PETALING JAYA: Kekurangan guru mengajar murid sekolah di seluruh negara kritikal apabila jurang nisbah guru dan murid terlalu besar iaitu 1:45 berbanding nisbah dicadangkan 1:20.
Kementerian merekodkan mempunyai lebih 430,000 guru di seluruh negara dan jumlah itu sebenarnya cukup jika semua guru ditugaskan mengajar lima juta murid. Jika semua 430,000 guru bertugas mengajar, nisbah antara guru dan murid mengecil kepada 1:11 murid.
Bagaimanapun, realitinya perkara itu tidak berlaku di lapangan kerana ramai guru ditugaskan dengan tugas-tugas lain terutamanya di bahagian pentadbiran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, isu kekurangan guru diakui Kementerian Pendidikan pada 2021 dengan realiti menggambarkan keadaan sama sehingga menyebabkan satu kelas nisbah guru dan murid 1:45 atau 1:40.
Menurut beliau, perkara itu berlaku disebabkan kebanyakan guru yang mulanya diambil untuk mengajar ditukar menjalankan kerja-kerja pentadbiran di kementerian atau jabatan pendidikan negeri.
SEKOLAH HARIAN
Malah, kata Anuar, nisbah guru dan murid yang jauh tersasar itu kebanyakannya berlaku di sekolah harian biasa khususnya di kawasan bandar kerana bilangan pelajar yang ramai sehingga menimbulkan sekolah sesak.
“Sebahagian guru ini terlibat dengan pentadbiran dan ada yang dipinjamkan ke jabatan kementerian, jadi mereka tidak mengajar tetapi dilantik sebagai pegawai pendidikan.
“Jadi, guru yang sebenarnya berada di dalam kelas sudah kurang…atas kertas memang cantik, tetapi realitinya 1:40 murid atau 1:45 murid. Bilangan mata pelajaran yang banyak juga mempengaruhi apabila ada guru yang perlu mengajar sampai tiga kelas.
“Kalau lihat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah asrama penuh, satu kelas 25 hingga 28 murid, sebab itu kita lihat mereka cemerlang. Sudahlah pelajar cemerlang, pergi pula dapat kelas kecil dan guru cemerlang.
“Ada negara maju bergerak kepada 1:16 murid, jadi kita mengharapkan paling kurang 1:25 murid dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang berkualiti,” katanya ketika dihubungi semalam.
PENGAMBILAN
Mingguan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Kementerian Pendidikan menerusi pengambilan khas akan melantik kira-kira 19,000 guru namun jumlah itu juga belum cukup untuk menangani isu kekurangan guru di seluruh negara.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan dilaporkan tidak bercadang mewujudkan semula jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru sebaliknya menawarkan pengambilan secara khas yang mula dibuka bulan lalu.
Permohonan pengambilan khas guru dibuka pada 7 April hingga 21 April lalu dan memberi keutamaan untuk mengambil guru Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Sebanyak 260,000 permohonan diterima melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi mengisi kekurangan perjawatan tersebut.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, semua maklum kementerian telah melakukan pelbagai usaha dalam mengatasi isu kekurangan guru, tetapi belum memadai.
Menurut beliau, murid-murid berisiko ketinggalan dalam pembelajaran serta tidak mendapat pendidikan yang berkualiti sekiranya negara terus membiarkan nisbah guru dan murid begitu besar.
“Mengikut saranan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) nisbah guru dan murid yang sebaik-baiknya ialah 1:20 murid,” kata beliau.
KESESAKAN
Justeru, kata beliau, jawatan pembantu guru boleh diwujudkan di sekolah yang menghadapi kesesakan murid seperti dicadangkan Kementerian Pendidikan pada 2018 .
“Mungkin pada peringkat ini, kita bukan menambah guru sahaja tetapi pembantu guru untuk membantu kerja-kerja pengkeranian, isi data, menyediakan bahan pembelajaran dan memantau serta membantu murid secara individu.
“Di negara maju, mereka memberi fokus kepada jawatan pembantu guru, kadangkala satu pembantu jaga dua orang guru.
“Ini membantu meningkatkan kualiti pembelajaran sebab banyak perkara berkaitan pentadbiran boleh diserahkan kepada pembantu manakala guru boleh fokus mengajar,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, isu kekurangan guru dan kadar nisbah yang tidak sesuai sepatutnya tidak menjadi masalah kerana pihaknya percaya kementerian sudah mempunyai unjuran data di semua lapisan peringkat.
Oleh itu, katanya, penggantian kekosongan itu sepatutnya boleh diisi dengan segera dalam memastikan murid-murid tidak terus ketinggalan.
KEPERLUAN
“Unjuran ini semua ada keperluan guru, pertambahan murid, pembukaan sekolah, berapa murid tahun enam keluar dan berapa murid tahun satu masuk. Tetapi kita tidak nampak kerana tidak dikongsi, data seolah-olah disimpan kementerian.
“Unjuran itu sepatutnya dikongsi dengan kesatuan supaya kami tahu, tidak bising dan buat andaian bermacam. Kalau ada masalah, maka boleh bincang apakah isu-isu yang sepatutnya kita atasi.
“Kalau kongsi, kita boleh tengok apa masalah, adakah salah Kementerian Pendidikan tidak buat unjuran atau adakah memang pelatih atau bakal guru tidak mencukupi. Jadi, panggil pemegang taruh untuk bincang, perkara ini semua perlu dikongsi supaya pemegang taruh dapat bekerjasama dengan kementerian,” katanya.
Kata Fouzi, biarpun kekurangan guru dipercayai berjumlah 19,000 melalui pengambilan one-off baru-baru ini, namun isu keperluan warga pendidik itu sukar untuk dibincangkan kerana maklumat terhad.
“Kita percaya 19,000 pengambilan untuk menampung, tetapi tidak ada pecahan opsyen. Memang difahamkan guru subjek pendidikan Islam, bahasa Melayu, bahasa Inggeris serta reka bentuk dan teknologi, tetapi tidak spesifik.
“Negeri mana paling sedikit guru pun kita tidak tahu sedang itu pun penting juga. Apabila tahu negeri yang memerlukan, boleh tahu unjuran, tahu apa puncanya.
“Misalnya jika Johor kekurangan banyak, adakah kos sara hidup tinggi memaksa guru berpindah atau adakah terdapat negeri yang gurunya lebih, jadi perlu bertindak dalam isu ini supaya tidak timbul kelebihan atau kekurangan guru di satu-satu kawasan,” katanya. – UTUSAN










