PETALING JAYA: Parti Gerakan mengintai sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan majoriti orang Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, berdasarkan situasi semasa politik tanah air, Perikatan Nasional (PN) mempunyai potensi besar untuk menawan Pulau Pinang memandangkan sokongan orang Melayu semakin kuat di negeri tersebut.
Jelasnya, setelah mengkaji keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, pihaknya mendapati sokongan bukan Melayu masih lagi berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan memerlukan masa untuk mengembalikan kepercayaan golongan tersebut.
“Berdasarkan kepada beberapa perkara itu, Gerakan merasakan kami perlu bertanding di sekurang-kurangnya empat kerusia orang Melayu supaya semua parti dalam PN dapat berkongsi kuasa.
“Amat penting untuk PN berkongsi kuasa dengan supaya kita dapat buktikan bahawa kita adalah gabungan pelbagai kaum yang menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, kehadiran pemimpin daripada pelbagai kaum akan dapat menguatkan gabungan PN sekali gus meraih sokongan rakyat secara keseluruhannya.
“Jadi untuk (PRN) Pulau Pinang, kami harap rakan gabungan dalam PN dapat mempertimbangkan cadangan tersebut supaya PN itu dapat dilihat sebagai gabungan pelbagai kaum,” katanya.
Ditanya mengenai keyakinan Gerakan dan rakan gabungan menawan Pulau Pinang, Tong Keong berkata, beliau yakin PN mampu merampas negeri tersebut daripada PH.
Menurutnya, berdasarkan maklumat di akar umbi sokongan orang Melayu terhadap PN semakin kuat dan ia dijangka diluahkan pada PRN akan datang.
“Kita yakin dengan prestasi PN ketika ini dengan sokongan majoriti orang Melayu terhadap PN semakin meningkat kita mampu membuat kejutan di Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, jika ia gagal direalisasikan sekali pun sekurang-kurangnya PN di Pulau Pinang dapat mewakili suara semua lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










