dan tidak memperbaharui lesen masing-masing merangkumi semua kategori pada 2020.
Pada 2021 pula, statistiknya memuncak apabila mencecah 18,000 kontraktor lagi gulung tikar manakala tahun lalu sekitar 10,000 lagi menutup operasinya.
Jumlah untuk tiga tahun berkenaan sangat besar berbanding 2018 dan 2019 yang mencatatkan hampir 12,000 lesen kontraktor tamat dan tidak diperbaharui.
Sejak 2020 hingga 2022, kontraktor paling teruk terjejas sehingga menyebabkan mereka gulung tikar adalah berkategori G1 hingga G3 dengan jumlah keseluruhannya sebanyak lebih 32,000 lesen.
Jika dijumlahkan semuanya, sebanyak hampir 50,000 kontraktor gulung tikar sejak 2018 hingga 2022 membabitkan semua kategori.
Apakah faktor yang menyumbang kepada kes kontraktor terpaksa gulung tikar?
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut antaranya tak ada modal, peningkatan persaingan, kos pembinaan meningkat, pandemik Covid-19 sehingga berlakunya PKP, projek kerajaan dan swasta semakin sedikit serta beberapa lagi faktor lain.
Bagaimanapun, faktor utamanya adalah disebabkan kurangnya projek sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Selain itu, persaingan tinggi disebabkan pengeluaran lesen tanpa kawalan hingga membawa kepada wujudnya banyak pemain baharu dalam industri turut menyumbang kepada keadaan itu. Bayangkan, lesen ada tapi dua tiga tahun tak ada projek, hendak hidup macam mana? Pada mereka, lebih baik tidak perbaharui lesen tersebut.
Untuk perbaharui lesen saja, kontraktor perlu bayar beribu-ribu ringgit tetapi projek belum tentu ada lagi, sebab itu kebanyakan mereka yang sudah tamat lesen tidak mahu memperbaharuinya.
Selain pandemik Covid-19, apa lagi faktor lain yang menyebabkan kontraktor gulung tikar?
PKMM nampak antara faktor terbesar isu ini berlaku adalah disebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada September 2019 membuka semula pemberian lesen kepada kontraktor baharu selepas ia dibekukan sejak 2005.
Sebelum lesen dibuka semula, kontraktor yang ada sekitar 60,000 lebih sahaja namun mengikut data pada bulan lalu, kita sudah ada sebanyak 136,000 syarikat baharu dalam semua kategori.
Pada peringkat awal, alasan diberikan kerajaan ketika itu untuk membuka semula pemberian lesen adalah untuk memberi peluang kepada graduan lepasan teknikal dan PKMM menerima namun sejak kebelakangan ini ia bukan lagi terikat dengan teknikal sebaliknya dipermudahkan.
Kamu pergi saja kursus lima hari untuk Sijil Kecekapan Kerja Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) boleh terus layak untuk memohon lesen baharu, tak perlu lagi diploma atau ijazah. Maksudnya, ia terlalu mudah.
Sekali pun jika jumlah projek hampir sama seperti sebelum pandemik Covid-19 namun pertambahan kontraktor lebih sekali ganda dalam masa dua tahun, bayangkanlah bagaimana hendak teruskan perniagaan? Kami jangkakan jumlah tersebut terus meningkat.
LESEN TAK TERKAWAL
Apakah kesan negatif apabila pemberian lesen tidak terkawal?
Dalam keadaan sedar atau tidak, pertambahan lesen baharu membawa kepada kesan negatif kepada industri kontraktor walaupun ada syarikat sudah tutup operasi diganti dengan wujudnya golongan baharu.
Masalah utamanya adalah dengan peluang pekerjaan semakin mengecil tapi terdapat pertambahan kontraktor tanpa ada sekatan atau angka tunjuk sebagai asas, industri dibuka seluas-luasnya sedangkan lesen teksi atau permit bas pun ada had.
Dalam sektor pembinaan langsung tiada had dengan kelayakan minimum siapa pun boleh dapat.
Maksudnya, kerajaan tidak nampak isu kontraktor yang terpaksa gulung tikar sebaliknya memikirkan untuk memberi peluang sedangkan ia sudah lebih daripada mencukupi.
Sudah tiada peluang pun dengan kapasiti dan kuantiti lesen sedia ada bahkan ia sebenarnya membuka ruang kepada syarikat baharu turut sama gulung tikar.
