PETALING JAYA: Kerajaan boleh memfokuskan cadangan caruman 20 peratus majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 5.2 juta pencarum B40 atau bergaji bawah RM4,000 bagi meningkatkan tabungan persaraan mereka yang semakin merosot selepas pandemik Covid-19.
Sebelum ini, dilaporkan seramai 5.2 juta pencarum KWSP B40 dengan jumlah simpanan mereka RM13 bilion sebelum April 2020 menurun 46 peratus dan tinggal RM7 bilion selepas Disember 2020.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, beberapa pengeluaran ketika pandemik lalu mengakibatkan tabungan KWSP merosot dan tidak cukup menampung simpanan hari tua kelak.
TERKESAN
Justeru, beliau berpandangan pelaksanaan caruman 20 peratus itu hendak difokuskan kepada pekerja B40 memandangkan mereka antara kumpulan terkesan dengan pengeluaran sebelum ini di samping memiliki tabungan persaraan yang masih rendah.
Beliau menjelaskan, cadangan peningkatan jumlah caruman merupakan satu langkah positif untuk masa depan para pekerja selepas waktu persaraan kelak apatah lagi Malaysia bakal menuju ke arah negara menua pada 2030.
“Berbaki tempoh tujuh tahun lagi, kita perlu ada simpanan persaraan mencukupi untuk hari tua apatah lagi melibatkan golongan pekerja B40 yang tabungan mereka masih rendah dan belum cukup menampung kehidupan secara bersara nanti.
“Perkara ini bagus, tetapi cadangan ini perlu dibincangkan secara holistik bersama majikan dan pekerja dengan meneliti pelaksanaan agar memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Cadangan itu pada mulanya dibangkitkan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yang memohon kerajaan menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus.
Bagaimanapun perkara tersebut mendapat maklum balas pelbagai pihak termasuk Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang menjelaskan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berisiko menghentikan operasi perniagaan jika kadar caruman KWSP bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, cadangan itu akan dibincangkan oleh kerajaan.
MENANG-MENANG
Mengulas kesan kos bakal dihadapi majikan, Mohd. Effendy berkata, cadangan peningkatan caruman majikan sehingga 20 peratus hendaklah dibincangkan dengan pendekatan ‘menang-menang’ antara majikan dan pekerja memandangkan perkara itu mempunyai pro dan kontra termasuk kerisauan peningkatan kewangan operasi.
Kata beliau, cadangan berkenaan perlu disertakan dengan tawaran gaji yang progresif bagi memastikan mereka menerima upah setimpal untuk menyara kehidupan semasa di samping mampu melakukan caruman ke dalam tabungan persaraan.
“Kami melihat cadangan ini baik untuk masa depan pekerja selepas persaraan kelak, apatah lagi kita bakal menuju negara tua kelak dengan ramai rakyat perlu cukup simpanan bukan sahaja menyara kehidupan seharian tetapi untuk perkara kecemasan dan sebaliknya.
“Tetapi perkara ini perlu dibincangkan secara holistik bersama majikan dan persatuan pekerja dengan meneliti kadar caruman dan golongan sasaran,” katanya. – UTUSAN










