Malaysia kini terpencil, sibuk politik dalaman - Utusan Malaysia

Malaysia kini terpencil, sibuk politik dalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

HAMPIR enam bulan tempoh pemerintahan Kerajaan Perpaduan sedikit sebanyak memperlihatkan dasar luar negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hubungan Malaysia di peringkat antarabangsa diperkukuhkan menerusi pelbagai aktiviti termasuk siri lawatan ke luar negara. Namun, ada isu lain yang terkait dalam aspek berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai polemik.
Bermula dengan pertikaian tuntutan waris Kesultanan Sulu, kenyataan Anwar melibatkan isu Laut China Selatan dan lawatannya ke Arab Saudi, ada pihak melihat sesuatu yang tidak kena membabitkan dasar luar negara pada masa kini.
Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual bekas Menteri Luar, TAN SRI SYED HAMID ALBAR bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto SHIDDIEQIN ZON dan jurukamera, KAMARUL KAMARUDIN.

ISU ANTARABANGSA DI BAWAH KERAJAAN PERPADUAN
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Malaysia di bawah Kerajaan Perpaduan harus bertindak dalam menangani isu-isu antarabangsa dengan persekitaran yang semakin mencabar?
SYED HAMID: Satu perkara paling mustahak yang kita patut sedar dan insaf bahawa keadaan dunia semakin bergolak dan tidak menentu.
Banyak sudah berubah dari segi geopolitik, ekonomi, sosial dan budaya. Jadi, ini sudah semestinya memerlukan anjakan paradigma agar dapat disesuaikan dengan situasi semasa. Tindak balas kita tepat dengan tuntutan semasa.
Selain itu, kita perlu ada persediaan mencukupi dalam semua aspek. Orde Baharu Dunia sudah berubah. Malah, kalau kita lihat sekarang pun, Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) tidak lagi memainkan peranan utama.
Pemimpin kita perlu tahu di mana mahu meletakkan diri supaya tidak tersepit dalam perubahan yang bergerak pantas.
Dari segi dasar luar, kita perlu tahu apakah keadaan dunia hari ini dengan mengambil sikap tidak memihak dan berkecuali dengan memastikan sebarang perkara atau konflik antarabangsa tidak memberi kesan ketara kepada kita.
Dasar luar kita tidak boleh beku. Mesti ada kecairan sendiri mengikut perkembangan semasa dan tuntutan keperluan.
Paling penting kedaulatan dan integriti wilayah kita tidak tercabul. Pada saya, Kementerian Luar pada masa ini berdepan saat paling mencabar sebab banyak perkara baharu yang timbul.
Kita tidak boleh cakap kita hanya negara kecil. Itu tidak bermakna kita tidak boleh berperanan.
Saya masih ingat suatu ketika dahulu kita pernah menjadi negara middle power membabitkan satu-satu isu. Sebab itulah, kita perlu ada dasar luar yang jelas dan dalam masa sama mempertahankan kepentingan nasional dengan menentukan negara kita sebagai negara perdagangan tetap terjamin.

MIDDLE POWER
Adakah kita masih sebagai sebuah negara middle power (kuasa tengah) seperti dahulu?
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) negara kita nampak terpencil, sibuk dengan politik dalaman dan tidak menunjukkan kehadiran di peringkat antarabangsa.
Selepas itu, pemimpin kita pula dilanda skandal sehingga menyebabkan kehormatan dan kredibiliti terjejas.
Itu belum lagi pertukaran tiga pemimpin dalam tempoh singkat. Jadi, siapa hendak percaya kita dalam suasana begitu. Mahu memainkan peranan di peringkat antarabangsa nanti akan ada orang pertikaikan kredibiliti negara dan pemimpin kita.
Harus diingat, kalau mahu memainkan peranan besar dalam polisi antarabangsa, kita tidak boleh terpenjara dengan keadaan dalaman kita sahaja. Penting untuk kita mempunyai ‘iklim’ politik, ekonomi dan sosial yang stabil. Tunjuk kewibawaan pemimpin, bukannya kemelut politik.

