ALOR SETAR: Kolej Tentera Udara di Kepala Batas dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dekat sini antara yang bakal tenggelam sekiranya ramalan kenaikan paras air laut menjadi kenyataan menjelang 2050.
Stadium Darul Aman berdekatan Menara Alor Setar pula mungkin menjadi pesisir pantai disebabkan pencairan glasier Greenland dan Antartika serta kepingan ais, perubahan suhu dalam simpanan daratan dan pengembangan haba lautan seperti kajian oleh Nature Communications iaitu Elevation Data Triple Estimation to Sea – Level Rise and Coastal Flooding
Malah, Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah dan Muzium Kota Kuala Kedah juga antara lokasi yang hanya akan menjadi sejarah kerana kawasan pinggir laut itu lenyap daripada kawasan daratan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai terutama penduduk sekitar Alor Setar seakan-akan tidak percaya dengan ramalan itu, namun tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku.
Kakitangan swasta, Faizal Hussin, 48, berkata, dia tidak dapat membayangkan keadaan bandar raya Alor Setar yang akan menjadi pulau dalam tempoh kurang 30 tahun lagi.
“Sekarang kita hanya menaiki feri jika ingin ke Langkawi dari tanah besar. Tetapi dengan ramalan terbabit, penduduk dari Pokok Sena, Jitra dan Pendang pun mungkin perlu naik feri jika mahu ke Alor Setar.
“Sudah tentu kalau diikutkan tidak masuk akal ramalan itu buat masa ini tetapi tidak mustahil dengan kajian menggunakan peralatan canggih oleh pakar-pakar, kita hanya tunggu dan lihat,” katanya di sini, semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, beberapa bandar di Malaysia bakal hilang daripada peta kerana ditenggelami laut disebabkan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang menyebabkan kenaikan paras laut menjelang 2050.
Selain Alor Setar yang menjadi sebuah pulau, Parit Buntar sehingga Taiping di Perak dan Pekan, Pahang antara yang diramal tenggelam ekoran perubahan iklim dunia yang begitu ketara dan drastik.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Maria Azila Kamarulzaman, 37, berkata, cuaca panas dan musim kemarau yang turut melanda negeri ini ketika ini mungkin sebahagian daripada proses terbabit.
“Saya pernah dengar mengenai ramalan ini beberapa tahun dahulu tetapi tidak tahu sejauh mana kebenarannya dan bagaimana ia boleh menyumbang kepada berlakunya perkara yang disebut seperti Alor Setar akan menjadi pulau,” katanya. – UTUSAN










