PADA 8 Mac lalu, dalam satu sesi teh tarik, sempat saya bercerita kepada beberapa orang rakan tentang pengalaman bersama Datuk Seri Syed Razak Syed Zain ketika bertugas sebagai wartawan di sebuah agensi berita di Kedah. Namun, dua hari kemudiannya, panggilan seorang rakan wartawan memaklumkan tentang kematian bekas menteri besar itu sangat memilukan.
Sedih kehilangan seorang bekas pemimpin yang baik. Hubungan dengan beliau bukan setakat pemimpin dan wartawan malahan seperti rakan sehingga pernah dilantik seketika menjadi anggota biro penerangan parti di peringkat bahagian Allahyarham.
Allahyarham seorang yang sangat mudah didekati, tidak mementingkan protokol tetapi serius apabila bercakap bab rakyat, tentang memajukan masyarakat serta hasrat beliau membangunkan negeri menjadi setanding negeri-negeri lain. Pernah satu ketika, saya mengadu tentang susah mendapat kerjasama daripada pegawai kerajaan negeri untuk mendapat informasi, beliau terus menyuruh datang berjumpa dengannya bila-bila masa sahaja.
Syed Razak, Menteri Besar Kedah kelapan dari 1999 hingga 2005 akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang sejati, yang sepanjang perkhidmatannya sebagai ketua kerajaan negeri sentiasa memikirkan bagaimana hendak membantu orang Kedah. Bekas menteri besar itu sangat serasi dengan budaya, sikap, perwatakan dan cara orang Kedah. Tidak keterlaluan dikatakan Allahyarham adalah pemimpin yang Kedah perlukan, menepati acuan orang tempatan.
Falsafahnya, jawatan menteri besar adalah untuk membantu menaikkan taraf hidup masyarakat Kedah yang masih lagi ramai orang susah dan bergantung kepada pendapatan hasil kerja nelayan, petani, penoreh dan kerja kampung. Bukan sesuatu yang luar biasa baginya apabila selalu singgah di kedai makan, kemudian membelanjakan seluruh pengunjung yang ada di kedai makan berkenaan.
Keadaan itu jugalah yang menjadi indikator pemandu beliau bahawa ‘Pak Tuan’ akan menang dalam pilihan raya umum nanti ketika itu. Ya, telahannya benar, tidak perlu kajian pusat penyelidikan atau strategis untuk menentukan nasib Syed Razak.
Juga adalah biasa rumah peribadi mahupun kediaman rasmi menteri besar, Seri Mentalon dipenuhi ramai orang mengadu masalah, meminta pertolongan. Kehadiran tetamu berkenaan tetap dilayani walaupun sibuk dengan urusan negeri.
Malahan sesuatu yang lumrah, beliau akan turun sebanyak mungkin ke majlis bersama rakyat kerana itulah peluang pemimpin mendekati orang ramai.
BIG BOSS
Usahawan yang berjaya sebelum menceburi dunia politik itu juga dikenang sebagai seorang yang kuat bekerja dari pagi sampai tengah malam dan kerap kali juga sehingga ke awal pagi. Pegawainya sendiri adakala lelah bersaing tenaga dengan big boss.
Seperti diceritakan bekas pegawai khas beliau, Nordin Salleh, Allahyarham pernah menghubunginya pukul 3 pagi untuk mengajak melihat projek pembangunan di satu kawasan. Menurut Nordin lagi, Syed Razak memang seorang yang lemah lembut tetapi amat serius bab peraturan dan kerja.
Antara jasanya, Kedah menghargai Syed Razak sebagai perancang memajukan negeri menerusi pelan pembangunan Kedah Maju 2010 yang dilancarkan pada 2001 bertujuan memajukan Kedah, daripada sebuah negeri miskin kepada negeri maju dalam pelbagai sektor setara negeri-negeri maju lain.
Syed Razak bagaimanapun terpaksa melepaskan jawatan selepas bercuti panjang selama enam bulan akibat diserang angin ahmar pada 8 April 2005.
Beliau juga adalah teladan tentang ahli parti yang setia, terus berkhidmat membantu parti walaupun tidak memegang sebarang jawatan. Malah dalam pilihan raya umum 2013, tokoh itu turut serta berkempen dan pada PRU tahun lepas, walaupun menghadapi kesukaran kerana masalah kesihatan, beliau turun padang membantu Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang bertanding di kawasan Parlimen Kuala Kedah.
Manusia mati meninggalkan nama dan jasa. Begitu jugalah Syed Razak yang tidak pernah duduk diam untuk membawa pembangunan ke Kedah. Kelibat beliau singgah di restoran di Alor Setar pada dinihari bukan perkara luar biasa kerana Syed Razak akan singgah bersama pegawai dan mereka yang berurusan dengan beliau pada sebelah malam.
Pernah satu ketika Allahyarham memberitahu, Allah memilih beliau untuk menjadi menteri besar kerana Kedah memerlukan pemimpin yang benar-benar komited untuk membawa pembangunan. Ini kerana katanya, beliau tidak dikurniakan anak daripada perkahwinannya dan keadaan itu digunakan sepenuhnya untuk bekerja demi pembangunan dan kepentingan negeri.
Moga segala kebaikan dan jasa Allahyarham akan sentiasa dikenang orang Kedah dan moga Allah merahmati roh Allahyarham atas segala kebaikannya. – UTUSAN
PENULIS ialah bekas wartawan.










