POKOK SENA: Setelah 11 tahun, seorang banduan akhir melahirkan rasa syukur dan gembira apabila dapat memeluk ibunya yang uzur pada program Jalinan Kasih sempena Aidilfitri Penjara Pokok Sena, di sini hari ini.
Menurut Amir, 43, yang kini menjalani hukuman penjara akibat jenayah dadah, pertemuan itu sangat menginsafkan diri apatah lagi melihat kesanggupan ibunya yang menghadiri majlis itu dengan berkerusi roda.
“Perasaan sedih dan gembira kerana buat pertama kali dapat memeluk mak sejak 11 tahun lepas. Mak sudah berusia 78 tahun dan tidak sihat tetapi dia sanggup datang tengok saya hari ini,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut yang berlangsung selama tiga jam.
Dalam program itu, seramai 15 banduan berpeluang bertemu dengan keluarga masing-masing sambil menikmati juadah hari raya dan persembahan nyanyian oleh banduan terlibat.
Kata Amir, di sebalik bergelar banduan akhir itu, dia tetap menaruh harapan agar dibebaskan juga satu hari nanti melalui pengampunan Sultan.
“Itu sahaja harapan saya untuk bebas dan kembali menjalani hidup baru bersama mak dan keluarga di kampung. Saya sudah insaf atas semua kesalahan saya dahulu kerana terlalu mengejar kemewahan dengan cara salah,” katanya.
Mengimbas tentang hukuman penjaranya atas kesalahan memiliki dadah, Amir mengakui, desakan hidup dan masalah kewangan ketika itu menjadikan dia hilang panduan.
“Saya baru kahwin empat bulan ketika itu dan sanggup memilih jalan mudah untuk dapatkan wang demi kemewahan hidup dan natijahnya saya meringkuk ke penjara,” katanya.
Seorang lagi banduan akhir, Siti, 26, yang menjalani hukuman mengikut Seksyen 302, dia sangat merindui suasana berhari raya bersama keluarga di kampung.
“Tetapi saya sangat beruntung kerana terpilih dalam program ini dan dapat berjumpa dengan keluarga termasuk datuk dan nenek saya. Hilang kerinduan,” katanya yang didapati bersalah kerana membunuh bayi yang baru dilahirkan pada 2017.
Walaupun harapan untuk keluar masih kabur, kata Siti, dia tidak akan berhenti mendoakan keajaiban agar dibebaskan satu hari nanti.
“Saya sudah insaf dengan dosa silam saya yang sanggup memperlakukan anak sendiri begitu rupa. Kehidupan di penjara ini menginsafkan saya dan saya berharap dapat peluang kedua nanti,” katanya yang masih trauma dengan kesilapan itu. –UTUSAN








