SATU kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Undian, UCSI University terhadap 1,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendedahkan 49 peratus responden tidak merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Lebih menggemparkan, setinggi 34 peratus daripada pelajar yang ditemu duga itu ingin menjadi pempengaruh media sosial. 26 peratus pula mahu bekerja dalam sektor perkhidmatan e-hailing (menjadi pemandu Grab dan sebagainya). Selain itu, 22 peratus bercadang menjalankan perniagaan makanan dan minuman.
21 peratus responden berpendapat, kini pendidikan tidak lagi menjamin pekerjaan yang bagus dan gaji tinggi. 20 peratus pula berkata, walaupun tidak menyambung pelajaran tetapi mereka tetap mampu memperoleh pendapatan setanding rakan-rakan lepasan kolej dan universiti.
Perangkaan itu didapati selari dengan fenomena berlaku di England, Wales dan Ireland. Hanya dua pertiga daripada lepasan sekolah menengah merasakan pendidikan universiti penting untuk mengembangkan kerjaya mereka kelak.
Ekoran populariti internet dan perkembangan pesat media massa dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, masyarakat dibanjiri pelbagai ujaran kurang munasabah yang mentawarkan hati pelajar untuk mengaji di universiti.
Fenomena kekurangan minat meneruskan pelajaran peringkat tinggi turut berlaku di Amerika Syarikat (AS). Ada pihak berpendapat, faktor ini disebabkan pasaran buruh yang dinamik telah menarik golongan muda terus menceburi sektor pekerjaan. Bagaimanapun, di AS, situasi ini merisaukan para pakar kerana kehilangan minat terhadap pendidikan tinggi di universiti boleh menjejaskan kualiti hidup masyarakat serta daya persaingan keseluruhan negara itu dalam jangka panjang.
Secara kebetulan, terdapat beberapa tokoh usahawan bertaraf dunia tidak menyempurnakan pelajaran di universiti, namun mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam bisnes internet dan memperoleh kekayaan mengagumkan seluruh dunia.
Ramai orang salah faham bahawa kebanyakan pelopor teknologi termasyhur di dunia tidak pernah menuntut di universiti. Mereka berhenti belajar di universiti pada usia muda dan memulakan perniagaan kerana telah nampak peluang di pasaran. Mereka memiliki kebolehan belajar yang amat kuat dan gemar membaca sejak kecil. Mereka juga senantiasa berbekalkan keupayaan belajar sendiri yang tinggi.
Malaysia sesungguhnya tidak memiliki pasaran dunia besar dan pasaran modal matang seperti AS yang membolehkan pemuda berbakat bebas mengembangkan kebijaksanaan serta kreativiti masing-masing.
Keadaan lain sama sekali di negara-negara Barat. Terdapat banyak perintis dan ribuan syarikat permulaan (startup) baharu melibatkan diri dalam sektor rangkaian internet dan produk berteknologi tinggi di Lembah Silikon AS dan tempat-tempat lain di seluruh dunia. Kemajuan bidang itu juga didorong oleh pelbagai pemodal teroka yang berani melabur ke atas sesuatu idea perniagaan baharu. Namun, di Malaysia kita tidak memiliki kelebihan-kelebihan seperti itu.
Malaysia masih memerlukan peningkatan kemajuan dari segi teknologi, pengurusan manusia dan daya cipta. Visi kita ialah segelintir besar rakyat merupakan tenaga kerja berpendidikan tinggi agar dapat membantu melonjak menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, menambahkan kuasa beli dan tahap pelaburan seterusnya membawa kepada kemantapan sistem ekonomi negara.
Sistem pendidikan tinggi di negara kita masih berhadapan banyak kelemahan. Siswazah dari universiti tempatan sering dikritik berikutan kekurangan kemampuan dan tidak memiliki kemahiran berbahasa Inggeris secukupnya.
Sesungguhnya pekerjaan-pekerjaan seperti pempengaruh dan pemandu Grab mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda ketika pandemik Covid-19, tiga tahun lalu. Akan tetapi, negara kini kembali semula kepada kehidupan normal. E-dagang sesungguhnya tidak lagi ‘meletup’ seperti menjelang kemuncak pandemik. Malah, ramai pekerja e-dagang merungut yang pendapatan mereka sudah banyak merosot dan tidak selumayan dahulu.
Ditinjau secara mendalam, pekerjaan dalam sektor e-hailing sebenarnya tidak melibatkan kemahiran dan ilmu tinggi. Inilah satu sektor ekonomi yang mana peserta bebas keluar dan masuk tanpa kuasa menawar untuk ganjaran lebih lumayan.
Pada suatu ketika dahulu, permintaan pasaran terhadap pemandu Grab berlipat ganda kerana e-dagang tiba-tiba memuncak semasa pandemik Covid-19. Kemudiannya, bilangan pekerja e-hailing semakin bertambah dan kek ekonomi itu terpaksa dikongsi bersama oleh beribu-ribu pesaing baharu.
Sesungguhnya negara kita memerlukan sekumpulan besar warganegara yang menerima latihan dan kemahiran berkaitan teknologi canggih terkini. Di samping itu amat memerlukan kumpulan usahawan muda berbakat besar dan gigih untuk menuju pasaran antarabangsa.
Kerja-kerja sebagai pempengaruh di media sosial atau pemandu Grab tidak dinafikan banyak membantu menyelesaikan masalah pencarian nafkah bagi golongan muda kita dalam jangka pendek. Pendapatan diperoleh dari sektor ini juga kelihatan jauh lebih tinggi daripada gaji permulaan siswazah universiti. Akan tetapi, kerjaya itu sememangnya lebih bersifat jawatan sementara dan bukannya sesuatu tempat bergantung yang terjamin untuk jangka panjang.
Gejala golongan muda tidak mahu menyambung pelajaran dan terlalu mengejar pekerjaan jangka pendek dalam bidang e-dagang sesungguhnya tidak sihat kepada pembangunan negara. Pendidikan tinggi merupakan pelaburan paling bernilai untuk hari esok. – UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.










