Tambah peruntukan bina rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Tambah peruntukan bina rumah mampu milik

RUMAH mampu milik perlu diperbanyakkan supaya lebih ramai individu di negara ini dapat membeli rumah sendiri. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUNTUKAN daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri melalui belanjawan setiap tahun bersama tanggungjawab sosial korporat syarikat pemaju dalam memperbanyakkan lagi rumah mampu milik amat diperlukan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, ia bagi memudahkan rakyat terutamanya golongan B40 memiliki kediaman sendiri.

Menurut Muhammad Ridhuan, harga rumah mampu milik sekarang ditetapkan oleh pemaju berpandukan penanda aras daripada harga rumah di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sebelum ini.

“Jadi ada satu institusi khas yang menyediakan rumah mampu milik dikenali sebagai PR1MA yang ada pelbagai cadangan pemaju swasta dan kerajaan sendiri, jadi mereka yang bertanggungjawab ketika itu meletakkan beberapa kerangka harga rumah mampu milik di kawasan utama terutamanya bandar dengan harga RM300,000.

“Ia terus menjadi ikutan pemaju-pemaju di negeri lain walaupun tingkat pendapatan negeri lain tidak sama dengan beberapa negeri utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.

Muhammad Ridhuan berkata, meskipun tindakan pemaju swasta menetapkan harga rumah mampu milik sehingga RM350,000 tidak dapat dihalang, kerajaan boleh berbincang dengan menawarkan pelbagai insentif lain.

“Pada masa sama kita cuba beri cadangan kepada PR1MA untuk menyediakan rumah yang benar-benar mampu milik kepada pembeli atau isi rumah yang berada di negeri utama yang mana keperluan perumahan amat mendesak.

“Tetapi, kita tahu rumah yang dibina PR1MA amat terhad termasuk kemampuan untuk menyediakan perumahan mampu milik di setiap negeri juga terhad. Sebab itu kita galakkan kerjasama antara pemaju swasta dan kerajaan negeri dalam membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Melalui kerjasama ini kerajaan negeri dan pemaju boleh menggunakan mekanisme ditetapkan dalam mentakrifkan rumah mampu milik di negeri masing-masing seperti di bandar utama misalnya Kuala Lumpur bawah RM300,000 dan di Perak mungkin lebih bawah dari itu,” katanya. – RINGGIT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×