FENOMENA bahang dan cuaca panas yang melanda di kebanyakan tempat di Semenanjung dijangkakan sehingga Ogos ini seperti dimaklumkan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, kelmarin.
Menurutnya, di kawasan Utara mengalami cuaca kering dan kalau diikutkan ramalan akan sampai ke seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Namun, beliau mendapati dalam beberapa minggu ini di Lembah Klang, hujan masih turun.
Sehubungan itu, semua pihak perlu peka dengan perubahan cuaca yang boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan diri.
Baru-baru ini berlaku kes menyedihkan apabila seorang penunggang motosikal disambar kilat semasa melalui Jambatan Seri Cheeding, Kuala Langat. Mangsa ketika itu sedang menuju ke tempat kerja pada pukul 6.20 petang, Kejadian bukan sahaja menyebabkan jalan rosak malahan kehilangan nyawa.
Sememangnya malang tidak berbau, namun dalam keadaan cuaca turun naik antara panas dan sejuk, semua pihak tidak kira yang berada di dalam atau di luar rumah perlu membuat penilaian bijak bagi menyesuaikan aktiviti seharian. Bagi mereka yang memandu kereta, cuaca panas bukanlah masalah besar kerana apa yang perlu dilakukan hanyalah memetik suis penyaman udara jika terasa bahang.
Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, ia telah memberi kesan domino yang menyebabkan ekonomi merudum, jumlah pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal semakin meningkat. Penggunaan kenderaan dua roda tersebut lebih menjimatkan kos pengangkutan ke tempat kerja.
Oleh itu, penunggang motosikal yang perlu menghadapi cuaca panas dan hujan secara langsung dinasihatkan membuat persediaan melindungi diri daripada bencana seperti kilat sabung-menyabung dan strok haba.
Pihak berkuasa kebelakangan ini memfokus kepada pelajar sekolah dalam usaha memastikan golongan tersebut tidak terdedah kepada strok haba semasa aktiviti di luar kelas. Namun, masalah strok haba turut menjejaskan pekerja ekonomi gig seperti penghantar barangan dan makanan, posmen serta penjaja bergerak dan statik.
Dalam cuaca panas terik, semua jenis penunggang motosikal perlu mengambil langkah mengelakkan diri daripada risiko diserang strok haba yang boleh menyebabkan dehidrasi mahupun cuaca hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir dan kilat yang mampu membunuh.
HELMET
Langkah terbaik untuk melindungi diri semasa menunggang motosikal dalam cuaca panas adalah memakai kelengkapan keselamatan yang terbaik. Sememangnya seperti yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan, penunggang motosikal wajib memakai helmet ketika berada di jalan raya. Jika memakai helmet, pakailah dengan sempurna, bukannya sekadar sarung secara sambil lewa.
Ketika cuaca panas ini, sebaiknya pakailah helmet yang memiliki ruang pengudaraan yang banyak. Lebih banyak saluran pengudaraan, lebih baik. Ini kerana ia membantu dalam menyalurkan angin sejuk ke bahagian dalam helmet. Selain itu, elakkan juga memakai helmet berwarna hitam yang mampu menyerap haba dalam kadar tinggi.
Kedua, ketika menunggang motosikal di laluan sikal seperti lebuh raya, pakailah baju daripada fabrik poliester. Baju jenis fabrik sebegini dapat mengatasi masalah peluh dengan menyerap sebarang kelembapan di bahagian kulit. Selain itu, ia turut membantu melindungi tubuh badan daripada sinaran ultraviolet berbahaya.
Ketiga, penunggang motosikal boleh memakai jaket penyejuk yang boleh dibeli secara dalam talian. Jaket tersebut boleh bertindak untuk mengatasi suhu panas sekali gus memastikan tunggangan anda selesa dan lebih nyaman.
Keempat dan paling penting, elakkan memakai jaket kulit semasa menunggang dalam cuaca lebih 37 darjah Celsius. Jaket kulit sememangnya menimbulkan perasaan bergaya tetapi bukanlah kelengkapan yang sesuai untuk dipakai ketika musim panas. Ini disebabkan jaket jenis ini tidak memiliki ruang pengudaraan lantas mampu menyebabkan badan berdepan kepanasan melampau. Sememangnya semua penunggang motosikal terutama yang berkuasa tinggi akan mengenakan jaket kulit untuk keselamatan tetapi buat sementara waktu, kenakan pakaian yang lebih kondusif pengudaraannya.
Langkah kelima, nasihat kepada penunggang motosikal adalah menyediakan botol air berkapasiti sekurang-kurangnya tiga liter sebelum meredah jalan tar yang panas membahang. Sesungguhnya menunggang motosikal dalam cuaca panas memudaratkan apabila tubuh badan mengeluarkan air peluh secara luar biasa. Sekiranya kurang minum air, kita berisiko untuk mengalami strok haba yang menyebabkan berlaku risiko pengsan atau pitam. Pastikan anda membawa sebotol atau lebih air minuman semasa menempuh persekitaran yang menyengat dengan sinaran mentari.
Nasihat kepada setiap penunggang motosikal yang bercadang untuk berjalan jauh terutama hujung minggu, pastikan minum banyak air dan disarankan memulakan perjalanan pada waktu pagi.
Berhentilah di kawasan rehat dan rawat (R&R) apabila masuk pukul 12 tengah hari membawa ke 2 petang di saat pancaran ultra ungu di tahap maksimum.
Sentiasa peka dengan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa berhubung keadaan cuaca. Ini penting kerana MetMalaysia mengumpul data-data cuaca seluruh negeri yang mungkin menjadi laluan konvoi motosikal. Perjalanan di lebuh raya bukan sahaja melibatkan laporan kesesakan lalu lintas malahan ritma cuaca yang tidak menentu perlu sentiasa menjadi panduan marsyal konvoi motosikal.
Strok haba tidak mengenal mangsa, oleh itu kita sebagai penunggang motosikal harus menjaga kesihatan diri dengan mendengar nasihat pakar tidak kira dari Kementerian Pengangkutan mahupun Kementerian Kesihatan. Paling penting, nasihat bukan sekadar didengari tetapi menjadi amali. Itu yang paling afdal sebelum pendikit dipulas untuk memulakan destinasi mencari rezeki atau berlibur membawa diri. – UTUSAN










