SHAH ALAM: Seorang bakal jemaah haji menyifatkan panggilan gilirannya pada tahun ini seperti doa yang dimakbulkan dan lebih manis apabila keputusan tersebut diperolehnya pada hari-hari terakhir Ramadan lalu.
Ahmad Khairi Mohamad, 50, menganggap panggilan tersebut sebagai hadiah paling istimewa buatnya dan isteri selepas lima kali membuat rayuan kepada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).
“Tidak sangka terima berita menggembirakan ini pada 10 hari terakhir umat Islam memburu malam lailatulqadar. Selepas berkali-kali merayu, seingat saya lebih lima kali, saya reda jika tidak diterima.
“Namun seminggu sebelum hari raya baru-baru ini saya disahkan menjadi tetamu Allah di Tanah Suci untuk mengerjakan haji tahun ini. Ini seperti anugerah malam lailatulqadar yang dicari-cari umat Islam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Ahmad Khairu berkata, perasaan untuk mengerjakan haji berbanding umrah amat berbeza kerana ia adalah rukun Islam kelima yang tidak semua orang dapat melaksanakan dengan sewenang-wenangnya tanpa kuota ditetapkan.
Sementara itu isterinya, Siti Rozana Nazmi memanjatkan kesyukuran kerana akhirnya menjadi tetamu Allah pada usia 49 tahun.
Menurutnya, dia dan suami berasa tenang untuk mengerjakan haji bersama kerana ketiga-tiga anak mereka yang berusia antara 16, 20 dan 24 tahun sudah dewasa serta boleh berdikari.
“Pada usia masih muda ini saya berharap dapat mengerjakan haji tanpa sebarang masalah kesihatan. Syukur rayuan saya dan suami diterima. Walaupun lutut sudah mula sakit atas faktor usia saya sentiasa berdoa supaya dapat haji yang mabrur ,” ujarnya. – UTUSAN











