Kesatuan Kerajaan Perpaduan

Kesatuan Kerajaan Perpaduan

Anwar Ibrahim menandatangani Tekad Bersama Kerajaan Perpaduan disaksikan pemimpin-pemimpin parti pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka WTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesemua 19 par­ti sebulat suara menyatakan kesatuan dalam terus mendukung kerajaan perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Kesepakatan itu jelas diza­hirkan oleh sayap Pemuda, Puteri dan Wanita dari kese­mua parti kerajaan yang ber­tekad untuk bekerjasama da­lam menjayakan usaha dan dasar kerajaan.

Malah, pemimpin-pemim­pin utama kerajaan menunjukkan kemesraan antara satu sama lain apabila slogan Dulu lawan sekarang kawan kini menjadi laungan popular serta menerima sorakan gemuruh daripada penyokong parti kerajaan.

Ini pertama kali kesemua parti kerajaan menyatakan ke­satuan di atas pentas yang sama selepas enam bulan membentuk kerajaan dan mentadbir negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, kesatuan kerajaan perpaduan yang ditadbirnya ketika ini adalah kerana komitmen berterusan daripada kepimpinan dan parti-parti yang mendukung kerajaan.

Kata Anwar, kepimpinan kerajaan sedia ada serta parti-parti kerajaan telah banyak berkorban demi mewujudkan kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Saya tidak mungkin berjaya membentuk kerajaan ini dengan membawa cita-cita dan harapan negara kalau tidak ada semangat kesepaduan secara serius oleh bukan sahaja 148 ahli Parlimen tapi juga parti yang bergabung dengan kerajaan.

“Terima kasih kepada ke­pimpinan kerajaan yang tunjukkan komitmen, mereka sanggup leburkan pertarungan dan memaafkan kenyataan lalu ekoran suhu politik yang hangat, fobia terhadap parti, kalau tidak, tidak mungkin wujud Kerajaan Perpaduan yang mantap,” katanya ketika menyam­paikan ucapan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam.

Pada masa sama, katanya, kestabilan kerajaan yang di­terajuinya juga adalah kerana ia mempunyai matlamat yang jelas berbanding kerajaan terdahulu.

“Tak ada orang yang bersatu tanpa matlamat. Ada yang bersatu untuk selamatkan diri, ada yang bersatu untuk teruskan cara lama memunggah kekayaan tapi kita bersatu untuk meninggalkan kekacauan dan kerosakan lama bagi membentuk Malaysia baharu berteraskan madani terhadap tamadun, bangsa dan negara, besar bezanya.

“Kerajaan sekarang kukuh, kalau ada yang masih mengigau, bawa usul kita bertempur di Parlimen. Kerajaan ini stabil, pimpinannya terbuka, tidak angkuh dan tidak ada satu laporan setakat ini mengenai kecurangan oleh pimpinan kerajaan,” katanya.

Justeru, beliau yakin Kerajaan Perpaduan akan menerajui negara buat jangka masa yang lama, melangkaui Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Sebelum ini ada yang kata kerajaan ini tahan tiga bulan sebelum puasa, ada kata sebelum Tahun Baharu Cina, ada pula kata sebelum Raya Haji.

“Tapi alhamdulillah, dengan konvensyen ini memberi signal jelas kepada rakyat, bahawa kerajaan bukan sahaja stabil tetapi kekal hingga PRU akan datang, dengan kekalkan tatakelola baik, hentikan amalan rasuah dan salah guna serta memastikan dasar yang boleh memacu pertumbuhan dan membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau juga sempat memuji komitmen yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang terus mendukung kerajaan ketika ini.

“Beliaulah yang paling banyak diserang. Kalau tidak kerana komitmen Zahid dan dukungan ahli Parlimen UMNO, sejarah tentu berubah, jadi kita harus iktiraf peranan beliau. Namun, dalam ke­adaan kritikal pembentukan kerajaan, Yang di-Pertuan ­Agong dan Premier Sarawak juga menjadi faktor penentu,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid juga melahirkan keyakinan beliau bahawa kestabilan Kerajaan Perpaduan ini bukan sahaja akan kukuh selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), tetapi juga terus kekal selepas PRU-16.

“Jika kita terus sederap membantu Datuk Seri Anwar dan saya yakin idealisme te­lah diterjemah dalam bentuk dasar yang baik, Kerajaan Perpaduan, kerajaan madani ini, insya-Allah melepasi PRU16,” katanya.

Pendirian Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut disokong oleh ketua-ketua parti kerajaan antaranya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyi­fatkan masa depan lebih cerah untuk Malaysia jika 19 parti ini bekerjasama mendukung kerajaan.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula menganggap toleransi satu sama lain perlu diterapkan namun perlu diikat de­ngan keikhlasan supaya hala tuju kerajaan perpaduan dapat dikentalkan.

Ini diikuti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor yang berkata, kebersamaan Gabungan Rakyat Sabah dalam kerajaan adalah demi rakyat dan memberi jaminan akan terus memperkukuh kerajaan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pula akan terus bersama kerajaan perpaduan kerana Gabungan Parti Sarawak mahu sebuah kerajaan yang stabil dan memberi komitmen kepada Anwar untuk terus mentadbir negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×