PETALING JAYA: Peningkatan jangkitan kes Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia sejak kebelakangan ini sudah dijangka ekoran semua negara kini memasuki fasa peralihan endemik yang menyaksikan orang ramai bergerak bebas dan kembali hidup secara normal.
Hal ini kerana kes harian Covid-19 di negara ini telah melonjak daripada 430 kepada 797 kes dalam tempoh seminggu sejak 2 April lalu dengan 4,574 jumlah keseluruhan jangkitan pada setakat ini dan keadaan sama berlaku di negara lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, semua pihak perlu berwaspada dengan peningkatan kes itu kerana dibimbangi meletusnya varian baharu Covid-19 yang boleh menyebabkan penambahan kemasukan wad dan kadar kematian.
Katanya, keadaan itu memberi kesan buruk khususnya kepada golongan berisiko khususnya melibatkan warga emas, pesakit penyakit kronik dan individu dengan daya ketahanan badan yang rendah.
“Kita sehingga kini belum tahu adakah peningkatan kebelakangan ini disebabkan wujudnya varian baharu Covid-19 kerana belum ada ujian dilakukan untuk mengesannya. Varian-varian baharu Covid-19 berisiko memasuki Malaysia selepas peralihan kepada fasa endemik berikutan aktiviti keluar dan masuk menerusi pintu sempadan negara.
“Jika dahulu ada varian Alpha, kemudiannya Delta dan Omicron. Sekarang kita tidak tahu apa pula varian baharu dan ini amat membimbangkan apatah lagi kita semua telah bergerak bebas dan kembali seperti normal,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kes Covid-19 meningkat mendadak dengan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ke-13 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.
Peningkatan kes dan kluster Covid-19 itu berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.
Justeru Dr. Sharifa Ezat mengingatkan pemakaian pelitup muka dan suntikan vaksin khusus untuk golongan berisiko perlu dilakukan apatah lagi pada musim perayaan kerana virus masih wujud dalam komuniti.
Katanya, golongan berisiko rendah tidak perlu bimbang dan mereka boleh meneruskan kehidupan seperti biasa namun perlu bertanggungjawab membuat langkah pencegahan sendiri.
“Meskipun beberapa negara telah menarik sepenuhnya sekatan Covid-19, kita masih perlu berjaga-jaga kerana virus ini masih berada dalam kehidupan seharian. Sebaliknya keadaan masih terkawal dengan tiada peningkatan kemasukan wad dan kematian.
“Oleh itu, kita perlu berwaspada pada setiap masa dan terus memakai pelitup muka di samping mengambil suntikan vaksin kepada mereka lagi yang belum berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN










