Jangan biar rakyat benci orang politik - Utusan Malaysia

Jangan biar rakyat benci orang politik

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
KEKALAHAN teruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) petanda jelas parti itu ditolak majoriti rakyat terutama golongan muda.
Namun undi dan sokongan orang muda sukar diramal dan perkara itu diakui banyak pihak lebih-lebih lagi pembabitan pengundi dalam kalangan golongan muda terutama mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun.
Hal ini memberi cabaran kepada semua parti politik dalam usaha meraih sokongan golongan terbabit.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Ketua Pemuda UMNO, DR. MUHAMAD AKMAL SALEH bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI.

PERSIAPAN PRN

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana dengan persediaan Pemuda UMNO bagi menghadapi PRN. Adakah wujud tanda UMNO semakin diterima dalam kalangan orang muda?
MUHAMAD AKMAL: Pertama, dari segi jentera kita telah bersedia sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi kerana tempoh masa yang tidak jauh bezanya.
Apa yang kita lihat sekarang cabaran utama adalah untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana ia bukan sesuatu yang mudah. Namun, saya percaya ia boleh dilaksanakan.
Sebab apa? Kerana kita boleh lihat apabila kita turun ke peringkat akar umbi, ada penambahan sokongan. Contohnya, sewaktu pemilihan ramai menawarkan diri mahu jadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, Ketua Pemuda Bahagian dan Exco Pemuda.
Ini menunjukkan UMNO sentiasa relevan. Tapi dalam masa sama, kita mesti ada formula dan pendekatan baharu untuk mendekati anak muda supaya mereka tidak rasa UMNO macam dahulu.
Sebagai contoh, kita buat pendekatan baharu yang mana kita mewajibkan di setiap sayap Pemuda UMNO Bahagian, mereka mesti lantik seorang AJK pemuda di bawah 25 tahun.

PENERIMAAN ORANG MUDA
Adakah PRN nanti boleh jadikan tanda aras penerimaan orang muda terhadap UMNO nanti?
PRN kali ini tidak boleh menjadi satu penanda aras penerimaan orang muda terhadap UMNO. Lagipun, saya masih baharu pegang jawatan sebagai Ketua Pemuda. Sudah tentu dalam tempoh tiga bulan akan datang ini tidak cukup untuk mengubah persepsi yang ada terhadap UMNO.
Tetapi saya percaya kalau hendak melihat penerimaan orang muda kepada UMNO, tunggu PRN Johor, Sabah dan Melaka akan datang. Pada masa itulah boleh dilihat dan dijadikan penanda aras penerimaan orang muda kepada kita. Buat masa ini, terlalu awal untuk menjangka penerimaan orang muda terhadap UMNO.

Adakah UMNO dan PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan menyebabkan orang muda memandang sinis kepada parti itu dalam PRN nanti?
Saya rasa tidak begitu. Hari ini orang mungkin cakap kenapa UMNO duduk dengan DAP. Tapi saya hendak tanya parti mana yang tidak pernah duduk dengan DAP?
Jadi bezanya, adalah apabila UMNO bersama DAP, ia tidak agresif sebagaimana DAP bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu.
Apabila DAP bersama Bersatu dahulu timbul pelbagai isu dan masalah. Tetapi, UMNO dengan DAP, kita lihat masalah ini kurang. Jadi, ini yang penting.
Sebenarnya yang pandang sinis ialah orang parti sahaja. Sama ada orang UMNO sendiri atau Pas. Sentimen itu timbul sebab kononnya UMNO tidak boleh bersama DAP dan PKR. Walhal mereka dulu pun sama.
Rakyat di luar sana tidak pandang soal penggabungan UMNO dan DAP ini sebagai satu isu. Sebab, kalau mereka pandang UMNO tidak boleh bersama DAP, mana mungkin DAP boleh dapat undi orang Melayu. Rakyat mahu melihat adakah kerajaan yang ada hari ini boleh bawa suara mereka.
Lagipun, rakyat sudah muak dengan kerenah politik. Jadi, kali ini saya percaya UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) membawa agenda sama, kurangkan politik dan bawa suara rakyat.

Daripada lebih 200 kerusi DUN dalam PRN nanti, berapa peratus perlu diberikan untuk calon orang muda dalam meraih sokongan golongan tersebut?
Dengan pertambahan pengundi muda yang mencecah 52 peratus dalam PRN, sudah pasti kita mahu calon orang muda. Pengundi muda mahukan calon muda yang sealiran mereka.
Pada saya sekurang-kurangnya, 30 peratus kerusi perlu diberikan kepada orang muda. Termasuk lelaki dan perempuan.

