GOLONGAN belia sentiasa diangkat sebagai pewaris masa hadapan negara lantas diberi perhatian khusus terhadap keperluan mereka terutama dalam soal pendidikan serta peluang pekerjaan. Ironinya, kelompok anak muda mempunyai peranan sangat signifikan dalam membantu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi serta membentuk negara dan masyarakat madani yang diidamkan.
Bagi mencapai hasrat ini, kita memerlukan belia berjiwa kental, mempunyai jati diri kukuh serta sihat dan cergas dari segi minda dan fizikal. Namun, dewasa ini penglibatan golongan belia dalam najis dadah semakin membimbangkan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat mendedahkan, 10,074 belia berusia antara 19 hingga 39 tahun ditahan tahun lalu yang positif pelbagai jenis dadah, meningkat berbanding 8,935 individu tahun sebelumnya.
Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) pula menjangkakan 30,000 belia berusia 19 hingga 39 tahun akan terbabit dengan ketagihan dadah pada tahun ini susulan peningkatan trend individu dalam kalangan usia itu yang ditahan dua tahun sebelum ini. Berdasarkan pengalaman dan pengamatan pihaknya, peningkatan tersebut kerana faktor tekanan hidup dan penjualan peranti vape tidak berdaftar secara sah.
Disebabkan faktor ini, golongan belia dilaporkan cenderung untuk mengambil dadah perisa mushroom selain faktor bekalan dadah yang senang diperolehi kesan daripada permintaan tinggi pengguna.
Pendedahan fakta dan laporan seperti ini bukan sahaja mengejutkan malah cukup membimbangkan. Golongan belia yang disandarkan harapan tinggi untuk meneruskan legasi kecemerlangan negara tidak boleh dibiarkan terus hanyut dalam kancah najis dadah sebaliknya perlu ada usaha agresif bagi melindungi kelompok ini.
Ironinya, data tangkapan yang dibentangkan itu hanyalah membabitkan mereka yang telah ditangkap. Kita percaya masih ramai lagi di luar sana yang terlibat dalam gejala ini, namun mereka bijak mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Dadah terus menjadi ancaman kepada semua lapisan masyarakat selari dengan slogan Dadah Musuh Utama Negara. Hampir setiap hari, ada sahaja kes membabitkan operasi serbuan dan tangkapan jenayah dadah dilaporkan media. Misalnya, polis Kelantan merampas dadah bernilai RM5.4 juta dalam tempoh Januari dan Februari tahun ini menerusi Ops Tapis. Jumlah tangkapan juga dilaporkan meningkat iaitu 1,364 kes pada Januari tahun ini berbanding 1,085 kes bagi tempoh sama tahun lalu sehingga dadah terus diisytihar sebagai musuh nombor satu di Kelantan.
Maka dalam konteks ini, semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras najis dadah seterusnya melindungi seluruh rakyat khususnya golongan muda. Pihak berkuasa seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang melaksanakan pelbagai operasi penguatkuasaan dan program pencegahan perlu dibantu supaya segala inisiatif dilaksanakan dapat memberikan impak positif, iaitu membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran, menyedarkan masyarakat agar menjauhi dadah selain menyelamatkan mereka yang terjebak.
EKSTASI
Program pendidikan pencegahan dan kempen kesedaran awam AADK seperti Model i-Cegah, Kempen Lebih Baik Cegah serta pelaksanaan program berbentuk omnipresence, outreach (bantuan), community empowerment (pemerkasaan komuniti), bimbingan dan kaunseling keluarga, murid sekolah dan penuntut pusat pengajian/kemahiran dan masyarakat awam serta Program Tempat Kerja Bebas Dadah di sektor swasta dan awam di seluruh negara dilihat sangat kreatif dan agresif. Namun, tanpa penglibatan, sokongan dan kerjasama masyarakat, program baik seperti ini sukar mencapai matlamat ditetapkan.
Justeru, sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat memikul tanggungjawab secara bersama dengan pihak berkuasa untuk membanteras gejala dadah sekali gus membersihkan negara daripada ancaman pelbagai jenis dadah baik yang tradisional seperti ganja dan heroin mahupun moden seperti dalam bentuk pil, kristal atau hablur dan ekstasi.
Kita perlu sedar, kesan dadah cukup dahsyat. Selain menjadikan seseorang ketagihan, tidak produktif, selekeh dan berpenyakit, najis ini juga boleh membawa kita kepada perlakuan pelbagai jenayah berat termasuk bunuh. Hal ini sudah banyak kali berlaku apabila didedahkan penagih dadah sanggup membunuh ahli keluarga sendiri ketika sedang khayal. Ringkasnya, dadah boleh menjadi ibu kepada segala masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat dan negara kita.
Anggota masyarakat tidak boleh tutup mata dan telinga lagi sebaliknya perlu lebih cakna dan bantu membanteras masalah dadah. Sewajarnya kita menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berlaku di sekeliling supaya dapat mencegah lebih awal.
Tindakan kita yang tidak peduli selagi mana ia tidak kena pada batang hidung sendiri yakni ke atas ahli keluarga masing-masing menjadi antara faktor penyumbang utama aktiviti pengedaran, penyeludupan dan penagihan dadah ini terus berleluasa di negara kita. Mana mungkin pihak berkuasa dapat membantu jika masing-masing diam dan tidak mahu memberikan kerjasama.
Selain itu, ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dalam mendidik dan memantau segala gerak-geri dan aktiviti anak di luar rumah termasuk dengan siapa mereka bergaul. Kegagalan ibu bapa menjalankan tanggungjawab ini dengan alasan sama ada sibuk dengan urusan kerja mahupun kerana ingin memberi kebebasan kepada anak remaja akhirnya menjadi lesen besar kepada anak untuk mencuba pelbagai perkara baharu termasuk dadah.
Tuntasnya, kita tidak boleh membiarkan dadah menghancurkan masa depan belia negara ini kerana kita memerlukan generasi muda yang cergas dan sihat dengan jati diri yang kental untuk membentuk sebuah masyarakat dan negara madani yang dihasratkan. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis isu semasa merangkap pentadbir Universiti Putra Malaysia (UPM).










