PETALING JAYA: Persengketaan berlarutan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor boleh memudaratkan kedua-dua belah pihak dan rakyat.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan mempersoalkan mengapa persengketaan Anwar-Sanusi terus dihidangkan kepada umum secara meluas sedangkan Pengerusi PH itu tidak pula mempunyai masalah besar dengan Menteri Besar Terengganu dan Kelantan.
Katanya, tidak sepatutnya perbezaan parti politik antara negeri dan persekutuan dijadikan punca sehingga membawa kepada perbalahan.
SEMBRONO
“Sebab itu kena lihat dari sudut Menteri Besar Kedah itu sendiri, dikatakan perlu lebih diplomatik dan tidak boleh menyatakan sesuatu secara sembrono walaupun benar, tetapi ada perkara tidak sepatutnya diumumkan secara ‘umum’.
“Jika Perdana Menteri turut ada masalah dengan Menteri Besar Kelantan dan Terengganu jadi tidak menghairankan sekiranya ia berlaku dengan Kedah, tetapi tidak. Jadi Sanusi perlu fikirkan kepentingan rakyat dan negerinya dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, persengketaan antara dua pemimpin tersebut terus hangat walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 sudah lama tamat.
Sepatutnya pada ketika ini, kedua-dua pemimpin itu mengetepikan perbezaan dan bekerjasama rapat demi rakyat walaupun berbeza parti politik.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir ketika dihubungi berkata, persengketaan tersebut sewajarnya ditamatkan walaupun diakui wujud bias memandangkan pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri itu dikuasai parti berbeza.
Katanya, ‘keegoan’ masing-masing bukan sahaja menyebabkan populariti masing-masing merundum malah memberi kesan kepada rakyat yang diwakili memandangkan kedua-dua jawatan disandang mereka perlu bekerja rapat.
“Bagi Anwar, ia boleh menjejaskan sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah terutama untuk Pakatan Harapan (PH) apabila beliau sebagai Perdana Menteri bergaduh dengan Menteri Besar di kawasan yang Perikatan Nasional (PN) mendapat sambutan hangat, maka imejnya akan terjejas.
“Pada masa sama, persengketaan melibatkan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar juga boleh menjejaskan Kedah kerana Anwar di kerajaan Persekutuan dan merupakan Perdana Menteri.
“Banyak bantuan datang dari persekutuan, ini menjejaskan negeri tersebut dalam banyak perkara seperti pelaburan serta bajet negeri sekiranya terus bersengketa,” katanya. – UTUSAN










