KUALA TERENGGANU: Tidak seperti di bandar-bandar, sayur dan buah-buahan menjadi pilihan beberapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I di sini sebagai hadiah buat guru mereka sempena sambutan Hari Guru semalam.
Antara sayur dan buah-buahan dibawa murid adalah salad, lobak, lada dan timun selain buah mempelam serta gajus.
Nurul Fatihah yang mengajar Bahasa Inggeris berkata, dia terharu dengan pemberian anak muridnya yang kreatif bagi menunjukkan penghargaan kepada guru.
“Lazimnya pelajar bagi kek atau kad ucapan sebaliknya beberapa murid tahun empat dan lima masuk ke bilik guru sebelum menghadiahkan kami sayur dan buah-buahan.
“Kami tidak harapkan apa-apa kerana sudah jadi tanggungjawab untuk mendidik murid. Kebetulan hari ini sambutan Aidilfitri dan Hari Guru, mereka datang dengan hadiah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kira-kira 700 murid dan 30 orang guru SK Sultan Sulaiman I juga berpakaian lengkap berbaju raya sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru.
Sementara itu, murid tahun empat, Nur Irdina Zarahana Zulkifli berkata, hadiah itu tanda ingatannya dan rakan-rakan lain kepada guru-guru di sekolah yang mengajar kami dengan dedikasi.
“Saya dan kawan-kawan bercadang menyampaikan hadiah yang mempunyai kelainan daripada biasa kepada guru kami pada tahun ini.
“Ini kerana antara kami ada kebun, jadi kami jadikan sayur dan buah sebagai hadiah buat guru-guru kami,” katanya. – UTUSAN










