Anak-anak OKU juga berhak belajar agama - Utusan Malaysia

Anak-anak OKU juga berhak belajar agama

Pelajar OKU berhak mendapat pendidikan agama. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dianggarkan 41,694 anak-anak orang kurang upaya (OKU) beragama Islam yang mempunyai masalah pem­belajaran tidak mendapat pendidikan agama secara formal sekali gus menyebabkan mereka tidak terdedah kepada pengetahuan fardu ain dan boleh menjadi buta al-Quran.

Jumlah itu adalah 26 peratus daripada keseluruhan 159,594 kumpulan OKU beragama Islam yang mempunyai masalah pembelajaran seperti lembam, Sindrom Down, Austime, kurang upaya intelektual, Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD), masalah pembelajaran spesifik dan lewat perkembangan global seperti statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 31 Januari lalu.

Demikian situasi dihadapi sejak sekian lama dalam kalangan anak-anak OKU beragama Islam, apabila mereka tidak diberikan akses pendidikan sama seperti kanak-kanak lain manakala ibu bapa yang mempunyai kesedaran pula, terpaksa menghantar anak-anak ke pusat pendidikan swasta yang diwujudkan khas untuk memberikan pendidikan agama kepada mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar Pondok OKU (Pondoku), Mohd Zaini Mat Abas berkata, perkara itu berlaku kerana masih wujud persepsi yang menganggap tiada keperluan pendidikan agama dalam kalangan kanak-kanak masalah pembelajaran dengan menyifatkan mereka sebagai individu tidak mukalaf iaitu terlepas kewajipan melakukan tuntutan agama.

ASAS

Sebaliknya tegas penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M itu, mereka berhak menerima pendidikan asas agama seperti kanak-kanak lain meskipun tidak diwajibkan tuntutan agama Islam seperti mana hasrat ‘Pendidikan Untuk Semua’ di bawah Kementerian Pendidikan iaitu tiada murid terpinggir daripada akses pendidikan.

“Berbanding sukatan pendidikan lain, kita boleh utamakan anak-anak OKU untuk belajar menyanyi, muzik, sukan dan sebagainya, tetapi lupa terhadap elemen kerohanian atau keagamaan untuk mereka.

“Alasannya mereka tiada taklif atau mukalaf melakukan ibadah. Soal mukalaf adalah perkara kedua, tetapi mereka berhak mendapat pendidikan agama dengan memberikan akses pendidikan yang sempurna untuk anak-anak syurga ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Mohd Zaini memberitahu, tidak dinafikan wujud kesedaran dalam kalangan ibu bapa menghantar anak-anak OKU untuk mempelajari ilmu agama, sebaliknya mereka berdepan kekangan apabila tidak banyak pusat pendidikan agama khusus untuk golongan istimewa itu.

Justeru katanya, semua kementerian yang terlibat serta jabatan agama Islam negeri (JAIN) perlu duduk berbincang untuk membangunkan kokurikulum pendidikan agama khusus untuk kanak-kanak OKU masalah pembelajaran.

Menurut beliau, beberapa universiti awam telah membangunkan modul pembelajaran sedemikian, namun usaha itu hendaklah diteruskan oleh kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×