Cuaca panas pengaruhi hasil tanaman petani - Utusan Malaysia

Cuaca panas pengaruhi hasil tanaman petani

CHE Kamaruzaman Gan Chai menunjukkan pokok pisang miliknya yang terbantut akibat cuaca panas melampau di Kampung Bukit Gading, Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lokasi dan jenis tanaman faktor yang mempe­ngaruhi hasil pertanian dan perladangan ketika cuaca panas sedang melanda negara.

Pakar Governan Persekitaran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, sektor pertanian dan perladangan sedikit terjejas akibat cuaca panas.

“Sayuran yang ditanam di ta­nah tinggi akan lebih terjejas jika cuasa panas melebihi 37 darjah Celsius secara berlarutan.

“Tanaman seperti lobak, tomato dan brokoli yang ditanam di Cameron Highlands terjejas jika suhu meningkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, antara keperluan bagi proses fotosintesis tumbuhan adalah karbon dioksida air dan cahaya matahari tetapi air lebih mempengaruhi hasil tumbesaran pertanian.

“Jika suhu mencecah 35 hingga ke 37 darjah Celsius, petani perlu lakukan langkah berjaga-jaga bagi memastikan hasil pengeluaran bertambah dan berkualiti.

“Hasil tanaman perladangan yang terjejas adalah kelapa sawit sebanyak 15 peratus, padi sebanyak 10 peratus dan getah 50 peratus.

“Hasil perladangan yang teruk terjejas adalah getah kerana luruhan daun mempengaruhi hasil getah dan mengganggu proses pengeluaran susu getah,” katanya.

SUHU PANAS

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini melaporkan beberapa daerah iaitu Kuala Krai, Pasir Mas di Kelantan dan Rompin di Johor merekodkan suhu panas tahap 1 iaitu 37 darjah Celsius.

Mengikut maklumat terbaharu, Padang Terap di Kedah dan Sibu di Sarawak juga sedang mengalami suhu panas.

Menurut MetMalaysia, suhu maksimum harian bagi kawasan yang berada di tahap tersebut ialah 35 darjah Celsius dan boleh mencapai sehingga 37 darjah Celsius.

Kata beliau, keadaan suhu tersebut akan terus berlaku sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Mengulas lanjut, kata Haliza, air mempengaruhi penghasilan tanaman dalam sektor pertanian dan perladangan kerana jika cuaca panas tetapi air mencukupi tiada masalah tetapi jika air tidak mencukupi sektor itu akan terjejas.

“Suhu 35 darjah Celsius adalah suhu yang ideal untuk pertanian tetapi jika suhu berada di antara 37 darjah Celsius dan ke atas akan menyebabkan serangan serangga perosak terjadi dan menyebabkan tanaman tidak berkualiti serta terbantut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×