PETALING JAYA: Semua rakyat Malaysia di Sudan disahkan berada dalam keadaan selamat, walaupun negara itu terus bergolak ketika ini.
Menurut Wisma Putra, seramai 29 rakyat Malaysia yang berdaftar masih berada di Sudan, dengan majoritinya merupakan pelajar di negara tersebut.
Bagaimanapun, katanya, Kedutaan Malaysia di Khartoum mengesahkan terdapat beberapa kawasan bandar di Khartoum berada dalam keadaan tidak selamat ketika ini.
“Pihak kedutaan berhubung rapat dengan mereka (rakyat Malaysia) dan menyediakan segala bantuan yang diperlukan.
“Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat Sudan dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan sehingga situasi berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Kementerian Luar memberi jaminan akan terus memantau situasi di negara tersebut.
Kelmarin, rakyat Malaysia di Sudan dalam detik cemas apabila tercetus perebutan kuasa melalui pertempuran bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Konflik itu menyebabkan lebih 50 maut dan hampir 600 tercedera ekoran pertempuran di ibu negara tersebut setakat ini.
Wisma Putra juga mengesahkan, Kedutaan Malaysia di Khartoum beroperasi buat sementara waktu di kediaman Duta Malaysia ke Sudan.
Sementara itu, Petronas mengesahkan kakitangannya berada dalam keadaan selamat daripada konflik ketenteraan di ibu negara Khartoum, Sudan.
Ini meskipun angka kematian meningkat apabila 56 maut dan 595 lagi cedera ekoran perebutan kuasa antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
“Kesemua kakitangan yang berada di Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan, selamat,” menurut Unit Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas dalam kenyataan.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan,kakitangan Kumpulan Petronas yang lain juga selamat berada di rumah masing-masing atau di luar negara.
“Kompleks berkenaan mempunyai premis kediaman dan pejabat termasuk pejabat Kedutaan Malaysia di Khartoum,” katanya.
Petronas memberi jaminan terus memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan semua kakitangan.
“Langkah ini adalah sentiasa kekal menjadi keutamaan Petronas,” katanya.
Setakat ini, seramai 29 warganegara Malaysia kebanyakannya pelajar masih berada di Sudan. – UTUSAN










