Bekalan ayam berkurangan bakal berulang - Utusan Malaysia

Bekalan ayam berkurangan bakal berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan ayam dalam pasaran negara dijangka kembali kritikal apabila persatuan penternak ayam di beberapa negeri mengadu tidak cukup bekalan anak ayam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Pedaging Negeri Terengganu, Othman Omar berkata, beliau menghadapi masalah pengeluaran yang kritikal apabila cuma mampu membela 20,000 ekor anak ayam day old chick (DOC) bagi satu pusingan berbanding 50,000 ekor sebelum ini.

Menurut beliau, persatuan yang terdiri daripada 52 penternak itu sebelum ini mampu mengeluarkan 1,698,600 ekor ayam pada satu musim pusingan, namun jumlah itu dijangka berkurangan dalam masa terdekat akibat masalah bekalan DOC yang berkurangan secara mendadak.

“Kami tiada data menyeluruh berapa banyak pengeluaran terjejas akibat masalah DOC, kerana penternak-penternak di bawah persatuan ini ada yang terdiri daripada penternak kontrak dan penternak pasaran terbuka.

“Bila dua kategori berbeza, maka ada kesukaran untuk menyemak data sebab penternak kontrak biasanya akan ada hubungan baik dengan integrator yang membekalkan DOC. Tapi walau bagaimanapun, memang saya menjangkakan bahawa bekalan ayam di Terengganu malah di negeri lain juga akan bermasalah sikit masa lagi sebab kekurangan anak ayam untuk diternak,” katanya.

Othman berkata, masalah kekurangan ayam di negeri itu sekarang ini dapat dilihat apabila banyak pemborong ayam hidup terpaksa membeli ayam dari luar Terengganu bagi memenuhi keperluan pasaran negeri itu.

KEKURANGAN

Sementara itu, seorang pemborong ayam hidup di Terengganu yang dihubungi mengesahkan kepada akhbar ini, bahawa memang berlaku masalah kekurangan bekalan ayam yang serius apabila syarikatnya sukar mendapatkan bekalan ayam hidup dari ladang-ladang tempatan.

Sumber yang enggan namanya disiarkan itu berkata, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, syarikatnya mengalami kekurangan kira-kira 2,000 ekor ayam berbanding sebelum ini.

“Sekarang, satu bakul ayam cuma dapat diisi dengan tujuh ekor ayam hidup berbanding 10 ekor. Bermakna kurang tiga ekor. Dalam sehari, syarikat saya mengalami kekurangan antara 1,500 sehingga 2,000 ekor ayam sehari. Ladang-ladang tak cukup ayam,” katanya.

Pada masa sama, Utusan Malaysia turut menghubungi sebuah persatuan ternakan ayam di Selangor yang mengesahkan berlaku kekurangan anak ayam yang kritikal, malah menjangkakan negara berdepan isu krisis ayam dalam sedikit masa lagi.

Kata sumber, pihaknya mengalami kekurangan anak ayam untuk dibela sehingga 20 peratus berbanding empat juta ekor anak ayam pada satu pusingan.

PERSATUAN

“Sebelum ini, di bawah persatuan kami, ladang-ladang mengeluarkan empat juta ayam. Tapi sekarang, DOC kami berkurangan 20 peratus iaitu kira-kira satu juta ekor anak ayam. Jadi, kami cuma mampu mengeluarkan tiga juta ekor saja untuk pusingan kali ini,” kata sumber.

Dalam pada itu, semakan dengan satu syarikat pengeluar telur di Selangor turut mendapati masalah kekurangan DOC turut melanda sektor ayam telur.

Sumber syarikat itu berkata, dalam lawatan ke Bangkok, Thailand baru-baru ini bagi menghadiri seminar ternakan, difahamkan punca kekurangan anak ayam akibat masalah wabak selesema burung yang sebelum ini menyerang negara pembekal stok induk tuai atau parent stock (PS) di hemisfera utara, kini sudah mula menyerang Kemboja.

“Walaupun ladang di Malaysia tak ambil PS dari Kemboja, namun fenomena wabak sebegini menjejaskan bekalan DOC. Wabak yang sudah sampai ke Kemboja dari negara hemisfera utara itu jelas menunjukkan bahawa masalah berkaitan unggas ini bukan isu kecil, ia berpotensi mewujudkan krisis makanan global.

“Kesannya mengakibatkan pengimport PS dalam negara ini berdepan masalah kekurangan stok induk tuai untuk menghasilkan anak ayam.

“Sekarang, ladang-ladang kontrak berdepan masalah kekurangan bekalan anak ayam, harganya pula melambung tinggi mencecah RM3.80. Dengan semua masalah yang melanda, apakah kerajaan menjangkakan kami boleh mengoptimumkan pengeluaran?” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×