Jadi apakah solusi yang PKMM mahu sarankan kepada kerajaan untuk tangani isu pertambahan lesen baharu?
Pada Mesyuarat Agung PKMM Tahunan Kali Ke-39 baru-baru ini (Khamis lalu), kami memutuskan untuk mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan supaya membekukan pemberian lesen baharu daripada G1 hingga G7 sehingga keadaan ekonomi negara stabil dan kukuh.
Pada 2005, PKMM sudah pun meminta ia dibekukan jadi sudah tiadalah pemberian lesen tersebut, tapi ketika pemerintahan PH (September 2019) kerajaan ketika itu mengatakan bahawa mereka mahu memberi peluang kepada orang Melayu untuk berniaga, jadi mereka buka semula (pemberian lesen).
Permohonan tersebut semakin bertambah ketika pelaksanaan PKP yang mana semuanya dibuat secara atas talian dengan bayaran sekitar RM2,500 sahaja untuk mendapatkan lesen G1.
Alasannya adalah untuk membantu graduan tiada kerja tapi bagi PKMM, sebenarnya tindakan membuka semula pemberian lesen bukannya membantu sebaliknya ‘membunuh’ mereka.
Sebagai contoh, untuk mempertahankan lesen G7 sedia ada, kontraktor perlukan lebih kurang RM200,000 setahun namun belum tentu ada projek lagi.
Untuk mengekalkan lesen itu, syarikat perlu menggajikan dua jurutera berpengalaman dengan anggaran gaji sebanyak RM5,000 sebulan untuk setiap seorang, jadi untuk setahun saja memerlukan RM120,000.
Jumlah itu, belum termasuk gaji kerani, kos sewa pejabat, bil utiliti dan sebagainya.
Jadi, kalau boleh kita harap supaya kerajaan bekukanlah dulu pemberian lesen G1 hingga G7 supaya kontraktor sedia ada boleh teruskan kehidupan.
KURANG PROJEK
Bagaimana dengan jumlah projek selepas pandemik Covid-19, adakah bertambah?
Projek memang sangat kurang tapi peratusan sebenar PKMM tiada data itu, cumanya kami anggarkan ia berkurang sekitar 50 peratus berbanding sebelum pandemik.
Ramai antara kontraktor sudah tiada kerja sejak selepas PKP. Ia bukan saja membabitkan projek kerajaan bahkan pihak swasta.
Dalam keadaan ekonomi tidak menentu siapa yang berani untuk buat projek baharu?
Selain itu, kebanyakan projek jalan raya di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) pula diberikan kepada pihak konsesi, tapi kita tak salahkan konsesi, jika dia layak buat teruskan.
Kerajaan hanya berunding dengan satu syarikat konsesi saja, mereka sudah ada jadual kadar harga dan ia disifatkan sebagai telus. Jadi, soal kerajaan nak bayar atau tak, ia hanya membabitkan satu syarikat sahaja, jika projek diberikan kepada kontraktor banyak perkara perlu disediakan kerajaan.
Tambahan pula, jika konsesi sudah dapat projek tersebut, kita nak pergi sekat tak bolehlah, nanti kena bayar pampasan pula kepada syarikat berkenaan.
KOS BAHAN BINAAN NAIK
Bagaimana pula dengan peningkatan kos bahan binaan? Adakah kontraktor terkesan?
Peningkatan harga kos barang adalah sesuatu yang tak boleh dielak oleh mana-mana industri sekali pun, namun kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) ada memberikan Syarat Perubahan Harga (VOP) membabitkan 15 bahan binaan, cumanya ia tidak berapa membantu kerana hanya mengurangkan 10 hingga 20 peratus daripada harga sebenar.
Sebagai contoh, untuk satu projek bangunan bahan yang digunakan daripada sekecil-kecil batu sehingga sebesar-besar besi adalah lebih 1,000 bahan namun yang diluluskan VOP hanya 15 bahan sahaja.
Ia tidak mencukupi untuk mengawal harga sebenar kenaikan kos bahan binaan.
Kenaikan harga itu pula berbeza-beza mengikut zon masing-masing, sebagai contoh, di Pulau Pinang kos bahan kuari naik sebabnya kerajaan negeri menghentikan pembukaan kuari baharu.
Ia menyebabkan harga pasir, batu tiga suku dan beberapa lagi naik ‘gila-gila’. Satu lori pasir boleh mencecah RM1,200.
