PETALING JAYA: Negara kerugian berbilion ringgit setahun sekiranya keresahan (anxiety) dan kemurungan yang membabitkan kira-kira lapan juta rakyat negara ini dibiarkan berlarutan tanpa mendapat rawatan.
Membimbangkan lagi apabila terdapat laporan membuat unjuran negara akan kerugian sehingga RM100 billion pada tahun 2030.
Kerugian tersebut berpunca daripada produktiviti yang rendah akibat individu diganggu masalah keresahan dan kemurungan.
SERIUS
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr, Andrew Mohanraj berkata, gejala itu perlu diambil serius bagi memastikan produktiviti pekerja sentiasa berada di tahap optimum.
Menurut beliau, menerusi satu laporan sekitar 2018 merekodkan Malaysia mengalami kerugian sehingga RM14.46 bilion akibat masalah kesihatan mental di tempat kerja terutamanya kemurungan dan keresahan.
Kata Andrew, kerugian itu sangat mendukacitakan kerana ia bersamaan dengan satu peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara hilang begitu sahaja.
Lebih membimbangkan, kata beliau, laporan itu juga menyebut kerugian kerana produktiviti rendah akibat keresahan dan kemurungan itu boleh meningkat kepada RM100 bilion pada 2030 jika masalah tersebut tidak dihiraukan.
“Faktor rugi produktiviti itu bukan disebabkan mereka tidak hadir kerja. Mereka hadir ke tempat kerja, tetapi tidak buat kerja atau tidak boleh menumpukan perhatian, malah ada yang tuntut upah kerja lebih masa sebab tidak sempat habiskan kerja dan ini membuatkan syarikat rugi dengan kehadiran mereka.
PRODUKTIVITI
“Oleh itu, keresahan dan kemurungan itu masalah terbesar di tempat kerja. Ini berlaku sebab majikan atau syarikat mengharapkan produktiviti pekerja meningkat tanpa melihat kebolehan mereka membuat sesuatu terutamanya dalam tempoh ditetapkan.
“Jadi apabila keadaan ekonomi sedikit tegang dan keuntungan terjejas, majikan dan syarikat minta supaya pekerja memberikan produktiviti yang lebih. Sedangkan, majikan tidak sedar apabila kakitangan ditekan, mereka tidak boleh memberi produktiviti yang baik dan itu terus menjejaskan syarikat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira lapan juta rakyat negara ini yang berusia 18 hingga 60 tahun dianggarkan berdepan keresahan dengan pesakit wanita diramal berjumlah dua kali ganda berbanding lelaki.
Anggaran itu berdasarkan kajian peringkat global yang meramalkan 25 peratus penduduk dunia mempunyai gejala penyakit itu, selain turut disokong dengan kajian kesihatan di Malaysia yang merekodkan 29 peratus rakyat mempunyai ciri-ciri tahap kesihatan mental yang lemah.
Mengulas lanjut, Andrew berkata, kaedah yang perlu diambil untuk mengatasi keresahan dan kemurungan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai satu tangggungjawab kerajaan semata-mata.
Katanya, ini kerana majikan dan syarikat juga perlu mengambil inisiatif yang sepatutnya supaya pekerja mereka dapat bekerja dalam suasana yang harmoni.
“Majikan juga harus memberi peluang kepada pekerja mereka yang ada gejala itu mencari rawatan tanpa dihakimi.
“Majikan juga perlu bertanggungjawab, jangan rasa ini semua tanggungjawab kerajaan saja. Ini kerana sudah tentu produktiviti syarikat akan kurang kalau tidak beri perhatian serius terhadap kesihatan mental,” katanya.
Dalam pada itu, Andrew berkata, Kementerian Kesihatan disaran untuk menerapkan pengetahuan kesihatan mental terutamanya berkaitan keresahan dan kemurungan kepada doktor perubatan am bagi memudahkan pesakit dapat diberikan rawatan yang sewajarnya.
Katanya, ini kerana kebanyakan mereka hanya merawat simptom tanpa mencari punca gejala itu berlaku.
“Inisiatif ini sudah dilakukan di banyak negara termasuk Singapura yang sudah memulakan latihan kesihatan mental kepada semua doktor perubatan am mereka.
“Selain itu, adalah penting juga pihak kementerian menyediakan banyak tempat untuk mereka dirawat atau meningkatkan bilangan sumber manusia yang pakar dan profesional dalam isu kesihatan mental,” katanya. – UTUSAN










