Tarian merak kita ada keunikan, keistimewaan tersendiri

Tarian merak kita ada keunikan, keistimewaan tersendiri

PAKAIAN,, perhiasan, solekan dan segala keperluan bagi persembahan tarian merak disediakan sendiri oleh Kalaivanan Rajenthiran. – FACEBOOK KALAI VARMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERAK merupakan burung yang cantik dan sentiasa menarik perhatian orang ramai pada setiap kali ia mengigal, iaitu mengembangkan bulu ekor yang berwarna-warni. Selain dilukis dengan penuh teliti, burung merak juga sering diabadikan dalam lagu, puisi dan pelbagai seni persembahan.

Topik ini disentuh sewaktu saya mengunjungi Kalaivanan Rajenthiran di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini. Pemuda berumur 35 tahun ini merupakan penari tarian klasik India dan menjadi tenaga pengajar kepada sekitar 15 pelajar berumur lapan hingga 45 tahun. Kalaivanan mahir dalam pelbagai tarian klasik dan tradisional India seperti bharatanatyam, karagattam, kolattam dan poikal kuthirai.

“Saya terlibat dalam tarian sejak umur 10 tahun. Kini, saya paling dikenali ramai dalam persembahan tarian merak, iaitu mayilattam,” kata pemuda kelahiran Gopeng, Perak yang tinggal di Batu Caves sejak 20 tahun lalu.

Tarian merak yang dimaksudkan oleh Kalaivanan berasal dari Tamil Nadu, India. Merak sering dikaitkan dengan Dewa Murugan kerana dijadikan wahana atau tunggangan dewa itu dalam kisah purana dan mitos.

Pada 1963, merak diisytihar sebagai burung kebangsaan bagi India. Hal ini kerana burung itu terdapat hampir di seluruh negara serta muncul dalam budaya, mitos dan cerita pelbagai komuniti di India.

Dalam budaya kaum India, apabila burung merak dilihat mengigal, maka dikatakan hujan akan turun. Bagaimanapun, pakar zoologi mengesahkan bahawa secara kebetulan, musim hujan pada sekitar Mei juga merupakan musim mengawan bagi merak.

“Kita perlu ingat bahawa hanya merak jantan memiliki bulu penuh warna dan mengigal dengan mengembangkan bulu ekor. Kecantikan itulah yang cuba digambarkan menerusi tarian merak,” kata Kalaivanan yang membuat persembahan istimewa pada setiap tahun sejak 15 tahun lalu sempena Thaipusam di Batu Caves.

Pakaian, perhiasan, solekan dan segala keperluan bagi persembahan tarian merak disediakan sendiri oleh pemuda ini. Beliau amat mementingkan kualiti dan keselesaan.

“Walaupun kos agak tinggi, saya sedia mengeluarkan belanja kerana saya sentiasa mahu memberikan persembahan terbaik kepada orang ramai,” ujar pemuda ini yang turut diundang membuat persembahan sempena Deepavali, majlis perkahwinan dan upacara keagamaan di kuil.

Penari mayilattam cuba meniru gerak-geri dan perwatakan merak yang anggun dan penuh lenggok. Ekspresi muka dan mata serta pergerakan kaki dan tangan membantu penonton menghayati keunikan itu.

Sebenarnya, tarian merak bukan hanya terdapat dalam kalangan orang Tamil, sama ada di India atau di mana-mana tinggal diaspora India seperti di Malaysia, Australia, Sri Lanka dan Singapura. Sebaliknya, variasi tarian merak juga ditemui dalam pelbagai komuniti lain di negara-negara Asia di mana burung merak mudah ditemui.

SUNDA

Komuniti Dai di wilayah Yunnan, China sangat sinonim dengan tarian merak sejak lebih 1,000 tahun dahulu. Tarian merak di Jawa Barat pula dipersembahkan oleh wanita etnik Sunda. Variasi tarian ini juga popular di Myanmar dan Thailand.

Di Kemboja pula, kumpulan etnik Kola di wilayah Pailin mempersembahkan tarian merak yang digelar robam kngork. Persembahan ini mengangkat mitos di mana seekor merak sakti muncul untuk menyampaikan ajaran Hindu-Buddha kepada seorang raja pada masa silam.

Kalau negara-negara Eropah kagum dengan tarian balet yang mengangkat watak angsa, negara-negara Asia pula menampilkan keunikan merak dalam tarian mereka.

“Tentulah bulu merak menjadi tarikan utama apabila menyaksikan mayilattam. Saya menggunakan 1,000 helai bulu burung merak untuk menghasilkan ekor yang membolehkan saya mengigal dengan penuh anggun semasa membuat persembahan,” ulas Kalaivanan yang ternyata amat komited dalam menjayakan setiap persembahan dengan sempurna.

Beliau juga membuat aksesori sendiri untuk dipakai semasa menari. Misalnya, perhiasan kepala yang dipanggil kreedam (mahkota), cekak pada tangan, rantai manik serta baju yang sesuai dan sopan untuk persembahan di tempat awam.

Pengalaman Kalaivanan sebagai seorang penari klasik juga amat membantu beliau memanfaatkan gerak-geri tangan dan jari yang disebut mudra. Pergerakan mata dan mimik muka yang digelar navarasa (sembilan emosi) juga menjadikan tarian pemuda ini sungguh memukau.

Memandangkan segala busana dan aksesori dibuat sendiri secara eksklusif, Kalaivanan hanya memerlukan masa sekitar 45 minit untuk mempersiapkan diri bagi membuat persembahan.

“Disiplin adalah sangat penting. Saya juga sentiasa mewajibkan para pelajar saya tanpa mengira usia supaya menghormati seni persembahan. Sesiapa yang mengabaikan aspek ini tentu tidak mampu berjaya dalam bidang kesenian,” tegasnya.

Satu lagi syarat atau peraturan yang dipegang oleh Kalaivanan ialah tidak menggunakan lagu-lagu popular dari filem untuk mengiringi tarian merak.

“Saya hanya menggunakan muzik semi klasik dalam bentuk instrumental.

Tumpuan perlu diberi kepada gerak-geri dan tarian si merak, bukan kepada usaha menginterpretasi lirik lagu-lagu popular,” pemuda itu menjelaskan.

Satu lagi perkara yang saya perhatikan adalah Kalaivanan tidak memakai kasut apabila mempersembahkan tarian merak. Sama ada menari di pentas yang rata, jalan raya berbatu kasar atau tanah berpasir di halaman kuil, beliau tetap berkaki ayam (atau berkaki merak).

Sesungguhnya, persembahan mayilattam di Malaysia sedikit berbeza dengan tradisi di Tamil Nadu, India. Misalnya, ada penari di India berdiri di atas batang kayu yang dijadikan kaki merak. Ada pula penari di India yang memainkan peranan Dewa Murugan yang sedang menunggang merak sebagai wahana. Maka, persembahan di Malaysia memiliki keunikan tersendiri yang wajar terus dipelihara. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×