TEMERLOH: Penduduk khususnya peniaga kurma di Mekah dan Madinah teruja apabila membaca kisah perniagaan mereka yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia, tahun lalu.
Bercakap kepada akhbar ini, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said yang sedang menunaikan ibadah umrah bermula 2 Mei sehingga 12 Mei ini berkata, beliau turut membawa senaskah akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Agama yang melaporkan pengalamannya berpuasa di Mekah dan Madinah tahun lalu.
“Laporan dua muka surat bertajuk Nikmat Ramadan di Mekah dan Madinah itu turut memaparkan gambar peniaga kurma di Madinah.
“Apabila saya tunjukkan, penduduk Mekah khususnya peniaga kurma yang fasih berbahasa Melayu, mereka teruja dan bangga kisah mereka disiarkan dalam Utusan Malaysia,” katanya di sini semalam.
Aripin berkata, seorang peniaga kurma, Muhammad Mozambela gembira berita dan perniagaan mereka disiarkan dalam akhbar ini sekali gus mendekatkan mereka dengan orang Malaysia.
“Mereka berterima kasih kepada Utusan Malaysia kerana memaparkan perniagaan menjual pelbagai jenis kurma di Mekah. Premis mereka memang menjadi tumpuan orang Asia Tenggara,” katanya.
Menurutnya, Muhammad Mozambela dan peniaga di Mekah dan Madinah mengakui orang Melayu begitu sopan santun, bijak dan ramai boleh berbahasa Arab dengan fasih.
“Peniaga di sini menyifatkan Madinah dan Malaysia bagaikan satu hati dan mereka tidak kekok belajar dan fasih berbahasa Melayu,” katanya.
Kata Aripin, beliau turut menyerahkan keratan akhbar Utusan Malaysia itu kepada Muhammad Mozambela dan peniaga tersebut menyatakan ia akan disimpan serta ditunjukkan kepada pelbagai bangsa dari seluruh dunia yang datang ke Madinah pada musim haji ini.- UTUSAN