PENGAMPUNAN NAJIB
Adakah isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan backfire (memakan diri) UMNO dalam PRN nanti?
Saya tidak rasa begitu. Bagi saya setiap rakyat Malaysia berhak mendapatkan pengampunan diraja. Cuma ia tertakluk pada budi bicara Agong.
Untuk UMNO, kita menghargai pemimpin yang banyak jasa kepada parti dan negara. Sudah pasti kita berharap kepada pengampunan tersebut.
Walau apa sekalipun, kita tidak boleh paksa atau suruh Agong buat keputusan. Kita boleh buat mana yang terdaya sahaja.
Jadi, saya lihat perkara ini tidak beri kesan pun pada UMNO dalam PRN nanti. Malah kalau dilihat, PKR sebelum PRU14 pun sudah dua kali mohon pengampuan diraja untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selepas itu, PRU14 PKR menang. Jadi, ia tidak jadi liabiliti atau memakan diri.
Tambahan pula, kami tidak buat atau memaksa agar pengampunan diberikan kepada Najib. UMNO hanya membuat permohonan dan mengusulkannya. Sebab, semua orang yang dijatuhkan hukuman ini layak mendapat pengampunan. Tidak kira siapa dia.
Jadi, saya tidak rasa ia bebanan. Lagipun, tiada langsung dalam Perlembagaan Persekutuan kata seseorang itu perlu duduk dalam penjara dua tahun baru boleh diampunkan.
Bagi saya kita melihat balik kenapa kita mahu pengampunan ini. Salah satu sebab kerana keputusan 4-1 dalam proses semakan SRC International Sdn. Bhd. apabila Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan.
Maka kami Pemuda UMNO turut konsisten dan mendesak agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di peringkat awal agar perbicaraan ini diadakan setelus mungkin. Kalau RCI kata bersalah, barulah kami berpuas hati. Kalau tidak bersalah, minta perlu ada tindakan lebih baik.
Pada saya antara RCI dan pengampunan, kami mahu ditubuhkan RCI supaya rakyat tahu prosidingnya. Ia juga lebih diyakini.

PEMUDA UNTUK BINA PERSONALITI
Ada pandangan mengatakan Pemuda UMNO hanya sebagai tempat membina personaliti semata-mata. Bagaimana pandangan saudara selepas hampir tiga bulan mengemudi sayap?
Kita perlu kembali pada asas perjuangan datuk dan nenek kita. UMNO ini parti kampung. Kita tidak boleh terlalu eksklusif. Pemuda UMNO perlu bermula di jalanan sampai ke istana. Bukannya untuk popularkan diri.
Hari ini kita mahu bawa jenama Pemuda UMNO supaya lebih dekat agar UMNO perlu diterima dan kembali kepada asas perjuangan kerana rakyat dahagakan pemimpin sebenar.

PEMIMPIN LAMA PEROSAK

Kalau dilihat kepada cerita politik untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada ini banyak melibatkan pemimpin berumur dan veteran. Adakah pemimpin lama ini dilihat perosak kestabilan politik negara?
Jangan biarkan rakyat benci orang politik. Maka orang muda perlu ubah pendirian. Kita tidak boleh nampak hendak terlalu berpolitik. Rakyat sudah muak.
Bayangkan kita telah tukar tiga perdana menteri dalam tempoh singkat. Jangan sampai rakyat hukum orang politik.
Orang muda tak boleh berperangai macam orang lama. Kami yang muda, kita tidak mahu apabila generasi kami ambil alih, rakyat sudah tidak percaya orang politik.
Maka hari ini sejujurnya kalau mahu ubah kerajaan, rakyat tak mahu dengar. Mereka mahu bagaimana kerajaan menangani isu ekonomi yang jauh lebih penting.
Jadi, pemimpin muda tak boleh terikut dengan rentak pemimpin lama. Kalau ada orang macam ini tak kira daripada parti mana sekalipun, maka tolaklah. Cukup dengan perebutan kuasa. Ini masa hendak bantu rakyat tak kira blok mana sekalipun.

TUNTUTAN SEKOLAH PERSENDIRIAN CINA

Saudara lantang dalam isu tuntutan peruntukan sekolah persendirian Cina sedangkan UMNO sudah menjadi sebahagian kerajaan pada hari ini. Tidakkah ia mengganggu gugat hubungan sedia ada?
Dalam isu peruntukan, kami tidak mempertikaikan siapa yang beri. Itu hak kerajaan. Namun ia perlu diberikan secara adil kerana ini melibatkan hak.
Dan apabila melibatkan hak, ia sudah semestinya terkait dengan rakyat. Rakyat berhak apa yang sewajarnya. Saya bukan mahu menjadi populis, tetapi ia suara rakyat di bawah yang tidak siapa pun mahu angkat baik daripada kerajaan mahu pun pembangkang.
Sebab? Takut kalau nanti ada yang pertikaikan waktu jadi kerajaan pun bagi RM15 juta. Kami bukan pertikai RM15 juta juga, tetapi sebab sekolah agama tidak dapat jumlah yang sama.
Inilah yang menjadi persoalan dan naratif yang kami mahu bawa. Bukan isu pendidikan sahaja, tetapi isu lain yang bersentuhan dengan rakyat. Paling penting kita bukan sahaja mengangkat isu, tetapi turut datang dengan penyelesaian.
Tidak takut digelar rasis dalam kalangan parti lain yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan?
UMNO sejak dulu, kini dan selama tidak pernah berubah prinsip. Mana-mana perkara yang kita rasa akan jejaskan agama, bangsa dan negara kita akan ke depan.
Saya sendiri diajar dari kecil sehingga ke hari ini dan tak kisah kita bersama dengan apa kerajaan sekalipun, kalau ini melibatkan isu bangsa dan agama maka kita tidak berdiam diri dan akan mende­paninya. Kita tidak berdiam diri apabila memper­tahankan hak dan suara orang Melayu.
Maka ia sudah jadi prinsip UMNO tanpa mengira kita bekerjasama dengan siapa sekalipun, ia (prinsip) tidak pernah langsung kita abaikan. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×