KINI, majoriti kaum Cina di Malaysia tidak lagi dilahirkan dan membesar di China seperti nenek moyang mereka. Namun, daripada tinjauan saya, fahaman konfusianisme masih pekat dalam pemikiran, pegangan hidup dan tingkah laku kaum Cina di negara ini.
Konfusianisme sebenarnya ialah satu pengajaran falsafah yang diamalkan oleh masyarakat Cina seawal 2,500 tahun dahulu di tanah besar China untuk mempertingkatkan akhlak dan menjaga etika manusia. Asas sistem pemikiran ini dipelopori oleh Kongzi (Confucius), seorang ahli falsafah yang lahir di China pada 551 Sebelum Masehi. Beliau sangat bijak sejak kecil dan menunjukkan minat yang kuat dalam mempelajari tatacara upacara keagamaan.
Kongzi hidup pada zaman Dinasti Zhou yang dirujuk sebagai Zaman Peperangan Musim Bunga dan Musim Luruh. Negara-negara pada zaman itu asyik berperang sesama diri. Ekoran itu, negara huru-hara dan rakyat jelata hidup menderita.
Kongzi sangat benci dengan keadaan politik yang wujud pada zaman tersebut. Maka beliau berusaha membentuk satu sistem pemikiran untuk memulihkan ketenteraman masyarakat.
Sesungguhnya, fahaman konfusianisme merupakan tonggak peradaban tradisional Cina sejak dahulu lagi. Ia banyak mempengaruhi kehidupan kaum Cina terutama sekali dalam aspek akhlak, pendidikan, kekeluargaan, politik dan kemasyarakatan. Ajaran konfusianisme menekankan kasih sayang (ren), keadilan (yi), kesopanan (li), kebijaksanaan (zhi) dan kepercayaan (xin) sebagai prinsip asas moral manusia.
Justeru, orang Cina menjalani kehidupan harian mereka berpandukan pegangan moral saranan konfusianisme. Pegangan moral konfusianisme itu sering dijadikan pedoman orang Cina untuk memandu tingkah laku mereka dan memelihara hubungan baik dengan orang lain.
Konfusianisme menitikberatkan pendidikan dan percaya bahawa akhlak, pengetahuan dan kemampuan manusia hanya dapat dipertingkatkan melalui saluran pendidikan. Masyarakat Cina sangat mementingkan pembangunan insan melalui pendidikan.
Ibu bapa keluarga Cina biasanya banyak menghabiskan masa untuk memantau pembelajaran anak-anak. Mereka rela melaburkan wang yang banyak untuk memastikan anak-anak memperoleh pendidikan berkualiti dari usia kecil sehingga ke peringkat universiti.
Sebagai contoh, puak Fuzhou di Sarikei, Sarawak sanggup melepaskan kebun getah atau kelapa sawit yang diusahakan oleh mereka semata-mata untuk membiayai anak-anak belajar di luar negara.
Menurut seorang tokoh pendidikan Cina, Lim Lian Geok, bagi masyarakat Cina, walau bagaimana susah hidup sekalipun, pendidikan tidak boleh digadaikan sama sekali.
Kongzi disifatkan sebagai tokoh pendidikan yang terunggul dalam sejarah China. Beliau berpendapat, semua orang seharusnya diberikan peluang untuk mendapatkan ilmu tanpa sebarang prejudis baik yang berada mahupun kurang bernasib baik.
Di samping itu, keluarga ialah unit asas masyarakat yang terpenting. Keluarga harmoni dan aman akan membawa kesejahteraan masyarakat dan negara.
Dalam keluarga Cina, hubungan antara ahlinya selalunya sangat rapat. Adik-beradik diasuh saling membantu sejak kecil. Ibu bapa biasanya menurunkan warisan tanggungjawab dan kasih sayang mereka kepada anak-anak. Dalam keluarga Cina, abang dan kakak sering mengorbankan diri untuk bekerja dahulu demi mencari pendapatan bagi menyokong pembelajaran adik-adik.
Dari aspek politik pula, kaum Cina lazimnya berpendapat, pemimpin masyarakat seharusnya memiliki peradaban tinggi. Mereka perlu bermoral dan sedia berkorban demi kebaikan khalayak di bawah pimpinannya. Pemimpin politik perlu sentiasa prihatin kesusahan rakyat dan cuba membantu golongan bawahan keluar dari kesempitan hidup.
Dalam masyarakat Cina di negara ini, pemimpin-pemimpin politik sering didukung sebagai model teladan atau junzi. Maka, tidak hairanlah pengundi Cina sering meletakkan piawaian etika yang tinggi terhadap wakil rakyat dan pegawai kerajaan. Mereka yang menjalankan tugas awam diharapkan sentiasa bersikap jujur, bersih dan cekap dalam melaksanakan amanah rakyat.
Fahaman konfusianisme sesungguhnya bukan sesuatu ajaran yang terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai. Konfusianisme percaya, selagi seseorang individu memiliki peribadi baik dan berakhlak serta berkebolehan untuk membezakan yang benar daripada yang salah, maka seseorang boleh dianggap sebagai insan berbudi.
Terdapat satu ungkapan Kongzi berbunyi, xiu shen qi jia zhi guo ping tian xia yang mengajak anggota masyarakat sama-sama memikul tanggungjawab memperadabkan diri, mengharmonikan keluarga, mentadbirkan negara seterusnya membawa keamanan kepada dunia. Lagi besar keupayaan seseorang, maka lagi besar tangggungjawab yang boleh disandangnya. Konfusianisme sememangnya mempunyai pengaruh mendalam terhadap kehidupan orang Cina dari pelbagai latar belakang.
Mendiang Lee Kuan Yew dan Tun Tan Cheng Lock merupakan dua tokoh politik di rantau ini yang menerima pendidikan Barat pada usia muda. Kedua-dua tokoh ini mengakui fahaman konfusianisme banyak membantu dalam kerjaya politik masing-masing. Malah, Kuan Yew pernah mengangkat fahaman konfusianisme sebagai salah satu asas penting untuk membina kestabilan dan keharmonian masyarakat.
Walaupun ajaran konfusianisme tidak disebar secara formal melalui sistem pendidikan, namun menerusi organisasi keluarga, pergaulan dan interaksi, faktor saiz penduduk kaum Cina dalam negara dan amalan budaya serta adat resam oleh kumpulan etnik yang mempunyai latar belakang berbeza, maka mustahillah mereka boleh terpisah daripada sebarang pengaruh konfusianisme. – UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










