APABILA Beijing melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran seolah simulasi menyerang Taiwan, mungkin rakyat Malaysia tidak mengambil endah perkara ini kerana kemungkinan strategi Beijing ugut Taiwan sudah menjadi kelaziman. Malah rakyat Taiwan sendiri bagaikan sudah lali dengan taktik sedemikian sebagaimana rakyat Jepun sudah lali dengan taktik Kim Jong Un dengan setiap pelancaran peluru berpandu Korea Utara.
Latihan ketenteraan tersebut ekoran pertemuan antara Speaker Dewan Kongres Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy dengan Presiden Taiwan, Tsai Ing Wen di Los Angeles minggu lepas. Walaupun latihan ketenteraan ini tidaklah sehebat latihan selepas lawatan Nancy Pelosi ke Taipei pada 2022 yang melibatkan penggunaan peluru berpandu, tetapi penggunaan jet pejuang J-15 adalah manifestasi betapa bersungguhnya ugutan Beijing kali ini.
Mungkin jua rakyat Malaysia berpendapat, Taiwan terlalu jauh untuk kita turut berasa runsing. Seperti perang di Ukraine walaupun mengakibatkan kesan negatif geopolitik dan ekonomi yang turut dirasai kita, hakikatnya ia jauh dari Malaysia.
Tetapi apabila AS dan Filipina melancarkan latihan ketenteraan Balikatan minggu hadapan yang terbesar pernah dilaksanakan kedua-dua negara melibatkan lebih 17,000 anggota tentera AS, Filipina dan juga Australia, isu Taiwan menjadi lebih dekat dengan kita kerana Balikatan adalah tindakan balas AS terhadap latihan ketenteraan China ugut Taiwan.
Paling kritikal buat Malaysia adalah latihan Balikatan dilaksanakan di Laut China Selatan yang begitu sensitif akibat tuntutan bertindih melibatkan Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam dan China. Walaupun latihan Balikatan ini matlamat tersuratnya adalah jawapan balas kepada latihan ketenteraan China yang menyasarkan Taiwan, ia juga adalah niat tersirat Manila bahawa mereka mempunyai rakan kuasa besar dalam hal kemelut Laut China Selatan sebagaimana Taipei mempunyai AS melindungi mereka daripada ancaman China.
Mahu tidak mahu, isu tuntutan China terhadap Taiwan akan terkait dengan tuntutan China yang mendakwa 90 peratus perairan Laut China Selatan adalah milik mereka termasuk sebahagian besar Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia. Sebab itu dihujahkan, apa jua yang terkait dengan isu Taiwan, kemelut Laut China Selatan juga akan terheret yang mana Malaysia terlibat secara langsung.
Kesemuanya bermula dengan lawatan Setiausaha Pertahanan AS, Loyd Austin ke Manila pada Januari lalu di mana persefahaman dicapai untuk menambah jumlah tentera AS di Filipina. Manila juga bersetuju memberi ruang penggunaan empat pangkalan tentera milik Filipina kepada tentera AS. Kesemua persetujuan ini terkandung dalam Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat di antara kedua-dua negara yang pada suatu ketika adalah sekutu kuat. Nampak gayanya di bawah pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr., keakraban dua sekutu ini mungkin kembali bertaut.
UNCLOS
Persefahaman pertahanan ini mempunyai matlamat berlainan bagi AS dan Filipina di mana Washington mahu mengguna pakai persefahaman sebagai kekangan niat China untuk mengambil alih Taiwan secara paksa. Manila pula punya hasrat tersirat bahawa persefahaman ini mampu menongkah arus tindakan China yang sentiasa membuli Filipina dalam hal tuntutan Laut China Selatan.
Tetapi hakikat yang tidak dapat dielak ialah akibat isu Taiwan sudah berkait dengan kemelut Laut China Selatan kerana masing-masing Washington dan Manila mencuri peluang terbuka, maka amat sukar untuk ASEAN bersatu hati mempertaruhkan perundangan maritim antarabangsa Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) sebagai sandaran penyelesaian.
Oleh kerana lokasi Filipina adalah antara yang terdekat dengan Taiwan, sebab itu kepentingan pangkalan tentera Filipina yang menempatkan tentera AS adalah strategi kekangan yang agak efektif untuk menghalang tentera China menyerang Taiwan. Tetapi agak malang bagi negara-negara ASEAN yang terlibat dalam kemelut Laut China Selatan dengan Beijing termasuk Malaysia, tidak boleh pisahkan isu Taiwan.
Apabila Manila sudah membuat keputusan untuk bersama dengan AS, maka ini membawa maksud amat sukar untuk ASEAN bersatu bila berhadapan dengan China. Senario ini memberi manfaat kepada China kerana Beijing tidak mahu berurusan dengan ASEAN sebagai sebuah organisasi tetapi mahu berbincang secara bilateral dengan empat negara ASEAN terlibat.
Sudah pasti perbincangan secara bilateral memberi kekuatan berlebihan kepada China kerana secara multilateral kekuatannya menyebelahi ASEAN. Dalam pertemuan dengan Marcos Jr. dua minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan ASEAN perlu bersatu hati untuk memaksa China mengguna pakai UNCLOS adalah melalui Kod Tatacara Laut China Selatan (CoC) yang sedang dalam perbincangan di antara ASEAN dan China.
Dengan perkembangan terkini, maka sukar untuk CoC dimuktamadkan dalam masa terdekat kerana ASEAN tidak sekata dalam hal Laut China Selatan. Begitu jua denga terkait secara langsung isu Taiwan dengan penglibatan AS secara langsung, maka agak sukar isu Laut China Selatan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Lebih ironis sekali apabila AS mendesak China menghormati UNCLOS kerana AS tidak menandatangani konvensyen tersebut sedangkan China adalah sebahagian daripada negara menjadi ahli UNCLOS. Apabila Russia menyerang Ukraine, Presiden Vladimir Putin mendakwa pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengancam Russia melalui Ukraine. Harapannya, senario ini tidak berulang dalam isu Taiwan. – UTUSAN
Penulis ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).










