Malaysia kekal dilihat pemimpin ASEAN – Duta AS - Utusan Malaysia

Malaysia kekal dilihat pemimpin ASEAN – Duta AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
HUBUNGAN Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia sudah lama dan kini mencecah usia 65 tahun.
Setakat ini, AS melihat Malaysia sebagai rakan dagang dan diplomatik yang amat penting di rantau Indo-pasifik.
Sepanjang perhubungan yang terjalin, terdapat beberapa isu serantau yang turut ditangani bersama dan masih banyak ruang yang boleh diterokai.
Sehubungan itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN IBRAHIM, C. SHEILA RANI dan NAWWAR ABDUL RAHIM bersama jurugambar, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH berpeluang menemu bual Duta AS ke Malaysia, BRIAN D. MCFEETERS di pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

MINGGUAN Malaysia: Bagaimana anda melihat hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan AS setakat ini?
MCFEETERS: Pada tahun lalu, kita menyambut ulang tahun ke-65 tahun hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS). Hubungan ini kuat dan cukup luas. Kita ada dalam bidang ekonomi, keselamatan, hubungan sesama manusia (people to people). Ini merupakan hubungan yang mantap dan boleh dipercayai.

Jadi apa harapan AS untuk perhubungan ini?
Pada masa hadapan, kita berharap dapat mempertingkatkan lagi pertukaran kepakaran di antara dua negara iaitu dalam penjagaan kesihatan, peluang baharu untuk eksport dan pelaburan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa pula pandangan anda terhadap Malaysia dan ASEAN setakat ini?
Dari sudut pandang orang AS, Malaysia dilihat sebagai pemimpin ASEAN. Malaysia kini lebih penting dari Burma (Myanmar). Malah, sekarang terdapat sedikit isu di Burma. Sebaliknya, Malaysia sangat penting untuk ASEAN dari mula lagi.
Kami meletakkan Malaysia sebagai sangat penting iaitu sebagai sebahagian negara ASEAN yang kuat dan mempunyai perhubungan yang padu.
Jika anda bertanya kepada orang AS tentang ASEAN, mereka akan menggambarkan kumpulan ini sebagai sebuah ekonomi yang besar, aman dan mempunyai hubungan baik terhadap dunia. Ia amat positif.

Jadi, adakah Malaysia penting bagi AS?
Ya. Amat penting. AS mempunyai strategi Indo-pasifik. Itu merupakan hala tuju kami untuk menjalin hubungan yang lebih baik serta mewujudkan kerjasama keselamatan serantau yang baik dengan rakan-rakan sekutu seperti mana Malaysia yang dilihat penting bagi ASEAN dan Asia.
Dari segi keselamatan ekonomi, kami mahu mewujudkan pasaran terbuka Indo-pasifik. Jadi, lebih banyak kapal perdagangan boleh melalui Laut China Selatan.
Kami juga mahu menekankan kepentingan ASEAN yang dilihat sangat kepelbagaian, berjaya dalam ekonomi dan signifikan dalam sebuah kumpulan ekonomi. Saya melihat ASEAN sebagai sebuah kumpulan ekonomi yang tumbuh dan berkembang.
Malaysia dan AS juga banyak berkongsi nilai. Kita berkongsi amalan demokrasi dan menghormati hak asasi manusia walaupun ada kalanya kita dilihat tidak sempurna.

Anda memuji Malaysia sebagai pemimpin ASEAN. Jadi, dalam ekonomi, adakah banyak perniagaan AS yang bertapak di Malaysia?
Saya tidak mempunyai data yang tepat. Tetapi, dianggarkan kira-kira 600 hingga 700 syarikat dari AS berdaftar dan menjalankan perniagaan di sini.
Daripada jumlah itu, lebih 300 syarikat adalah aktif dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Sektor E&E mencatatkan sebanyak 40 peratus daripada eksport keseluruhan di Malaysia. Ia bernilai AS$137 bilion (RM603.3 bilion) pada 2022.
Secara kasarnya, kira-kira suku penuh daripadanya datang daripada syarikat-syarikat AS yang terlibat dalam pengeluaran E&E di Malaysia.
E&E mungkin menjadi sektor tunggal terbesar AS di Malaysia. Malah, kami juga meraikan hubungan jangka panjang selama 50 tahun dalam sektor ini di Pulau Pinang, baru-baru ini.

CERITA MUSANG KING
Apa pula pandangan anda terhadap hasil Malaysia terutamanya buahan-buahan?
Musang King berjaya ubah pemikiran saya. Ini kerana saya tidak pernah meminati durian.
Beberapa bulan lalu, rakan sekerja saya meminta saya mencuba Musang King di sini. Sebelum ini, saya hanya pernah merasai durian di Indonesia. Rasa durian di Indonesia seperti memakan kepingan besar bawang putih. Itu adalah perasaan saya ketika itu.
Tetapi, Musang King berbeza, ia rasa seperti puding. Saya suka rasa manis yang terdapat dalam durian berkenaan.

Adakah Musang King mempunyai potensi untuk dieksport ke AS?
Setahu saya, terdapat snek durian yang dieksport ke AS. Bagaimanapun, saya pun tidak tahu butiran lanjut mengenainya. Malah, saya hanya meneka, rakyat Malaysia yang tinggal di AS mungkin memperoleh banyak bahan berasaskan durian di sana.
Di AS, terdapat masyarakat Korea yang menghasilkan makanan kimchi dan ia dipasarkan secara meluas di kedai runcit khas yang menjual barangan Korea.
Jadi, saya berharap ada rakyat Malaysia juga boleh membuat perkara sama (membuka kedai runcit) di sana.
Saya menggalakkan rakyat Malaysia melabur di AS. Jika ada sesiapa yang hendak mengeksport Musang King ke AS, saya cuba untuk membantu mereka. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×