PETALING JAYA: Usaha menghapuskan monopoli semua tawaran barangan dan perkhidmatan perlu dilakukan secara menyeluruh kerana ia langkah yang selari dengan negara-negara maju.
Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Ahmad Martadha Mohamed berkata, apabila monopoli itu dipecahkan akan membawa kepada pembukaan peluang yang luas lalu menguntungkan negara.
Menurut beliau, Amerika Syarikat (AS) antara sebuah negara yang boleh diambil sebagai ‘saksi’ kepada kebaikan menghancurkan sistem monopoli apabila negara barat itu berkembang pesat dan mampu memberi perkhidmatan terbaik buat masyarakatnya.
“Amalan monopoli kadangkala membebankan pengguna, di mana ada yang terpaksa membayar sesuatu perkhidmatan dengan mahal kerana servis itu hanya dikawal oleh satu-satu organisasi sahaja.
“Ini amat berbeza dengan amalan negara maju, syarikat besar di sana tidak boleh memonopoli sesuatu perkhidmatan. Mereka wujudkan banyak ‘player’ lalu tahap perkhidmatan itu meningkat tetapi harganya murah. Ini memberi manfaat kepada masyarakat di sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, kerajaan memaklumkan akan mengkaji semula semua syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu sebagai usaha memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih berdaya saing antara mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua kementerian sudah diminta mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil.
Mengulas lanjut, Ahmad Mastadha berkata, organisasi yang rasa terancam dan keuntungan mereka terjejas oleh kerana usaha selepas terlalu lama memonopoli sesutau servis perlu akur kerana mereka sudah menikmati keuntungan hasil daripada mungkin keadaan ‘berat sebelah’.
Jelasnya, negara perlu mewujudkan sebuah akta antimonopoli seperti mana dilakukan oleh AS, bagi memastikan usaha kerajaan ketika ini akan berkelansungan selama-lamanya.
“Apabila ada satu undang-undang, maka ia akan menjadi satu dasar. Sekiranya tamat penggal kepemimpinan kerajaan sekarang jadi akta itu akan akan diteruskan oleh kerajaan pada kemudian hari,” katanya.- UTUSAN











