MARAN: Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (Gapema) Pahang menggesa kerajaan segera mengemukakan formula bagi mengawal kenaikan harga barangan yang terus berlaku.
Harga barang keperluan harian yang naik ‘gila- gila’ seolah-olah tiada pemantauan oleh pihak berkuasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gapema negeri, Rohani Mahat, 49, berkata, kenaikan harga barang meresahkan peniaga kecil Melayu kerana margin keuntungan terus mengecil.
Jadi katanya, kira-kira 2,000 ahli Gapema di seluruh negeri sedang menunggu formula’ kerajaan mengawal kenaikan harga barangan.
“Sebagai contoh susu pekat manis 500 gram pelbagai jenama yang dulunya sekitar RM2.20 mencanak sehingga RM4.10 satu tin.
“Yang pasti semua jenis produk makanan naik melambung sekali gus menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya di sini semalam.
Ketua Peneroka Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman berharap kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji mengatasi kenaikan harga barangan keperluan termasuk kenaikan mendadak baja dan racun ladang.
“Kenaikan harga barangan pengguna merunsingkan terutama penduduk luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu mencari punca kenaikan harga terlalu cepat dan segera mengatasinya demi rakyat dan negara Madani,” katanya.
Seorang peniaga dan aktivis masyarakat, Meor Shahriman Abd. Ghaffar, 51, mempersoalkan kerajaan yang seolah-olah terlepas kawalan terhadap pembekal dan pemborong menyebabkan harga barangan naik mendadak.
Beliau berkata, ikan pelaling kini sudah mencecah RM18 sekilogram berbanding bulan lalu hanya RM8 sekilogram.- UTUSAN











