Guna blog dapatkan habuan

Guna blog dapatkan habuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Membuat ulasan terhadap sesuatu isu ‘panas’ dilaporkan media bagi membangkitkan lagi persepsi masyarakat terhadap perkara yang dibangkitkan.

Itu modus operasi digunakan segelintir penulis blog di negara ini yang dikesan menggunakan pengaruh mereka dalam laman sosial untuk mendapatkan habuan terhadap sesuatu organisasi dan individu.

Satu sumber yang mendedahkan perbuatan itu kepada Mingguan Malaysia berkata, penulis-penulis blog berkenaan mengulas isu-isu panas itu dengan ditokok tambah maklumat yang tiada kesahihan dengan tujuan mempengaruhi pengunjung laman blog mereka mempercayainya.

“Sebaik sahaja laporan itu mendapat perhatian ramai, mereka (penulis blog) ini meminta wang kepada organisasi atau individu berkenaan sebagai jaminan mereka akan menghentikan ulasan dipaparkan mereka.

“Kebanyakan ulasan yang dipaparkan mereka adalah berbentuk serangan peribadi dan buruk bagi menjatuhkan reputasi organisasi atau individu tertentu,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penulis blog bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam satu projek bernilai lebih kurang RM41 juta di sebuah kementerian.

Menurut satu sumber lain, suspek lelaki yang mempunyai ramai pengikut berkenaan dipercayai menerima rasuah berjumlah lebih kurang RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar tahun 2020.

Tambah sumber, permintaan dan pembayaran rasuah tersebut dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

“Selain daripada isu jenayah rasuah, SPRM juga akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek ini dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×