Bendung segera ekstremisme agama - Utusan Malaysia

Bendung segera ekstremisme agama

TIADA dalam mana-mana bahagian ucapan penggulungan Saifuddin Nasution Ismail (kiri) di Kongres Nasional Khas PKR pada 18 Mac lalu yang mewajarkan beliau dituduh melawan al-Quran. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA setuju dengan tulisan Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti itu, Amidi Abdul Manan bahawa tulisan Minda Presiden Pas bertajuk PKR lawan al-Quran yang dimuat naik dalam Facebook beliau pada 19 Mac lalu terbabas dari landasan.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan penggulungan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di dalam Kongres Nasional Khas PKR pada 18 Mac lalu yang mewajarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat tuduhan berat berbunyi seperti itu.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan Saifuddin yang “menyeru ahli-ahli PKR bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama” seperti yang dipetik pada baris pertama tulisan Presiden Pas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Amat malang, Presiden Pas melakukan kesilapan besar dengan membuat komentar ke atas sesuatu perkara sepenting ini tanpa merujuk terus kepada rakaman ucapan Saifuddin yang boleh ditonton di internet sesuai dengan ajaran agama Islam yang menyeru kepada tabayyun (semak dan periksa sesuatu perkara terlebih dahulu).

Tanpa usul periksa dan semakan teliti, Presiden Pas telah menggunakan seruan yang didakwa dibuat oleh Saifuddin untuk menyerang beliau dengan kata-kata “hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf”.

Lebih malang lagi, seruan ini didakwa oleh Presiden Pas sebagai membuktikan PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah SWT kerana “masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik.”

Dakwa Presiden Pas: “Apa yang dipertahankan oleh PKR itu merupakan ajaran yang dinyatakan oleh Bible (Injil) yang telah dipesongkan daripada agama para anbiya’ (nabi-nabi), sepertimana yang disebutkan dalam petikan ini: “Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew 22: 21)

Minda Presiden Pas ditutupi oleh gesaan Abdul Hadi: “Kita berharap supaya mereka (PKR) kembali kepada al-Quran; petunjuk Allah SWT yang kekal terpelihara sepanjang zaman.”

Amat tidak betul bila Presiden Pas mendakwa Saifuddin sebagai jahil dan buta al-Quran, atau PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah SWT dan perlu kembali kepada al-Quran, atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama.

Jika Presiden Pas menyemak terlebih dahulu atau menugaskan pegawai beliau mencatatkan keseluruhan ucapan Saifuddin, jelas bahawa beliau berucap mengenai kewajipan ahli-ahli PKR untuk mempertahankan kerajaan perpaduan melalui pelbagai cara.

Salah satu cara yang Saifuddin nyatakan (cara yang ketiga) ialah ahli-ahli PKR perlu menghebahkan dasar, polisi dan program kerajaan hari ini dengan menggunakan mod menerang dan menyerang (offensive).
Misalan yang diberikan oleh Saifuddin ialah tindakan Presiden Pas tidak berpegang kepada prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Berikut adalah penjelasan penuh Saifuddin: “Hari ini kita boleh tengok di kalangan pemimpin politik pembangkang apabila raja atau sultan sebagai ketua agama menganjurkan supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik kita tengok seorang tokoh pembangkang tanpa rasa bersalah (berkata), “saya akan teruskan kuliah saya dan ceramah saya dalam masjid sebab dalam Islam ada politik.”

MEMPOLITIKKAN AGAMA

Jelas Saifuddin: “Tak ada siapa pun nafikan sebagai agama yang lengkap memang politik ada dalam Islam. Agama yang lengkap, sempurna, Allah SWT reda menjadi agama kita untuk dianuti, jelas, memang dalam Islam ada politik. Kita dituntut berpolitik secara agama.” Sebaliknya, kata Saifuddin: “Kita bukan dituntut mempolitikkan agama”.

Berpolitik secara agama, terang Saifuddin, ialah bila “agama menganjurkan keadilan, orang yang ada kuasa politik dengan dasar itu dia laksanakan keadilan, agama menganjurkan berpolitik secara mutual respect, saling hormat-menghormati, saling kenal-mengenal”.

Ini berbeza dengan mempolitikkan agama yang bermaksud, “Kamu tak sokong aku kamu tak terima pandangan aku, neraka tempat kamu.” Inilah yang ahli-ahli PKR diminta jelaskan oleh Saifuddin kepada rakyat.

Contoh kedua yang diberikan oleh Saifuddin mengenai pelanggaran prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara ialah tindakan Presiden Pas terus-terusan menyebut akan terus berusaha untuk mengambil alih kerajaan walaupun titah Yang di-Pertuan Agong sewaktu perasmian Parlimen mengatakan harapan Baginda agar penggal kerajaan ini cukup lima tahun.

Jelas Saifuddin: “Maka disanggahnya, “Pandangan Tuanku bukan qat’ie (muktamad) bukan penamat bukan putus.” Ini nada angkuh, makna kalau pandangan Tuanku bukan qat’ie maka pandangan Tuanku boleh disanggah, ini kerana terlalu angkuh sampai tak ada orang yang sedia menegur lagi.”

Di mana betulnya hujah Saifuddin melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama bila Saifuddin sendiri menyebut memang dalam Islam ada politik, iaitu tiada pemisahan politik daripada agama?

Apa yang dinyatakan tidak betul hanyalah “mempolitikkan agama”, khususnya bila seseorang itu mempertikaikan tahap keislaman seseorang semata-mata kerana mereka berbeza pendekatan dalam melaksanakan ajaran agama.

Titah raja-raja yang tidak mahu ahli-ahli politik tanpa tauliah berceramah di masjid dan surau ialah kerana tidak mahu perbuatan “mempolitikkan agama” berterusan. Apakah kerana larangan ini maka raja-raja juga melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil)?

Saya juga setuju dengan pendapat Amidi bahawa tulisan Minda Presiden Pas menunjukkan Abdul Hadi sedang memperkukuh fahaman bercitra Khawarij (menolak sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan fahaman kelompoknya) yang ditolak oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menuduh sesuatu golongan Muslim lain melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) adalah satu perbuatan menimbulkan kebencian keagamaan yang berbahaya kepada keharmonian rakyat.

Saya lama dalam parti agama ini dahulu dan cukup faham dengan perbuatan begini. Atas sebab itulah saya keluar dari parti ini dahulu kerana lebih yakin dengan pendekatan rahmah (kasih sayang) yang saya dan rakan-rakan lain dalam Parti Amanah Negara (Amanah) amalkan sehingga sekarang.

Jika perbuatan begini tidak dibendung segera, negara boleh kembali ke zaman ekstremisme agama yang membawa huru-hara seperti yang pernah berlaku sebelum ini. – UTUSAN

SENATOR Mohd. Hasbie Muda ialah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×