Itu belum ambil kira peningkatan kos pengangkutan, apabila harga minyak diesel naik automatik lori juga naik harga.
Harga bahan binaan tersebut berbeza-beza di setiap negeri.
Apakah pandangan PKMM mengenai konsep cabutan undi perolehan kontrak kerajaan?
Konsep cabutan undi kontrak kerajaan sebenarnya adalah suatu kaedah yang sangat adil dan telus berbanding cara lama dengan menghantar sebut harga.
PKMM amat menyarankan supaya kerajaan dapat menggunakan kaedah ini dalam proses perolehan projek di setiap kementerian dan agensi namun kami menerima aduan bahawa hanya beberapa agensi saja yang melakukannya.
Sebagai contoh, di Pulau Pinang, hanya JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) saja menggunakan konsep tersebut bahkan mereka juga melakukan cabutan undi perdana selain di daerah-daerah.
Tapi dua agensi itu sajalah yang banyak pun, agensi lain ‘ketegaq’ (degil), tak mahu dengar arahan. Terus terang saya beritahu pendidikan (Kementerian Pendidikan}, mereka (masih) panggil sendiri untuk sebut harga.
Cabutan undi ini sangat adil bahkan ahli PKMM juga bersetuju ia dilaksanakan kerana peluangnya terbuka, jika guna konsep sebut harga tahu-tahu sendirilah. Ada yang tidak berpuas hati sehinggakan sampai tiga tahun pun tak dapat projek.
Konsep cabutan undi ini lebih telus, kita percaya dan kita sarankan supaya semua projek dikumpulkan sebelum diberi kepada Pejabat Pembangunan Negeri atau Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakannya. Siapa sudah dapat bagi peluang kepada orang lain pula.
Apa cadangan penambahbaikan PKMM terhadap konsep cabutan undi?
Kita minta supaya Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri menggesa semua agensi dan jabatan menggunakan konsep cabutan undi secara menyeluruh untuk kontraktor G1 dan G2 namun kalau boleh biarlah sehingga G4, ia lebih baik.
Selain itu, kita minta supaya kerajaan membuat pendaftaran mengundi secara setempat atau berpusat bukannya di semua jabatan.
Jika pendaftarannya dibuat secara berasingan kemungkinan satu kontraktor boleh memperoleh dua atau tiga projek pada sesuatu masa.
Itu sebabnya PKMM mencadangkan supaya semua projek dikumpulkan dan dihantar ke Pejabat Pembangunan Negeri atau Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan proses cabutan undi, barulah adil.
Konsep cabutan undi ini bukan sekadar telus malah menguntungkan semua pihak termasuk kerajaan, kontraktor dan rakyat.
Proses menghantar sebut harga sebenarnya mengambil masa paling cepat antara tiga minggu hingga ke sebulan untuk diluluskan barulah kerja dapat dijalankan.
Namun, proses cabutan undi jika hari ini selesai dalam masa tiga ke empat hari kontraktor sudah boleh memulakan kerja. Pada masa sama, proses cabutan undi juga dapat mengelakkan ketirisan, kronisme dan sebagainya.
SIMEN RAHMAH
Apa pandangan PKMM mengenai Simen Rahmah, adakah ia membantu mengurangkan kos kontraktor?
Simen Rahmah ini bagus, tahniah kepada kerajaan kerana mewujudkannya, namun ia hanya untuk projek perumahan rakyat miskin B40 sahaja.
Syarikat yang dapat menikmatinya seperti SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) untuk projek rumah murah.
Apa yang menteri umum itu betullah membantu, tetapi syarikat (simen) mahukah beri murah kepada kami? Susah.
Berdasarkan cabaran dihadapi kontraktor masa kini, adakah industri ini masih lagi menguntungkan untuk disertai?
Tidak, bidang pembinaan bukan lagi industri yang ideal. Lihat saja ahli PKMM semuanya sudah pun berusia, jika bidang ini bagus sudah tentu generasi muda mahu mengambil alih.
Ia bukan lagi good business seperti yang digembar-gembur zaman sebelum ini.
Oleh sebab itu, PKMM gesa kerajaan supaya bekukan dulu pemberian lesen baharu, jangan ‘bunuh’ lagi kontraktor sedia ada. Sekarang susah dah hendak mendapat keuntungan dan meneruskan kelangsungan kehidupan serta perniagaan. – Mingguan Malaysia











