TIGA rang undang-undang (RUU) dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) pada hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat, 4 April lalu. Kesemua pindaan adalah mengenai pemansuhan kesalahan percubaan membunuh diri.
Bacaan kedua dijangka dibuat pada sesi akan datang. Tiga RUU tersebut ialah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 melibatkan beberapa dasar bagi menyokong pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan.
Perbuatan membunuh diri adalah perbuatan jenayah individu yang berlaku sejak sekian lama termasuklah pada zaman Nabi. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menghumbankan diri dari bukit hingga membunuh dirinya, maka ia akan masuk ke neraka jahanam, di mana ia akan berterusan menghumbankan diri di dalamnya dalam keadaan kekal abadi selama-lamanya. Barang siapa meneguk racun hingga membunuh dirinya, maka racun tersebut akan berada di tangannya, di mana ia akan berterusan meneguknya di neraka jahannam dalam keadaan kekal abadi di dalamnya selama-lamanya. Barang siapa membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada di tangannya, di mana ia akan berterusan menikamkannya ke perutnya di neraka jahanam dalam keadaan kekal abadi di dalamnya selama-lamanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Saya ingin tekankan perlunya usaha berterusan daripada semua pihak untuk menanam ke dalam generasi muda terutama tentang pendirian Islam terhadap bunuh diri. Memang benar, rasa stres, depresi dan kemurungan melampau hingga tidak mahu lagi meneruskan hidup adalah ‘sakit’ yang perlu segera dirawat. Namun, membunuh diri tidak menjadi penyelesaian kepada masalah, bahkan ia adalah permulaan kepada masalah yang lebih besar di akhirat nanti.
Menurut Seksyen 309 Kanun Keseksaan sedia ada, sesiapa sahaja yang cuba membunuh diri boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya. Undang-undang ini berasal daripada common law yang menerima pakai Kanun Keseksaan India ke dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1936. Ketika itu, isu tentang kesihatan mental serta punca atau rawatannya tidak begitu difahami dengan baik oleh masyarakat.
Namun, banyak negara termasuk Singapura sudah pun menyahjenayah kesalahan cubaan membunuh diri sejak 2020. Buat masa ini, Malaysia adalah antara 20 negara yang masih mengekalkan percubaan bunuh diri sebagai suatu jenayah.
Sudah lama sebenarnya rakyat menggesa kerajaan untuk memansuhkan kesalahan ini. Punca terjadinya cubaan bunuh diri ialah disebabkan faktor biologi, sosiologi dan ekonomi.
Pada 2021, talian bantuan psikososial Kementerian Kesihatan (KKM) menerima panggilan hampir lima kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Dari Januari hingga Disember 2021, talian bantuan berkenaan menerima 212,319 panggilan berbanding tempoh sama pada 2020 yang hanya 44,061 panggilan.
PEMANDIRI
Pemansuhan kesalahan ini perlu disokong oleh semua pihak. Ini bukanlah bererti menggalakkan orang ramai membunuh diri, sebaliknya sebagai satu tanda sokongan kepada para ‘pemandiri’ untuk tampil ke depan dan mendapatkan bantuan.
Bayangkan jika kenalan anda baru terselamat daripada cubaan bunuh diri akibat tekanan hidup yang mereka hadapi, selepas itu dibawa ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman penjara atau denda. Sudahlah tekanan hidup masih belum diatasi, ditambah pula dengan dugaan lagi.
Oleh sebab itu, usaha untuk menyahjenayah cubaan bunuh diri ini perlu disokong bagi memastikan individu yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dapat menerima bantuan, sokongan dan rawatan sewajarnya. Pada masa sama, kerajaan boleh mengetahui statistik dan sejauh mana keruncingan masalah ini dalam masyarakat.
Dari sudut undang-undang, Seksyen 84 Kanun Keseksaan menjelaskan, seseorang yang didakwa atas sebarang kesalahan, tidak akan didapati bersalah dengan alasan tidak sempurna akal yang membuatkan mereka tidak mengetahui sifat tindakan mereka. Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) memperuntukkan di mana seorang individu didakwa atas kesalahan dan disyaki tidak siuman, dia akan dinilai di hospital psikiatri kerajaan menurut peruntukan Seksyen 22 Akta Kesihatan Mental 2001. Tempoh pemantauan akan dilakukan sehingga tiga bulan dan selepas itu barulah mahkamah membuat keputusan berdasarkan penilaian pegawai perubatan sama ada bersalah atau dibebaskan.
RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 pula mengekalkan kesalahan persubahatan membunuh diri di bawah Seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan selain memasukkan persubahatan perlakuan percubaan bunuh diri sebagai suatu kesalahan jenayah dan seterusnya membezakan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan-tindakan berkaitan.
Hukuman yang dicadangkan akan memperkasa dan meningkatkan peruntukan kes bunuh diri melibatkan kanak-kanak dan orang kurang kapasiti mental berbanding mangsa lain kerana golongan ini dilihat lebih terdedah kepada pengaruh dan manipulasi luar. Hukuman yang dicadangkan untuk kesalahan bersubahat dengan bunuh diri atau cubaan membunuh diri ialah penjara sehingga 20 tahun serta denda.
Seterusnya, RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 melibatkan peranan pegawai intervensi krisis yang diwujudkan dan diberikan kuasa menahan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615). RUU ini antara lain membolehkan pegawai intervensi krisis seperti pegawai polis, pegawai jabatan kebajikan dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menahan mana-mana orang yang cuba membunuh diri.
Menerusi RUU ini, pegawai intervensi krisis juga boleh menahan mana-mana orang yang difikirkan mempunyai kecelaruan mental yang boleh membahayakan dirinya, orang lain atau harta. Menurut RUU ini, pegawai yang menahan mana-mana orang hendaklah selewat-lewatnya dalam tempoh 24 jam, membawa orang berkenaan kepada pegawai perubatan psikiatri untuk pemeriksaan.
Kesimpulannya, memansuhkan jenayah cubaan bunuh diri sahaja sememangnya tidak akan mampu menghalang dan menangani masalah ini. Namun, usaha ini akan memberi sinar kepada orang ramai untuk lebih berani menyuarakan masalah mental mereka tanpa rasa takut dan dirujuk untuk pemeriksaan. Stigma negatif mengenai bunuh diri juga dapat dikurangkan. Individu yang mempunyai kecenderungan bunuh diri inilah sebenarnya mangsa yang perlu dirawat, bukan penjenayah yang perlu dihukum. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Belia, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ).










