Menderita alami gangguan bekalan air sejak 2018

Menderita alami gangguan bekalan air sejak 2018

MUHAMMAD Sharil Mohd. Sabri terpaksa mandi menggunakan air perigi selepas berlaku gangguan bekalan air untuk menyejukkan badan berikutan cuaca panas di Kampung Baru, Kelulut, Rhu Muda, Marang, Terengganu. - UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Lebih 1,500 penduduk di Kampung Rhu Muda di sini menderita kerana menghadapi pelbagai kesulitan apabila sering berdepan masalah gangguan bekalan air sejak lebih lima tahun lalu.

Masalah tersebut menjadi lebih kritikal ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini berikutan tekanan air rendah ekoran jumlah pengguna air meningkat.

Lebih parah, penduduk terutama kanak-kanak selalu ingin mandi kerana cuaca panas di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penduduk, Abd. Rahim Ibrahim, 58, dari Kampung Baru, Kelulut, Rhu Muda berkata, dia kecewa apabila Syarikat Air Terengganu (Satu) gagal mengatasi masalah gangguan bekalan air di kampung itu yang berlarutan sejak 2018.

Katanya, masalah tersebut membebankan penduduk kerana terdapat dalam kalangan mereka terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Saya terpaksa membelanjakan lebih RM100 untuk membeli air mineral kerana air paip tidak mencukupi untuk menampung keperluan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohammed Ismail, 73, pula berkata, dia terpaksa menggunakan air perigi rumahnya untuk kegunaan harian seperti memasak, mandi dan membasuh pakaian kerana bekalan air sering mengalami gangguan.

“Malah, jiran-jiran saya yang tinggal berdekatan mengambil air dari perigi tersebut untuk menampung kegunaan keluarga mereka. Pada Hari Raya Aidilfitri lalu, jiran-jiran saya turut menumpang mandi di perigi ini,” katanya.

Seorang nelayan, Sudin Ibrahim, 49, pula berkata, dalam tempoh krisis air berlaku di kampung itu, dia mendapati pihak Satu tidak menghantar bekalan air dengan menggunakan lori tangki.

“Satu juga tidak memasang tangki statik untuk kemudahan penduduk untuk mendapatkan bekalan air ketika berlaku gangguan bekalan air,” katanya.

Peniaga, Azizi Othaman, 58, berkata, dia mempunyai dua perigi di rumahnya, namun tidak dapat digunakan kerana air berbau busuk dan tidak sesuai digunakan untuk mandi dan minum.

“Keadaan tersebut menimbulkan banyak terpaksa menadah air ketika keadaan bekalan air sedikit pulih.

“Kebiasaannya bekalan air akan mengalami gangguan yang teruk dari pukul 6 petang hingga larut malam manakala waktu pagi hingga petang pula berlaku tekanan air rendah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×