Sejauh mana isu-isu politik dalaman dapat membuka ruang dan cubaan pihak luar mengganggu-gugat kestabilan Malaysia?
Apa yang menjejaskan sesebuah negara bukan kerana tiada kekayaan, sebaliknya ketidakstabilan, apabila ada pergolakan dan krisis dalaman sehingga mudah campur tangan pihak luar. Sama ada kita sedar atau tidak.
Mereka akan fikir inilah masanya yang sesuai sebab ada ruang. Lihatlah beberapa kejadian sebelum ini sehingga ada dakwaan mengatakan ejen perisikan dari Israel masuk dan menjalankan operasi tertentu di negara ini.
Kalau ini betul-betul berlaku, makna mereka sudah melihat ada ruang dan kelompongan untuk mengacau kestabilan. Lagipun, sejarah sudah ada. Banyak negara dikacau orang dan pengaruh luar. Justeru, kita perlu berhati-hati.

PEMAIN POLITIK UTAMA ASEAN
Adakah Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain politik utama di rantau Asia Tenggara pada ketika ini?
Potensi ada. Negara luar nampak mempunyai keyakinan (terhadap Malaysia). Tetapi masalahnya kita belum mengatasi secara keseluruhan ‘iklim’ politik dalaman.
Kita lihat polemik politik tidak habis-habis. Soal tadbir urus juga begitu, tidak habis-habis dibincangkan. Jadi, yang ini kita perlu redakan keadaannya. Kita perlu mula untuk dilihat negara luar dengan keadaan yang betul-betul mahu uruskan negara.
Sekarang orang masih melihat Malaysia ini banyak polemik politik. Tumpuan lebih di situ dengan semua pihak perlu memainkan peranan. Adalah lebih baik semua pihak fikir bagaimana untuk pulihkan ekonomi, sektor pekerjaan dan inflasi.
Dua perkara sedang menghantui Malaysia pada masa sekarang. Cakap-cakap yang mahu menukar kerajaan. Siapa yang mahu dijatuhkan dan siapa yang mahu dinaikkan.
Sepatutnya, kita perlu tunjukkan kita berada di landasan betul bukannya tembak sesama sendiri sehingga akhirnya terkena kaki sendiri. Kerajaan perlu dilihat sibuk untuk menguruskan negara sendiri bukan sibuk uruskan politik.

Sejauh mana konflik di Sudan memberi implikasi terhadap geopolitik dan ekonomi politik antarabangsa termasuk Malaysia?
Sudah tentu memberi kesan. Dulu Petronas mempunyai aset di sana. Malah negara kita boleh dikatakan menjadi juara, pemimpin kepada negara membangun serta negara dunia ketiga. Kedudukan Malaysia amat tinggi.
Selepas itu, sekarang ini kita tidak kelihatan lagi di benua Afrika walhal ia antara terpenting di dunia. Sepatutnya jangan kita ketepikan (negara-negara Afrika). Mereka mempunyai hasil yang banyak.

TUNTUTAN KESULTANAN SULU
Bagaimana Tan Sri melihat pendekatan Malaysia setakat ini dalam kes tuntutan membabitkan kesultanan Sulu?
Kesultanan Sulu soal yang telah diselesaikan. Soal berkenaan bayaran dan pajakan itu semua telah diputuskan sejak dulu lagi. Bukannya benda baharu.
Pada saya, cara terbaik kita berbincang dengan mereka, betulkan apa yang patut dengan mencari penyelesaian muktamad agar tiada lagi sebarang tuntutan pada masa depan.

Adakah terdapat kesukaran dalam menyelesaikan isu tuntutan Kesultanan Sulu disebabkan menjadi bahan politik di negara ini?
Isu sebegini sepatutnya perlu ada satu pegangan. Semua rakyat Malaysia perlu sokong pendekatan yang diketengahkan.
Kalau kita lihat isu tuntutan Sabah sudah selesai. Isu kita berhentikan pembayaran adalah isu lain yang perlu diselesaikan dengan keadah lain.
Mereka tahu mereka tidak boleh bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebab tiada asas. Paling penting jangan kita pula sokong pihak lain yang mahu kacau kedudukan dan integriti kita.

