Teruskan pelan pembangunan tahfiz

Teruskan pelan pembangunan tahfiz

ISMAIL Sabri Yaakob bersalam dengan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dekat Kuala Lumpur sempena program Kongsi Rezeki Ramadan semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan pelan pembangunan pelajar dan sekolah tahfiz yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, sejak dari zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, sudah ada jawatankuasa Kabinet yang dibentuk khusus untuk melihat secara menyeluruh isu-isu berkaitan tahfiz.

“Sebab itu kita menyediakan tahfiz Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk mewujudkan latihan kepada pelajar tahfiz.

“Jadi, saya harap apa yang pernah dilakukan, akan diteruskan oleh kerajaan sekarang,” kata Ahli Parlimen Bera itu kepada pemberita selepas menyumbang kira-kira 100 pek makanan sempena program Kongsi Rezeki Ramadan di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri sempat mengimbau kenangan apabila pernah berbuka puasa bersama mangsa pusat tahfiz yang maut dalam tragedi kebakaran yang berlaku pada 2017 itu.

“Saya ada sentimental dengan pusat tahfiz ini sebab sebelum kejadian kebakaran, saya mengenali sebahagian besar pelajar di sini.

“Kita buat majlis berbuka puasa dengan pelajar di sini iaitu 33 bulan sebelum kejadian. Jadi sempat makan bersama mereka sehingga kejadian kebakaran tersebut,” katanya.

Menurutnya, beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyemak masalah pendawaian di seluruh pusat tahfiz.

“Waktu itu kita tidak tahu punca kebakaran, kita menganggap kes kejadian disebabkan litar pintas. Ketika itu Mara di bawah saya dan kita buat keputusan seluruh tahfiz yang mempunyai masalah pendawaian, pihak Mara akan buat pendawaian baharu semula.

“Sebab itu kita tahu kebanyakan sekolah tahfiz keadaannya tidak terurus dengan baik dari segi struktur bangunan, pendawaian dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×