PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu berhenti menyerang dan mengkritik Pakatan Harapan (PH) secara terbuka kerana parti tersebut memerlukan PH sebagai ‘hayat politiknya’.
Penganalisis politik dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berkata, tindakan Muda yang mengkritik kerajaan perpaduan secara terbuka mungkin disebabkan parti itu rasa disisih dalam soal pengagihan kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Katanya, pemimpin Muda sepatutnya menguatkan parti itu terlebih dahulu memandangkan peluang sudah diberi oleh PH ketika PRN Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
KERUSI
“Muda hanya peroleh satu kerusi di PRN Johor walaupun dibantu oleh PH. Malah, ketika PRU15 mereka juga hanya menang di kubu kuat iaitu kawasan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar). Itu sahaja mampu dilakukan mereka.
“Muda dahulu diambil menjadi rakan sekutu PH kerana dikatakan mampu menarik pengundi-pengundi baharu dan atas pagar tetapi nampak gayanya gagal. Jadi dalam perkara ini, Muda sebenarnya yang memerlukan gabungan tersebut, bukan sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, Majlis Presiden PH menerima permohonan Muda untuk menyertai gabungan tersebut secara rasmi, namun keputusan tersebut sehingga hari ini tidak diketahui.
Bagaimanapun, tindakan pemimpin dan ahli daripada kedua parti tersebut saling membalas kritikan serta serangan secara terbuka di media sosial seolah-olah menggambarkan hubungan mereka mula menjadi keruh lalu menyukarkan untuk bersatu.
Malah, baru-baru ini, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pegawai fungsi khas (strategi) kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sebelum ini, Luqman menghadap satu ciapan sehingga menimbulkan kontroversi apabila seolah-olah menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
PENGARUH
Mengulas lanjut, Azmi berkata, Muda yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen menyebabkan parti tersebut sukar untuk menggunakan pengaruh mereka terhadap kerajaan perpaduan.
Namun, sekiranya Muda mengambil keputusan bergerak sendiri, jangka hayat parti tersebut dijangka tidak mampu bertahan lama.
“Muda perlu bersabar walaupun mereka mungkin mereka rasa gelisah mengenai pembahagian kerusi untuk PRN yang dilakukan kemungkinan hanya melibatkan antara PH dan BN.
“Pembahagian kerusi antara Kerajaan Perpaduan kemungkinan tidak melibatkan Muda. Jadi ini menandakan mereka sepatutnya memahami keadaan politik semasa iaitu tahu di mana kedudukan mereka,” katanya. – UTUSAN










