Politik Malaysia terus dikuasai muka lama - Utusan Malaysia

Politik Malaysia terus dikuasai muka lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA negara jiran Malaysia iaitu Singapura dan Indonesia bakal menyaksikan peralihan tampuk kepemimpinan pada tahun depan menerusi pilihan raya umum yang bakal diadakan sebelum penghujung 2024.

Meskipun belum berlangsung pilihan raya, sudah kedengaran ada calon-calon yang bakal mengisi jawatan Perdana Menteri bagi Singapura dan Presiden di Indonesia.

Seperti diketahui umum, Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura selaku parti lama republik itu dikatakan mahu mengete­ngahkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Lawrence Wong sebagai calon Perdana Menteri selepas penyandang sekarang, Lee Hsien Loong dikatakan mahu memberi laluan kepada muka baharu.

 

Begitu juga di Indonesia, ekoran Joko Widodo sudah cukup dua penggal sebagai Pre­siden maka beliau terpaksa memberikan laluan baharu menerusi pilihan raya negara itu atau dikenali Pemilihan Umum (Pemilu) 2024.

Berbaki setahun lagi, terdapat tiga calon Presiden sudah diuar-uarkan iaitu Gabenor Jawa Te­ngah, Ganjar Pranowo; Menteri Pertahanan merangkap Ketua Umum Parti Gerakan Indonesia Raya, Prabowo Subianto dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Secara kebetulan selepas tolak Prabowo berusia 71 tahun, Lawrence, Ganjar dan Anies masing-masing berusia lingku­ngan 50 tahun. Lawrence genap usia 50 tahun, Anies (53 tahun) dan Ganjar pula 54 tahun.

Jika mereka terpilih sebagai Perdana Menteri atau Presiden, perkara itu dapat meng­ulangi sejarah pelantikan empat Perdana Menteri Malaysia pada usia 50-an iaitu Tunku Abdul Rahman (54), Tun Hussein Onn (54), Tun Dr. Mahathir Mohamad (54), Datuk Seri Najib Tun Razak (56).

PERSOALAN

Sebaliknya selepas 2018, rata-rata usia tiga Perdana Menteri Malaysia atas 60 tahun iaitu 61 tahun hingga 93 tahun sekali gus menimbul persoalan adakah Malaysia kekurangan pemimpin muda dan usia pertengahan untuk diangkat menjadi ketua?

Berbanding Singapura dan Indonesia, mungkin pada tahun depan mereka bakal mempu­nyai ketua baharu pada usia 50-an meskipun ada cakap-cakap me­ngatakan umur bukan penentu kejayaan seseorang pemimpin sebaliknya ia boleh menjadi pe­nanda aras kepada barisan pelapis kepemimpinan.

Hal ini kerana perjalanan politik Malaysia masih diwarnai muka-muka lama hingga generasi kemudian sukar mendapat tempat sebagai Presiden parti sekali gus menyebabkan mereka agak terlambat untuk diangkat sebagai pemimpin.

Ditambah pula, ada Presiden parti sudah mencecah usia 75 tahun manakala watak-watak sama dan drama lama politik sering berulang sejak dahulu dan tiada kesudahan sehingga kini sekali gus menyebabkan banyak rakyat muak dengan telatah mereka.

Jika Singapura dan Indonesia boleh, maka bila lagi Malaysia bakal mengulangi sejarah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang pernah dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 48 tahun? Terserah kepada percaturan pemimpin masa kini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×