ORANG DALAM
Dakwaan berhubung penglibatan ‘orang dalam’ atau tali barut membabitkan isu tuntutan Kesultanan Sulu. Pandangan Tan Sri?
Saya tidak fikir ini masa sesuai untuk membuat sebarang spekulasi. Masalah ini perlu diselesaikan. Kemungkinan itu ada, mesti ada pihak yang cuba ‘cucuk’.
Soalnya, bilakah masalah ini akan berakhir? Dan ia tidak patut berpanjangan dengan berasaskan politik yang kita sama sendiri bergaduh.

AKTIVITI PETRONAS
Bagaimana Tan Sri melihat pendekatan Malaysia dalam menangani isu ini terutama membabitkan pencerobohan kapal China di Beting Patinggi Ali. Adakah wajar kita mencontohi Filipina yang mendedahkan dan menguar-uarkan di media setiap kali berlaku pencerobohan serta provokatif terhadap anggota keselamatan kita?
Apa yang paling penting, kerajaan perlu memberitahu rakyat segala soal berkaitan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) yang telah diselesaikan melalui Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Paling penting kita patut cakap lebih banyak (memberi kefahaman) berkenaan UNCLOS supaya rakyat tahu isunya. Lagi pun, ini semua berkaitan dan bercakap soal integriti serta kedaulatan Malaysia yang ada mempertikaikannya lagi.
Biar rakyat tahu segala aktiviti Petronas dilaksanakan dalam kawasan yang diizinkan dalam undang-undang antarabangsa.
Di samping itu, kalau setiap kali berlaku pencerobohan, kita tidak boleh senyap dan dedahkan dengan menunjukkan tindakan kita betul.
Terpulang sama ada hebahan dibuat oleh Kementerian Pertahanan atau Kementerian Luar supaya orang tahu kita telah mengambil tindakan sewajarnya.
Malah, surat bantahan ke negara jiran juga perlu dijadikan bahan untuk masyarakat umum tahu. Seandainya ada pertembungan atau unsur provokatif dari pihak lain, kita perlu dedahkan kepada umum agar rakyat tahu serta memahami tindakan kita.

Adakah ASEAN tidak efektif sebagai sebuah pertubuhan serantau dalam menangani isu membabitkan Laut China Selatan?
ASEAN sepanjang masa menghadapai cabaran kerana banyak isu tuntutan bertindih, isu sempadan darat dan udara.
Dalam isu ini selalunya kita tidak mempunyai pendirian bersama kerana setiap negara mempunyai kepentingan untuk mempertahankan kedudukan mereka.
Sebagai contoh, Laut China Selatan ada empat negara yang menuntut. Kalau dilihat pada China, mereka menggunakan asas sejarah untuk menuntut Laut China Selatan. Tapi mahkamah antarabangsa kata tidak boleh pakai (berdasarkan sejarah semata-mata).
Selain itu, ASEAN juga ada kepentingan sendiri dengan dianggotai beberapa negara. Sekarang negara ASEAN juga menjadi pentas persaingan kuasa besar. Peranannya perlu dilihat semula dikemas kini serta mesti mempunyai kepentingan bersama.
Dalam hal-hal tertentu, rantau dan negara lain hormati ASEAN kerana mempunyai banyak kelebihan.
Peranan ASEAN kurang efektif (dalam konteks isu Laut China Selatan) disebabkan tiada kebersamaan pendirian dengan negara-negara yang ada isu tuntutan bertindih ini.
Pada saya, apabila China mahu berunding soal tuntutan bertindih ini, ia perlu dibuat dengan pendirian bersama (negara lain).

Adakah kerajaan sebelum ini tiada political will untuk memastikan aset tentera berada di tahap terbaik?
Bukan tiada political will. Tetapi masalahnya, ketika beli aset ia dalam keadaan bagus. Tetapi apabila penyelenggaraan perkara sebaliknya berlaku.
Dalam pembelian aset, ia tidak boleh peruntukan pembelian dikurang­kan separuh. Ia mesti melibatkan peruntukan penuh supaya cukup untuk penye­leng­garaan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×