Siapa sangka Youtuber seusia 22 tahun mampu memiliki rumah sendiri yang bernilai RM 1.8 juta. Malah anak muda ini turut memiliki empayar perniagaannya sendiri.
Isa Batharul Zaman atau nama popularnya Isa Isarb, ialah seorang personaliti media sosial dan youtuber yang kini begitu popular di Malaysia.
Tuahnya timbul setelah dia sering menghasilkan kandungan video yang berkonsepkan pengalaman sosial (social experiment) dan prank.
Dalam masa sama, dia mengorak langkah berniaga dan mempunyai jenama pakaian sendiri ‘Isarb’ yang bakal diperluas kepada produk lain.
Baru-baru ini pula dia muncul dengan lagu nyanyian pertamanya, Sampai yang kini sudah mencecah 2.9 juta tontonan di Youtube.
Pernah terbabit dalam kontroversi panas dan dikecam hebat apabila muncul di hadapan Istana Negara kerana mengagihkan duit keseluruhan RM10,000 kepada petugas media dulu, namun itu
tidak mematahkan semangat Isa yang berasal dari Selangor ini.
Walaupun dikecam teruk, ramai yang melihat kandungan video yang dipaparkan Isa, lain dan unik berbanding apa yang dilakukan Youtuber lain.
Dalam usia yang masih hijau, ramai menganggap pemikirannya jauh lebih ke hadapan. Isa lebih gemar membuat kandungan video mengenai pengalaman-pengalaman sosial yang boleh membuka mata orang ramai melihat gelagat sebenar masyarakat di negara ini.
“Jangan salah faham dengan kandungan video aku. Ramai salah faham dan tafsir.
“Mereka menghukum tanpa melihat sampai habis. Tengok separuh sahaja,”katanya.
Biarpun tahu ramai mengecam, tetapi Isa tetap positif dan berpandangan, lebih banyak yang menyokong kandungan video dihasilkannya, berbanding yang tidak suka.
Isa juga sedar bahawa dia turut dituduh mementingkan wang, `bermain’ dengan duit dan seolah-olah riak serta berlagak dengan apa yang diperolehnya.
“Tujuan aku sebenarnya untuk berkongsi rezeki dan bukannya menunjuk-nunjuk. Sebab itu, ramai instafamous dan youtuber lain aku jemput dalam video aku,” jelasnya.
Bagi yang sering mengikuti perkembangannya, Isa bakal mengeluarkan satu lagu duet bersama Tuju K-Clique.
Menurutnya, proses rakaman lagu telah bermula pada 8 Julai lalu. – UTUSAN










