KOTA KINABALU: Melihat wajah ayah, Wida, 33, (bukan nama sebenar) penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu terus menitiskan air mata buat seketika.
Selepas begitu lama tidak bersua muka, dia akhirnya boleh melepaskan kerinduan terhadap ayahnya dalam Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri semalam.
Pelukan erat seorang ayah menyebabkan penghuni yang menjalani hukuman atas kesalahan pecah amanah itu tidak berhenti menangis sepanjang majlis berlangsung.
Katanya, perasaan sayu meraikan Aidilfitri di sebalik tirai besi akhirnya dapat diluahkan kepada ayah tersayang yang datang dari jauh di Lawas, Sarawak.
Anak kedua daripada empat beradik itu bersyukur kerana sejak dipenjarakan pada 16 Mac 2021, itu adalah kali pertama dia terpilih dalam program sebegitu.
Menurutnya, dia bertugas sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat kontraktor dekat sini semasa tertangkap melakukan pecah amanah yang berjumlah hampir RM700,000 dalam tempoh setahun.
“Wang itu saya pinjamkan kepada teman lelaki saya yang juga seorang kontraktor. Mula-mula dia bayar tapi, lama-kelamaan teman lelaki saya tidak bayar wang tersebut.
“Jadi, apabila audit, syarikat mendapat tahu ada sejumlah wang hilang daripada akaun syarikat dan ketika itulah saya tertangkap melakukan pecah amanah,” katanya.
Kata Wida, jika boleh putarkan masa, dia tidak akan melakukan pecah amanah yang boleh mengakibatkan dia meringkuk dalam penjara.
Wida berkata, apabila dia dibebaskan pada 16 Mac 2025, dia akan cuba memulakan hidup baharu tanpa melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.
Sementara itu, Pinky, 31, yang merupakan banduan berulang bagi kesalahan dadah rasa bersyukur kerana terpilih untuk tahun kedua mengikuti program tersebut sejak dimasukkan ke Penjara Wanita pada 16 Oktober 2020.
Penghuni penjara yang berasal dari Beaufort dan mempunyai empat anak itu tidak sangka keluarga masih memberi sokongan terhadapnya biarpun sudah tiga kali dia tertangkap atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Ini kali pertama dia dimasukkan dalam penjara kerana sebelum ini, keluarganya sanggup membayar denda untuk mengelakkan dia dimasukkan ke penjara.- UTUSAN








