Wanita Ketua Pengarah Kesihatan baharu?

Wanita Ketua Pengarah Kesihatan baharu?

DR. ASMAYANI KHALIB dan DR. NORHAYATI RUSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 35 tahun berkhidmat di sektor kesihatan negara dengan memegang jawatan tertinggi sebagai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengakhiri kariernya pada Jumaat lalu.

‘Jeneral perang’ negara ketika pandemik Covid-19 tersebut mula bersara wajib pada 21 April selepas 10 tahun menjawat jawatan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun, kini timbul persoalan sama ada perlukah Dr. Noor Hisham digantikan oleh muka baharu sebagai peneraju sektor kesihatan negara atau kerajaan masih boleh meneruskan perkhidmatannya dengan menyambung kontrak beliau untuk beberapa tahun lagi.

Terdahulu, Dr. Noor Hisham dalam respon ringkas berhubung persaraannya berkata, beliau mahu berehat terlebih dahulu.

Kenyataan tersebut mengundang persoalan sama ada khidmat beliau disambung melalui kontrak atau sebaliknya.

Sekiranya tiada penyambungan kontrak, Malaysia berkemungkinan memiliki Ketua Pengarah Kesihatan pertama dalam kalangan golongan wanita memandangkan dua daripada tiga jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan adalah wanita.

Dua jawatan tersebut adalah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang disandang oleh Datuk Dr. Asmayani Khalib manakala seorang lagi adalah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli.

Satu lagi jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) pula dipegang oleh Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Kassim.

Difahamkan, jawatan Ketua Pengarah Kesihatan ketika ini dipangku oleh Dr. Asmayani.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, keputusan melantik Ketua Pengarah Kesihatan baharu kini terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

NOOR HISHAM ABDULLAH

Jelasnya, jika kerajaan memutuskan menyambung kontrak Dr. Noor Hisham, ia perlu dilakukan secara bilateral oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu.

“Perbincangan harus dibuat secara bilateral (kerajaan dengan Dr. Noor Hisham) dan beliau harus bersedia untuk menyambung tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.

“Bagaimanapun, jika kerajaan memutuskan mencari pengganti, pelantikan boleh dibuat dalam kalangan Timbalan Ketua Pengarah sedia ada,” katanya semalam.

Boon Chye berkata, lanjutan kontrak terhadap pegawai kanan kesihatan bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya pernah dilakukan terhadap bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon yang sepatutnya bersara wajib pada 10 Jun 2020.

“Kontrak beliau disambung semula memandangkan ketika itu pandemik Covid-19 sedang melanda negara.

“Jadi, saya berpandangan terserah kepada kerajaan untuk memutuskan perkara tersebut. Jika ada keperluan untuk menyambung kontrak Dr. Noor Hisham ia boleh dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×